KENYATAAN MEDIA

Parti Keadilan Nasional [keADILan] memandang berat tindakan kerajaan menangkap beberapa orang pemimpin parti politik dan aktivis masyarakat ekoran daripada perhimpunan aman rakyat Malaysia bagi mempersembahkan Memorandum Rakyat kepada Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong pada 19 September 1999.

Sepanjang pengetahuan kami, antara tokoh yang ditangkap sehingga kini ialah Sdr. Mohd Azmin Ali (Ketua Penaja KeADILan Bahagian Gombak), Dr Hatta Ramli (AJK PAS Pusat), Sdr. Sivarasa Rasiah (Penasihat Undang-Undang PRM), Sdr. Hishamuddin Rais (Pengkritik Filem), Dr. Badrul Amin Bahron (Penceramah KeADILan), Sdr. Ezam Mohd Nor (Ketua Pemuda KeADILan) dan Sdr. Chua Tian Chang (Naib Presiden KeADILan).

Dengan tangkapan terbaru ini, jumlah mereka yang ditahan ekoran daripada perhimpunan aman tersebut ialah 12 orang semuanya termasuk enam orang awam, yang kini ditahan reman oleh pihak polis semalam. Tangkapan-tangkapan ini sekali lagi menunjukkan betapa pihak kerajaan Barisan Nasional tidak langsung menghormati Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuhkan persatuan, di mana

  1. tiap-tiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran;
  2. semua warganegara adalah berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata; dan
  3. semua warganegara adalah berhak menubuhkan persatuan.

KeADILan ingin sekali lagi menyatakan rasa kesal terhadap pihak-pihak yang berkuasa yang sengaja melakukan provokasi-provokasi dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab untuk memburuk-burukkan rakyat yang secara aman menyuarakan ketidakpuasan hati mereka melalui perhimpunan berkenaan.

Parti Keadilan Nasional dengan ini menuntut pembebasan segera ke atas semua pemimpin-pemimpin dan orang awam yang ditahan dan menamatkan tangkapan-tangkapan yang tidak menghormati hak asasi rakyat negara ini.

MOHD. ANUAR TAHIR
Setiausaha Agung