BENARKAH PAS SUDAH MENYELEWENG?

Muktamar Pas telah pun berakhir. Para perwakilan telah pun pulang. Tetapi media-media rasmi kerajaan masih memperkatakan tentang sesuatu yang sudah pun diperjelaskan oleh pucuk pimpinan Parti Islam itu ; iaitu penyertaan bukan Islam ke dalam Parti Islam dan tentang kemungkinan mereka menjadi calun dalam pilihanraya. Memang topik-topik seperti inilah yang sedang ditunggu-tunggu oleh mereka; iaitu topik yang memungkinkan mereka membelasah PAS secukupnya.

Satu persoalan yang harus kita ajukan kepada mereka; benarkah PAS sudah menyeleweng dari dasarnya di mana dasar PAS seperti yang disebut dalam perlembagaan parti itu ialah Islam? Memang betulkah kontroversi timbul akibat daripada isu ini sehingga ada ahli parti PAS akan meninggalkan parti sekiranya pelaksanaan dasar tersebut diteruskan?

Dan inilah peluang yang ditunggu-tunggu oleh media-media rasmi dan pucuk pimpinan parti-parti dalam Barisan Nasional. Apabila pilihanraya hampir menjelang, saat-saat seperti ini tidak harus dilepaskan. PAS dikutuk habis-habisan. Dikutuk dari segenap sudut.

Toleransi di antara orang-orang Islam dan bukan Islam bukanlah perkara baru dalam Islam. Selagi tidak melibatkan masalah dasar, orang-orang bukan Islam masih mempunyai peluang, sekalipun dalam sebuah negara Islam ; maksudnya negara yang benar-benar Islam. Menurut Dr.Yusuf AlQardhawy , terdapat beberapa peringkat toleransi. Toleransi yang paling rendah ialah membiarkan kebebasan beragama ,iaitu membebaskan manusia memilih agamanya. Manakala toleransi yang paling tinggi ialah tidak melarang orang yang berlainan agama melakukan sesuatu yang mereka percaya halal pada sisi agama dan mazhab mereka sekalipun haram menurut pandangan kita. Inilah toleransi peringkat tertinggi dalam Islam.

Kalau kita kembali kepada sejarah, kita akan temui ramai orang-orang bukan Islam mendapat tempat yang istimewa dalam sesebuah negara Islam. Menurut al-Qardhawi lagi, orang-orang bukan Islam mempunyai hak memegang beberapa jawatan sama seperti orang bukan Islam kecuali di dalam jawatan yang bersifat keagamaan seperti Ketua Negara, Ketua Tentera, Kehakiman di kalangan orang-orang Islam, pengendalian dan urusan sedekah dan sebagainya. Penglibatan orang-orang bukan Islam dalam negara Islam dapat dilihat kalau kita mengkaji karya-karya mujaddid Islam di abad-abad terakhir ini seperti Al Maududi , Muhammad Abduh, Yusuf Al Qardhawy dan lain-lain. Banyak juga terdapat karya-karya ulama terdahulu yang membincangkan masalah ini khususnya masalah "ahlu dzimmah" dalam negara Islam.

Dengan demikian, apabila kita lihat betapa luasnya sifat dan tolak ansur agama Islam ini dalam soal perhubungan dengan orang-orang bukan Islam sehingga kadangkala timbul perasaan cemburu di kalangan orang Islam sendiri, apakah kita dapat membenarkan PAS sudah menyeleweng hanya semata membenarkan orang bukan Islam menjadi ahlinya? Atau membenarkan orang bukan Islam menjadi calun pilihanraya?

Dalam konteks politik Malaysia hari ini, PAS sepatutnya telah membuka peluang kepada orang-orang bukan Islam menjadi ahlinya sejak dahulu lagi dan bukan sekarang di saat hampirnya pilihanraya! Apa yang PAS lakukan sebenarnya hanyalah sedikit sahaja dari sifat-sifat keluasan dan kelapangan yang diberi oleh agama Islam itu sendiri. Dengan begitu menuduh PAS sudah terkeluar dari perlembagaannya adalah satu tuduhan yang melulu tanpa melihat kepada fakta sejarah. Mereka juga tidak melihat kepada Islam itu sebagai satu agama yang penuh dengan sifat-sifat toleransi yang telah diamalkan sejak zaman berzaman.

Al Kundangi,
3.6.99.