Miskinkah Kami?
Miskinkah kami bila mana kami tidak berhutang. Kalaupun kami berhutang, kami tidak pernah menyusahkan PETRONAS. Kami juga tidak pernah meminta kerajaan mem'bail-out' kami diketika kami berhutang. Kadang-kadang tu bila kami dihimpit masalah kewangan, kami menggadaikan barang kemas isteri kami, anak-anak kami. Kalaupun ianya masih tidak cukup, kami gadaikan pula tanah sekangkang kera milik kami (pusaka nenek moyang) kepada bank ataupun ceti. Kami tahu bank dan ceti sama-sama lintah darat.
Kami tiada pilihan. Kami tidak mahu menyusahkan sesiapa. Kami tidak mahu meminta sedekah. Kami tidak mahu Petronas terpaksa bersedekah kepada kami. Kami tahu siapa kami. Kami hanyalah orang kampung. Belajar pun setakat sekolah rendah sahaja. Bukannya kami tidak pandai dan malas belajar. Tapi sebenarnya kami tidak mampu untuk membiayai pelajaran kerana institusi sekolah macam telah diswastakan.
Orang macam kami cuma mampu guna radio. "Lesen radio yang murah", kata pemimpin kami pun kami tak bayar. Bukannya kami kuhun (kedekut) akan tetapi kami lebih mengutamakan pendidikan anak-anak kami serta makan pakai mereka. Kami tahu setiap hari kami mendengar propaganda kerajaan menyakinkan rakyat diradio. Kami tahu perkara ini sebab masa pemerintahan Jepun pun kami dapat dengar perkara yang sama. Kami tahu serba sedikit berbahasa Inggeris pun kerana hasil penjajahan British dahulu. Tapi walaupun kami yang miskin ini tidak mampu memiliki TV warna dan ASTRO tapi kami bukannya mudah ditipu.
Kami memanglah tidak mampu untuk memiliki kereta besar malah kapalterbang jet. Kami bukannya tahu bawak kapalterbang. Kalaupun kami nak sangat merasa naik kapalterbang, peluang kami cuma masa nak ke Mekah sahaja. Itupun kos mengerjakan Haji makin naik setiap tahun. Nak katakan Tabung Haji tidak mampu untuk mengurangkan belanja haji pun rasanya duit tabungannya masih banyak. Kalau tidak masakah Tabung Haji dapat mem'bail-out' syarikat anak Perdana Menteri kami.
Kami bukannya pekak. Ustaz yang mengajar kuliah agama dikampung kami ada juga sesekali menceritakan perihal yang berlaku dibandar. Kami memang jarang ke bandar. Kalaupun kami ingin ke bandar cuma masa dah dekat nak raya. Itupun kami cuma mampu beli kain ela. Nak katakan beli kain sutera jauh sekali. Anak-anak kami yang berada dibandar selalu pulang kekampung dahulu menceritakan keadaan bandar. Kadang-kadang dulu anak-anak kami pulang kekampung selang seminggu. Bila pulang mereka bawa buah tangan serta wang belanja untuk kami merasa sumbangan anak-anak.
Sekarang ini anak-anak kami jarang balik dan kalaupun mereka balik tak ada lagi buah tangan dan wang belanja. Malah kami pula yang memberikan buah tangan dan wang belanja. Anak-anak kami mengatakan bahawa belanja hidup dibandar makin meningkat. Mereka kata tak boleh balik selalu macam dulu kerana jalan balik kekampung kami kena bayar TOL. Mahal pulak tu kata mereka. Adalah dalam enam puluh tujuh puluh ringgit. Kami katakan kepada mereka tak apalah kurang balik kampung asal jangan lupa asal usul mereka dari kampung sudahlah.
Ada sesetengah anak-anak rakan kami yang lupa pada asal usul mereka. Mereka sudah bongkak. Mentang-mentanglah berjawatan tinggi dan ada hubungan dengan pemimpin negara kami mulalah mereka tunjuk perangai. Ada juga anak-anak rakan-rakan kami yang jadi pemimpin. Balik juga mereka kekampung. Tapi balik mereka cuma masa dah dekat nak pilihanraya. Masa itu mereka bawa beras, sadin, biskut dan gula kopi. Adalah sesekali mereka bawa kain pelikat dan kain batik serta berikan sedikit wang saku kepada kami. Itupun masa nak pilihanraya.
Ada juga yang menjadi wakil dikampung kami. Bila dah jadi wakil susah nak nampak batang hidung. Bergaya kesana kesini dengan kereta besar. Rumah mereka pun jadi lebih besar dari kami. Isteri mereka tak tahulah kami berapa besarnya mereka. Tapi bukanlah kemiskinan kami disebabkan kami malas berusaha. Kami rajin berusaha berbendang, berhuma malah kami juga melukah serta berdusun. Tapi kami tidak biasa menggunakan orang-orang ternama mahupun pemimpin kami sebagai bantuan.
Kami bukannya pandai berpolitik. Kami tahu cara nak senang paling cepat sekali ialah berbaik dengan orang politik, tapi kami tidak muhu dikongkong oleh orang politik. Kami cuma mahu ustaz-ustaz dan tok guru-tok guru akmi yang memimpin kami. Kami mahukan keberkatan dunia akhirat. Ustaz-ustaz kami ada bercerita tentang kepentingan ulama dan umarak bekerjasama didalam pemerintahan.
Ustaz-ustaz kami kata jika memisahkan urusan agama dan politik maka boleh jadi sesat. Kadang-kadang tu ustaz-ustaz kami menceritakan konsep politik didalam agama. Kami belajar ilmu selang seminggu. Itupun kalau ustaz-ustaz ini dapat masuk masjid kami. Kadang-kadang tu ada campurtangan pihak tertentu yang menghalang ustaz kami mengajar dimasjid kerana mereka beranggapan ustaz-ustaz kami anti kerajaan.
Pelik tapi benar. Bukan sekali bukan dua mereka menghalang ustaz-ustaz kami mengajar. Malah ustaz kami pernah diugut dengan macam-macam ugutan. Ustaz kami beritahu kami ini semuanya adalah jihad. Kami diberitahu bahawa lebih baik mati mempertahankan agama dari mati menjual agama. Kami tahu siapa dalang menghalang ustaz kami mengajar dimasjid. Tapi kami tiada kuasa menghalangnya.
Iman tua kampung kami cuma menjadi imam masjid sahaja. Kuasanya tiada didalam institusi masjid. Orang-orang politik (UMNO) yang dilantik menjadi pengerusi masjid kami. Sebab itulah ustaz-ustaz kami tidak boleh mengadakan kuliah. Mereka kata ustaz kami ajar ajaran sesat. Dulu mereka pernah kata Ustaz Man (Ibrahim Libya) juga bawa ajaran sesat. Setahu kami Ustaz Man mengajar tauhid dan usuludin. Pernah ustaz Man datang kampung kami diceruk ini semata-mata mengajar kami cara-cara urusan jenazah. Ustaz Man ajar kami bagaimana sayangkan Allah lebih dari sayangkan anak isteri kami. Tapi sekarang Ustaz Man dah tiada. Orang kat dia gugur syahid. Kami percaya dia syahid kerana dia orang alim. Mati dia menegakkan agama. Mati dia pertahankan kalimah Allah. Ada orang yang memandikan jenazahnya nampak darahnya masih mengalir dan badannya lembik macam orang tidur sahaja. Ustaz kami kata itu tanda seseorang itu mati syahid.
Kalaupun kami miskin, kami cuma miskin harta tapi tidak budi bahasa. Bagi kami biar miskin papa tapi jangan miskin budi. Kami bela kambing, itik, ayam dan kucing. Tapi tidak pernah binatang yang kami pelihara mati kebulur tanpa makan. Walaupun kami selalunya berkongsi makanan dengan kucing kami, tapi kucing kami tidak pernah merungut walaupun cuma makan nasi dengan sedikit bau-bau ikan.
Anak-anak kami kadangkala ada merungut sikit bilamana cuma dapat makan pagi dengan pisang rebus ataupun ubi kayu rebus bercicahkan kelapa parut dan secawan kopi 'O' tawar. Tapi tidak pernah pula kami lihat mereka menolak menjamah masakan kami. Bilamana sampai hari raya, kami menyambut dengan ala kadar dan menyediakan hidangan cara kampung. Wajik, dodol dan kuih bangkit tetap kami buat. Itu jangan dikira dengan lemang dan rendang. Memang kami susah tapi hari raya kamu tetap meriah.
Anak-anak kami hormat pada kami. Tidak pandai pula mereka meminta-minta sesuatu yang kami tidak dapat tunaikan. Cukuplah dengan apa yang ada. Kalau nak dikatakan kami orang susah, memang kami susah. Tapi Baitulmal dan Jabatan Kebajikan bukan nampak susah kami. Kadang-kadang kami hairan, kemana perginya duit zakat yang kami keluarkan saban tahun. Setiap kali selesai mengutip hasil tani kami, tak lupa kami membayar zakat. Walaupun sedikit yang kami keluarkan tapi berkatnya yang kami harapkan. Kami tahu dengan membayar zakat, kami akan kekurangan wang. Tapi kami tidak pernah merungut kerana kami tahu hukum hakam urusan zakat.
Ustaz-ustaz kami pernah mengajar mengenainya. Kalau kami saban tahun mengeluarkan zakat pastinya orang kaya dibandar dan juga pemimpin kami membayar sama. Tapi kami tidak tahu berapa yang mereka bayar. Kami juga tidak tahu sama ada mereka bayar atau tidak. Hanya tuhan sahaja yang tahu. Ustaz kami ada mengajar kami mengenai 'Husnul-zan' (bersangka baik) terhadap pemerintah dan orang lain.
Walaupun kami tidak pandai ekonomi, tapi kami tahu wang zakat pastinya menimbun dan banyak. Tentunya wang zakat cukup untuk menampung keseluruhan keluarga miskin dan anak yatim jika ditadbirkan dengan baik. Ustaz kami pernah bercerita mengenai penyelewengan wang zakat untuk bermain saham oleh satu kumpulan kutipan zakat di ibukota. Kami hairan kerana masih ada yang sanggup menyeleweng harta wakaf dan zakat. Tidakkah mereka taku dengan azab Tuhan.
Ustaz ada menceritakan perihal orang yang tidak amanah diakhirat. Kami sedar kami tidak mampu menghalang penyelewengan wang kutipan zakat. Tapi kami juga berhak keatas wang zakat. Kami lihat banyak anak-anak yatim dan balu-balu yang sewajarnya mendapat bantuan zakat. Kami sedih kerana kami tidak mampu untuk menolong mereka. Setakat bantuan beras bolehlah kami berikan itupun setakat yang termampu.
Kadang-kadang bendang dan huma kami kurang menjadi kerana faktor alam. Tapi kami tidak pernah bersedih. Kami cekal secekal batang-batang padi yang tunduk meliuk ditiup angin petang. Kami tahu langit itu tinggi atau rendah. Kami miskin bilamana pihak media melaporkan begitu dimedia tempatan. Terpandanglah kami akan muka Makcik Bedah, Mak Usu Miah dan Pak Uda Kama di televisyen. Rumah kami kebanyakannya tidak ada televisyen. kalaupun kami nak tengok berita televisyen kami akan ke rumah ketua kampung ataupun dikedai-kedai kopi.
Kami tersengeh-sengeh melihat Pak Uda Kama bercerita mengenai harga getah yang jatuh tersembam sehinggakan Pak Uda Kama tak mampu nak membeli gula barang sekati dengan sekilo getah cair. Kami hairan bilamana Menteri kami sibuk mengatakan harga getah sedang naik. Pada kami harga getah kalau tak ditakuk lama pastinya turun lagi.
Minggu lepas Pak Uda Kama menoreh selepas seminggu tidak kekebun kerana sakit kaki katanya. Hasil yang Pak Uda Kama dapat hari itu cuma 10 ringgit. Kebun yang Pak Uda Kama toreh itu dipajak dengan Pak Teh Awang. Jadi hasilnya dibahagi dua. Apa yang tinggal pada Pak Uda Kama? Tapi kami lihat Pak Uda Kama tetap tersengeh bilamana Ah Seng (tokey beli susu getah) memberikan bayaran hasil torehan. Pak Uda Kama puas kerana hasilnya berkat. Tidak pula dia mengharapkan Jabatan Kebajikan membantunya.
Mak Usu Miah pula ketawa sakan bila kami beritahunya mengenai bantuan Jabatan Kebajikan untuk orang-orang miskin dan susah yang bernilai 50 ringgit sebulan. Katanya duit sebanyak itu hanya cukup untuk membeli sogek tembakaunya selama sebulan. Apalah yang boleh dibeli dengan duit sebanyak itu katanya lagi. Kami cakap bersyukur sahajalah kerana itu yang mampu diberikan oleh Kerajaan. Mak Usu Miah ada mempunyai anak berjawatan tinggi di Kuala Lumpur. Anaknya pernah bercerita mengenai bantuan kerajaan kepada kroni (dia menyebut sahaja tanpa tahu apa maknanya) boleh sampai berjuta-juta seorang. Takkanlah kerajaan cuma mampu bayar 50 ringgit sekeluarga kepada orang miskin. Kami hanya menggeleng-gelengkan kepala. Kami pun hairan. Uncle Maniam rakan kami diestet pun tidak faham. Ah Chai peraih ikan pun tidak faham. Tapi pada kami apa yang boleh kami buat. Kami cuma dapat bersedih sahaja.
Ustaz-ustaz kami pernah menyalahkan kami kerana kami tidak pandai memilih pemimpin. Ustaz kata kalau kita mahu pilih pemimpin, kita perlu lihat amalan ibadatnya, sikapnya, budi bahasanya. Tapi kami bukannya pandai pilih. Kami pilih pemimpin yang dahulunya mak bapak kami pilih. Setahu kami cuma UMNO sahaja yang boleh memimpin kami. Kami selalu dengar akan slogan 'Tradisi Membela Rakyat'. Sebab itulah kami sokong mereka. Bila dekat pilihanraya macam sekarang ini, bantuan dari wakil rakyat UMNO dan Barisan Nasional banyak yang mencurah-curah.
Dulu jalan kampung kami cuma tanah merah sahaja. Kini sudah ditambak dengan batu kerikil. Adalah nampak perubahan. Di rumah Ketua Kampung dan Pengerusi Masjid kami lihat ada jalan tar dan lampu jalan. Rumah kami tetap gelap. Mereka kata pada kami bahawa tidak cukup peruntukan untuk menge'tar' jalan dan tidak cukup kabel untuk sambungan elektrik. Kami mengangguk-angguk semacam faham walaupun kami tidak faham. Kami dengar kerajaan ada memberikan peruntukan bagi kawasan kami tapi wakil rakyat kami kata kerajaan tidak berikan lagi.
Siapa yang betul dan siapa yang salah kami pun tidak tahu. Yang pastinya kami memang tak mampu untuk memasang pendawaian elektrik. Cukuplah dengan pelita ayan dan lampu 'gaselin' yang mampu kami beli. Itupun lampu 'gaselin' kami beli secara hutang dengan Ah Chan yang membuka kedai di kampung kami. Dengan lampu ini dapatlah kami mengendalikan kenduri kendara disebelah malam.
Nasib kami agak baik kerana kami tinggal dikampung. Budaya tolong menolong masih tinggi. Baru-baru ini dimasjid kami, Pengerusi Masjid ada mengatakan didalam mesyuarat bahawa belanja pengurusan jenazah telah ditetapkan kepada 570 ringgit. Ini termasuk upah korek liang kubur. Malah lokasi liang kubur pun ditentukan oleh Pengerusi Masjid. Ada yang membantah tapi Pengerusi Masjid tetap dengan pendiriannya. "Inilah bahananya jika institusi masjid dan agama diswastakan", kata anak Lebai Kamaruddin yang baru balik dari Universiti Islam Antarabangsa. Anak Lebai Kamaruddin ini khabarnya kuat menyuarakan pandangan dan bantahan yang mempertahankan hak-hak rakyat marhain dan mahasiswa semasa di Universiti.
Anak Lebai Kamaruddin ini juga ada menceritakan kepada kami bahawa ada cadangan hospital-hospital kerajaan akan diswastakan pada awal tahun hadapan. Dia kata nanti jika pesakit tak ada wang, maka mereka tidak akan dapat layanan hatta dah nazak sekalipun. Kami agak terkejut mendengarnya. Kami ini sudahlah miskin dan susah. kalau dahulu bolehlah kami keklinik kerajaan ataupun hospital mendapatkan rawatan. Tapi nanti bagaimana pula. Kalau dahulu seringgit sudah memadai untuk mendapatkan rawatan. Mana pula kami nak cekau wang beratus ringgit.
Apa lagi yang tinggal pada kami yang boleh kami gadaikan. "Habis tu buat apa ada kerajaan kalau kerajaan tidak boleh membantu kita bila susah", tanya Siew Lan semalam bila kami pergi membeli sayur dirumahnya. Kami mengangguk-angguk tanda setuju dengan apa yang dicakap oleh Siew Lan. Dulu masa kami menghantar anak-anak kami masuk Universiti, bayarannya agak mahal (dalam 700 hingga 1000 setahun), tapi sekarang ini anak Muniandi mandur estet pun terpaksa melupakan hasratnya masuk Universiti. Bukannya alang kepalang bayaran yurannya. Malah bayaran yuran untuk setahun boleh dibuat belanja ke Mekah dua kali.
Muniandi sedih bilamana anaknya tidak mampu dihantar ke Universiti. Kami cuma mampu memberikan kata simpati. "Tiada apa yang percuma lagi didunia ini melainkan udara kurnian Ilahi" rengus Muniandi lemah. Apakan daya kami memang miskin. Walaupun kami miskin, kami tetap bermasyarakat. Kami tahu juga bagaimana untuk mengubah kemiskinan kami. Memang kami tahu. Sudah lama kami menunggu saat untuk kami berubah. Kami tahu dimana yang perlukan perubahan. Kami sedar selama ini kami mudah digula-gulakan oleh pemimpin-pemimpin yang kami dan orang tua kami lantik.
Kami tahu pemimpin kami banyak yang menyeleweng. Kami sedar semua itu. Kali ini kami tidak akan berdiam diri. Kami akan bertindak. Biarpun tindakan kami nanti mungkin dikatakan tidak berterima kasih dan tidak bersyukur. Tapi selama mana kami akan ditipu. Tidak buat kali ini dan selama-lamanya. Pemimpin-pemimpin kami yang selama ini menyeleweng dari landasan pimpinan sebenar akan kami tumbangkan didalam pilihanraya kali ini.
Kami tahu hak-hak kami. Dato' Onn pernah mengajar kami mengenai hak-hak kami. Begitu juga dengan Ahmad Boestamam. Dulu kami mungkin keliru. Tapi kini tidak lagi. Kami mahukan pembaharuan. Kami mahukan pemimpin yang berjiwa rakyat dan berusaha menegakkan kekuasaan Allah di negara kami. Muniandi, Maniam, Siew Lan, Ah Meng, Ah Chan, Gurmeet Singh dan Gurdev Singh dan ramai lagi juga sepakat dengan kami. Kali ini kami mahukan Ulama sebagai pemimpin kami.
Minggu lepas kampung kami telah diterangi oleh cahaya bulan purnama. Kami lihat ramai juga yang datang menghadiri ceramah anjuran Partai Islam SeMalaysia (PAS). Yang bukan beragama Islam pun turut hadir. Kupasan oleh Dato' Ismail Kamus mengenai tajuk 'Relevankah Ulama Berpolitik' mendapat sambutan hangat dari penduduk setempat dan masyarakat sekeliling kampung kami.
Gurbindar Kaur ada mengatakan kepada kami bahawa kali ini PAS pasti menjadi kerajaan. Dia juga mengatakan biarlah Barisan Nasional menjadi pembangkang kali ini. Kami semua mengangguk-angguk tanda setuju. Manalah tahu dengan adanya Ulama memimpin kami maka kehidupan kami akan bertambah berkat. Rezeki kami mungkin akan berlipat kali ganda. Pendidikan dan Khidmat Kesihatan pasti kami akan dapat percuma.
Sebenarnya negara kami ini agak kaya dengan hasil masyhulnya akan tetapi pemerintah sekarang tidak pandai mentadbirnya. Tiada pilihan buat kami melainkan kami menjatuhkan kepimpinan sekarang demi masa depan kami dan anak-anak kami. Memang kami miskin, tapi sampai bila kami mahu jadi begini?
Salam Islah Dari
Ketua Perusuh (Institut Kajian Strategik Dan Antarabangsa - ISIS) http://members.xoom.com/ketuaperusuh