Saksi Utama dan Isteri Di Reman

23 September, 1999

Azizan Abu Bakar, saksi utama perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini supaya ditahan sehingga dibicarakan terhadap tuduhan berkhalwat dan cuba melakukan persetubuhan haram dengan seorang wanita yang kemudian dikahwininya.

Wanita itu, Norhayati Saad, 22, turut diperintah supaya ditahan sehingga mereka dibicarakan pada 28 Sept ini.

Hakim Mohammad Adib Hussain mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Syarie Eri Nizam Abu Samah supaya kedua-duanya ditahan dengan alasan Azizan adalah saksi utama dalam satu kes penting.

Mohammad Adib ketika membaca keputusannya pada 11.07 pagi berkata kes khalwat Azizan merupakan kes yang menarik perhatian dan dia merupakan seorang yang dikenali umum.

"Demi kepentingan awam dan keselamatan, kedua-dua tertuduh ditahan sehingga tarikh perbicaraan pada 28 Sept," katanya.

Terdahulu, Eri Nizam ketika memohon kepada mahkamah supaya ikat jamin tidak dibenarkan, berkata ia bagi memastikan Azizan tidak diganggu-gugat oleh mana-mana pihak yang berkepentingan bagi mencacatkan kes itu.

Katanya, permohonan ikat jamin sebanyak RM2,000 terhadap Azizan dan RM1,500 kepada Norhayati dengan seorang penjamin yang dibenarkan oleh mahkamah pada 16 Sept lepas, berdasarkan tuduhan Seksyen 53 (1) dan Seksyen 52 (2).

Mustafa Cheng Abdullah, peguam bela Azizan dan Norhayati, membantah permohonan Pendakwa Raya itu dengan meminta mahkamah mengekalkan ikat jamin itu.

Azizan, 39, seorang pengurus jualan dan pentadbiran, dari Pangsapuri Dahlia A, Jalan 3/11, Bandar Selayang, Batu Caves, Selangor dihadapkan ke mahkamah yang sama pada Khamis lepas terhadap tuduhan berkhalwat dengan Norhayati, dari Jalan Mata Ayer, Kangar, Perlis, di bilik sebuah rumah di Jalan Indah 10, Taman Pengkalan Indah di sini pada 1.30 pagi 16 Sept lepas.

Azizan dituduh mengikut Seksyen 53 (1), Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991, yang membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara 24 bulan atau kedua-dua sekali.

Pada sebutan kedua semalam, Azizan dan Norhayati dikenakan pertuduhan tambahan mengikut Seksyen 52, enakmen yang sama iaitu cuba melakukan persetubuhan haram di tempat dan waktu yang sama. Seksyen 52 membawa hukuman denda RM5,000 atau 36 bulan penjara atau kedua-dua sekali.

Norhayati, penuntut Sekolah Perniagaan Kolej Binary, Kuala Lumpur, pula dituduh mengikut Seksyen 53 (2), enakmen yang sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara 24 bulan atau kedua-duanya sekali.

Azizan yang memakai kemeja biru dan berseluar gelap mengambil masa seketika sebelum membuat pengakuan tidak bersalah manakala Norhayati yang bertudung dan memakai baju kurung berwarna hijau kelihatan sebak semasa membuat pengakuan tidak bersalah itu.

Mohammad Adib sebelum itu mengucapkan selamat pengantin baru kepada Azizan dan Norhayati dan berharap semoga pernikahan mereka berkekalan sehingga ke akhir hayat. Pasangan itu telah berkahwin di Perlis pada Sabtu lepas, dua hari setelah ditangkap.

Azizan dan Norhayati ditahan di Balai Polis Daerah Alor Gajah yang terletak bertentangan dengan Mahkamah Syariah. -- BERNAMA

KEMBALI