Kenyataan Media
Calon PM Dari Parti-Parti Alternatif-Anwar Ibrahim Terharu

Saya telah diberi kebenaran untuk melawat suami saya Sdr. Anwar Ibrahim kelmarin yang sedang dirawat di Hosspital University Kebangsaan Malaysia kerana disyaki mengalami keracunan arsenik. Dalam pertemuan itu, saya telah menyampaikan kepada beliau keputusan daripada kepimpinan utama Barisan Alternatif yang bersetuju mengemukakan nama Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai calon untuk jawatan Perdana Menteri sekiranya Barisan Alternatif memenangi pilihanraya ke-10 akan datang. Berita yang saya sampaikan itu membuatkan Sdr. Anwar begitu terharu dan beliau telah meminta saya menyampaikan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih beliau atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau oleh rakan-rakan dalam kepimpinan Barisan Alternatif.

Sdr. Anwar Ibrahim menganggap pencalonan itu merupakan satu pengorbanan yang tinggi daripada kepimpinan dalam parti-parti Barisan Alternatif kerana beliau menyedari bahawa Barisan Alternatif tidak ketandusan pemimpin; malah ramai yang juga berkebolehan dan berwibawa untuk menjadi pemimpin negara.

Sdr. Anwar memberitahu bahawa PAS umpamanya, adalah sebuah parti yang mempunyai sejarah perjuangan yang gemilang yang mana ramai pemimpin-pemimpin mereka berkorban disepanjang sejarah. Secara peribadi Sdr. Anwar menyanjungi kepimpinan Y.B. Dato' Ustaz Fadzil Noor dan menganggap beliau seorang rakan yang jujur.

Beliau juga mendapati DAP sebagai sebuah parti yang menyumbangkan perjuangan yang konsisten menentang ketidakadilan, rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Ini jelas dicerminkan melalui kepimpinan YB Saudara Lim Kit Siang yang tidak gentar membongkar pelbagai skandal dalam parlimen.

Sdr. Anwar juga menyatakan bahawa PRM yang dipimpin oleh Saudara Dr. Syed Husin Ali, telah memberikan sumbangan yang besar, contohnya menegakkan perjuangan hak golongan masyarakat setinggan, golongan yang miskin dan tertindas.

Begitu juga dengan kepimpinan dalam KeADILan, Sdr. Anwar mengakui bahawa ramai diantara mereka yang terlibat dalam memperjuangkan hak asasi manusia, akauntibility dan perpaduan kaum dinegara ini.

Saudara Anwar Ibrahim menyatakan lagi bahawa muafakat yang ditunjukkan dalam persoalan pencalonan kepimpinan negara (sekiranya Barisan Alternatif memenangi pilihanraya akan datang) menunjukkan bahawa semangat kerjasama antara Parti-parti Alternatif sebenarnya berada pada tahap yang amat memberangsangkan. Ini jelas membuktikan bahawa pelbagai cemuhan, propaganda murahan dan kenyataan-kenyataan oleh Dr. Mahathir dan regim beliau yang cuba melaga-lagakan pemimpin- pemimpin dalam Barisan Alternatif adalah perkara yang paling ditakuti oleh Dr. Mahathir dan penyokong- penyokongnya dari Barisan Nasional oleh kerana kerjasama seperti itulah yang akan mencabar dan meruntuhkan regim Dr. Mahathir.

Sdr. Anwar cukup senang dengan konsep kepimpinan muafakat yang diutarakan oleh Barisan Alternatif. Itulah kecenderungan beliau, berbeza dengan cara kuku besi yang mirip kepada kediktatoran yang berlaku sekarang--yang mana media digembeling dan diperalatkan untuk memperkuatkan imej seorang pemimpin yang sudah kehilangan pengaruh dan popularitinya, disamping mengheret institusi0institusi penting negara seperti polis, pejabat Peguam Negara, Badan Kehakiman serta media untuk mengekalkan kuasa.

Sdr. Anwar seperti pemimpin-pemimpin Barisan Alternatif yang lain sedar bahawa kepimpinan itu adalah satu amanah. Nilai-nilai mulia dan murni seperti kejujuran, kebijaksanaan, ketegasan dan keberanianmesti ada pada setiap pemimpin untuk menegakkan keadilan. Oleh itu, beliau meminta agar semua pihak, terutamanya pemimpin, mesti melindungi hak rakyat dan membela mereka yang terpinggir dan menegakkan prinsip hak untuk semua.

Dr. Wan Azizah bte Wan Ismail
Presiden
Parti KeADILan Nasional (KeADILan)

22 September 1999