Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) melahirkan rasa kesal di atas penahanan beberapa pemimpin PAS dan parti alternatif yang lain hari ini kerana tuduhan terlibat dengan perhimpunan aman dan penyerahan memorandum kepada Yang Di Pertuan Agong pada 19 September 1999. DPP Pusat menyifatkan penahanan ini adalah bukan kerana keselamatan negara tetapi untuk keselamatan pemimpin BN setelah mereka begitu rakus memperkosa hak rakyat yang akhirnya mendesak rakyat untuk bangkit menuntut perubahan.
DPP Pusat melihat kejadian perhimpunan aman yang dilakukan oleh rakyat kelmarin adalah sebagai respon spontan terhadap sikap tidak bersungguh kerajaan untuk menyelesaikan masalah keracunan arsenik yang dialami oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kelakuan dangkal pemimpin kerajaan yang berdolak dalih dengan alasan bodoh serta uasaha-usaha yang dijalankan untuk menutup dan mengalih isu keracunan ini telah membangkitkan kemarahan dan kebencian rakyat.
DPP Pusat kesal dengan sikap kerajaan yang menjalankan provokasi murahan sehingga membangkitkan kemarahan rakyat, tetapi bertindak secara tidak bertamadun dalam menangani kebangkitan ini. Adakah kerajaan memang bermaksud untuk menangkap pemimpin-pemimpin alternatif dengan strategi memprovok rakyat agar mengadakan perhimpunan?
Kerajaan seharusnya sedar bahawa tindakan mereka yang sentiasa campur tangan dalam urusan kehakiman dan urusan Jabatan Peguam Negara sehingga menjejaskan proses keadilan kepada rakyat telah menyebabkan rasa tidak yakin rakyat untuk menyelesaikan masalah mengikut prosedur undang-undang. Rakyat melihat sudah tidak ada jalan lagi bagi menyelesaikan segala permasalahan negara selagi kerajaan yang zalim, tidak bertamadun dan penuh dengan sikap kebinatangan serta kerakusan seperti BN terus memerintah melainkan dengan cara turun ke jalan-jalan raya untuk menyatakan tuntutan dan bantahan mereka. DPP Pusat menolak segala bentuk kekerasan dalam menyelesaikan semua masalah rakyat, tetapi rakyat sendiri sudah hilang keyakinan dengan gelagat kerajaan yang ada.
DPP Pusat menyedari bahawa kejadian kekerasan yang berlaku dalam perhimpunan aman kelmarin juga adalah ekoran daripada provokasi terancang pihak polis yang telah memukul serta menembak gas pemedih mata kepada peserta perhimpunan
aman tersebut. Jika pihak polis tidak bertindak kasar, sudah tentu tidak akan berlaku sebarang kekerasan. Pihak polis mesti
ingat bahawa bukan budaya Malaysia untuk berhimpun dan mengadakan rusuhan, tetapi pihak polis dan kerajaan sendiri
sedang mendesak rakyat agar membudayakan hal yang sedemikian ini.
DPP Pusat amat hairan mengapa pihak polis begitu bising dan sibuk membangkitkan soal kecederaan tiga anggota polis
sedangkan langsung tidak menghiraukan kecederaan beribu-ribu peserta perhimpunan yang dipukul dengan cota dan disembur
gas pemedih mata. Apakah hanya pasukan polis yang diperalatkan oleh kerajaan sahaja memiliki perasaan dan rasa sakit,
manakala rakyat semua seumpama patung-patung bernyawa yang boleh diperlakukan apa sahaja oleh pihak polis selepas
kerajaan BN dengan rakus menodai kehormatan dan hak mereka!
DPP Pusat mengulangi kekesalan di atas penahanan beberapa pemimpin PAS dan parti alternatif lain hari ini. DPP Pusat melihat penahanan atas nama Kanun Keseksaan 117 ini adalah sebagai penahanan politik yang dibuat atas arahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi "tukang angguk" kepada Perdana Menteri. DPP Pusat merasakan jika tidak kerana maksud politik, mengapa mereka semua tidak ditahan pada hari perhimpunan seperti biasa sedangkan polis boleh berbuat demikian. Mengapa perlu menunggu sehingga hari ini untuk membuat tangkapan jika tidak atas arahan "mesra" Menteri Dalam Negeri.
DPP Pusat juga sangat sangsi bagaimana kerajaan dan pihak polis begitu cekap menyiasat dan menghidu siapakah dalang
kepada perhimpunan tersebut sehingga boleh menangkap beberapa orang disyaki dalam masa satu hari sahaja, sedangkan polis
mengambil masa berbulan-bulan untuk menyiasat laporan yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar tentang kejahatan pemimpin BN.
Pihak polis juga seperti tidak profesional dalam menyiasat kes kecederaan dan keracunan Datuk Seri Anwar serta berdolak
dalih untuk menangkap penjenayah-penjenayah yang terlibat. DPP Pusat amat bimbang jika pasukan polis juga turut menjadi
elemen terpenting yang dipergunakan di dalam merancang konspirasi menjatuhkan Datuk Seri Anwar.
DPP Pusat mendesak keras pihak polis agar membebaskan segera semua tahanan politik ini untuk memberikan keadilan kepada rakyat. Kerajaan juga hendaklah menghentikan segala bentuk tangkapan yang dibuat atas maksud politik melalui pelbagai undang-undang dengan menuduh pemimpin alternatif sebagai penjenayah. Kerajaan sewajarnya menangkap dan mendakwa pemimpin-pemimpin BN yang telah terbukti menjadi penjenayah dan pengkhianat negara. Kerajaan tidak perlu berhelah lagi untuk melindungi kerakusan dan kejahatan mereka walaupun pemimpin BN mendapat habuan daripada kerakusan ini.
DPP Pusat mendesak agar Datuk Seri Dr Mahathir, Datuk Seri Abdullah, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara agar
meletak jawatan secara terhormat atas kegagalan mereka untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara tetapi berkhidmat untuk
BN atas nama pemimpin dan pegawai kerajaan. Jika Perdana Menteri memiliki maruah dan harga diri beliau mesti
membubarkan segera Parlimen untuk membolehkan rakyat memberi mandat baru semula parti-parti politik untuk membentuk
kerajaan yang lebih cekap dan efisen.
HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat