Ku Li mahu dedah pakatan sulit?

Kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yang baru, Tengku Razaleigh Hamzah, bahawa beliau akan menggunakan senjata pakatan sulit dengan Pas ketika bersama parti itu bergabung dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) untuk menumbangkan kerajaan Pas Kelantan pada pilihan raya umum akan datang, disifatkan sebagai ‘dayus’.

Beliau yang sudah hilang pengaruh dan sokongan kini terdesak untuk mengembalikan kepercayaan rakyat Kelantan. Ku Li yang pada mulanya yakin bahawa beliau akan berjaya merampas sokongan rakyat Kelantan daripada Tuan Guru Nik Aziz, kini kehilangan punca.

Justeru itu tidak hairan jika beliau sanggup melakukan apa saja demi mencapai cita-cita politik murahan. Walau bagaimana pun rakyat tahu bahawa tiada timbul soal pakatan sulit di antara S46 dan PAS, melainkan jelas perjuangan S46 hanya kecewa dengan UMNO (baru) lalu parti berusia setahun jagung itu yang mencari perlindungan dan menumpang pengaruh PAS.

Oleh itu Ku Li tidak layak untuk mengkritik kerajaan PAS Kelantan, mahu pun Tuan Guru Nik Aziz. Sebaliknya, beliau sepatutnya berterima kasih kepada PAS kerana sanggup menerima parti S46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) kerana tanpa penyertaan ke dalam APU S46 langsung tiada pengaruh dan kemungkinan berkubur dalam masa yang lebih singkat.

Menyedari perjuangan S46 yang hanya berkepentingan mencapai kuasa politik semata, perjuangannya tidak lagi mendapat sokongan rakyat kerana polisi perjuangan mereka kabur pada penilaian rakyat. Pengumuman pembubaran S46 oleh presidennya Tengku Razaliegh beberapa tahun lalu, adalah bukti yang terang lagi nyata kepada rakyat Kelantan, bahawa putera di raja itu sudah hilang pengaruhnya.

Demi untuk memartabatkan cita-cita politiknya, maka Ku Li kembali semula ke UMNO yang suatu masa dahulu sudah dibenamkannya dari persada politik tanah air. Justeru itu Ku Li perlu membersihkan namanya terlebih dahulu di persada politik tanah air, bukan mencapai populariti dengan menarik perhatian rakyat kepada Kerajaan PAS yang didakwanya gagal melaksanakan janji-janjinya.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa sokongan rakyat Kelantan di bawah pimpinan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat merupakan sokongan yang kental, tidak berbelah bagi. Justeru itu, Ku Li jangan lagi menabur dusta dan fitnah terhadap rakyat Kelantan, mahu pun rakyat negara ini, bahawa kegagalan PAS melaksanakan hukum hudud adalah kerana mahu memungkiri janji dalam perjuangan Islam.

Rakyat sudah memahami bahawa hukum hudud yang dianjurkan oleh Allah sudah dikemukakan kepada PM Mahathir untuk diperbahaskan dalam persidangan Parlimen tetapi telah ditolak. Jelas kepada rakyat sekelian, bukan PAS tidak mahu melaksanakan hudud, tetapi masih terikat dengan perlembagaan negara yang berprinsipkan penjajah.

Lantaran itu dilihat perjuangan PAS meneruskan agendanya dari pilihanraya ke pilihanraya, demi untuk menukarkan perlembagaan penjajah itu dengan memenangi pilihanraya kali ini. Ku Li kini lebih keliru setelah menyedari bahawa rakyat lebih cintakan perjuangan Islam dari mencapai cita-cita politik murahan warisan penjajah!

Mr canggih