Jangan Terpedaya Dengan 'Rasuah Wang'
Rasuah wang mula menjadi agresif, sejak pertandingan di antara Tengku Razaliegh dan Mahathir Mohamad dalam persidangan agung UMNO 1987 kalau tak silap saya. Maka menyedari bahawa akan kalah Mahathir menggunakan 'wang' untuk merasuah para perwakilan, sehingga para perwakilan yang menerima wang rasuah itu tidak dapat berbuat apa-apa melainkan akur dengan kemahuan Mahathir.
Akhirnya Ku Li menggunakan jalan yang lain untuk menewaskan Mahathir iaitu dengan mengharamkan UMNO dengan alasan-alasan bahawa UMNO tidak sah dari segi perundangan. Maka UMNO yang diharamkan itu terus berkubur!
UMNO yang ada hari ini adalah UMNO 1988 bukan UMNO yang lahir tahun 1946. Dan Ku Li pula menubuhkan Semangat 46, 'kununnya' untuk menghidupkan semangat UMNO lama. Namun perjuangan kedua-duanya sudah tersasar. Ku Li membubarkan S46 beberapa tahun lalu dan UMNO juga sudah terkubur angkara politik Mahathir-Ku Li.
Kini yang ada hanyalah politik UMNO baru yang berfalsafah dan bertunjangkan perjuangan untuk menegakkan seorang diktator. Kepentingan-kepentingan rakyat kian dilupakan. Tidak syak lagi, walau saya telah keluar UMNO sejak 1983, saya dapat mengikuti perkembangan politik cukup dekat dan masih terus berada dalam perhimpunan agong tahunan. Kerana mahu terus berkuasa Mahathir gunakan wang dalam pertandingannya dengan Ku Li. Ancaman yang kuat diterima, akhirnya sering kita kedengaran selepas itu jawatan presiden tidak pernah dipertandingkan.
Mahathir sudah lali gunakan wang untuk matlamat politiknya. Kini sokongan rakyat terhadap UMNO sudah merudum. UMNO tidak boleh mendabik dada dengan mengatakan bahawa parti itu masih menguasai sokongan orang Melayu. Kerana itu Mahathir menggunakan wang untuk meraih sokongan kakitangan kerajaan yang berjumlah 1 juta itu.
Beberapa hari lalu, ura-ura kerajaan UMNO ingin membantu seramai 22,000 buah keluarga dengan saraan RM250 sebulan (mungkin sebulan sahaja..mana tau?) khususnya di Kelantan. Semalam saya dengar melalui berita, pesara pula diumumkan akan menerima RM100 sebulan bermula Julai hingga Disember 1999. Maka sekali lagi kedua-dua golongan disogokkan dengan wang untuk menunjukkan bahawa kerajaan adil dan prihatin.
Saya suka menyeru kepada rakyat negara ini bahawa jika hanya bersimpati pada waktu tertentu, terutama menjelang pilihanraya ini namanya 'rasuah politik'. Jika kerajaan benar-benar ikhlas dan membela rakyat, sambungkan segala pemberian ini selama-lamanya, selagi mereka terus berkuasa. Bukan hanya sekadar melepaskan batuk ditangga, sekadar melepaskan sokongan yang tersepit.
Politik wang adalah politik Mahathir. Mahathir sungguh bijak memainkan wang kerana manusia akan lemah dengan wang. Ini diakui oleh pengarah BPR yang baru dalam kenyataan di MM Ahad lalu. Rakyat jangan terperangkap dengan politik wang Mahathir. Jika diugut, terima sahaja wang itu, tapi undi jangan diberi. Jika semua bersikap begitu, politik Mahathir takkan kemana. Perbidalan Inggeris pernah berkata, kita boleh menipu sebahagian manusia pada setiap masa. Kita juga boleh menipu semua manusia pada sebahagian masa, tetapi tidak mungkin menipu semua manusia pada semua masa.
Kerana itu jangan terperangkap dengan politik wang anjuran Mahathir. Buktikan sokongan anda kepada kerajaan yang bakal memerintah, iaitu kerajaan alternatif.
Bekas AJK UMNO Perak