Tarikh Pilihanraya

 

Memandangkan minggu lalu, SPR sudahpun mengarahkan Pengurus Pilihanraya melantik pegawai sambilan yang bertugas sebagai Ketua Tempat Mengundi, Kerani Undi, Kerani Undi Pos dan lainnya, ramai bertanggapan bahawa tarikh pembubaran Parlimen dan pilihanraya begitu hampir.

 

Walau bagaimana pun saya mahu menyingkap satu analisa yang 'kontroversi' bahawa segala gerak kerja ini merupakan 'gimik' politik Mahathir terhadap pembangkang, semata.

 

Persoalannya; apakah Mahathir beranggapan bahawa kedatangan tahun 2000 tidak penting kerana beliau boleh menjadi pemimpin dua abad yang tidak mungkin akan diulangi atau dicapai oleh seorang pemimpin Malaysia yang lain? Dan litar Formula 1 di Sepang masih belum dirasmikan atau dilancarkan. Mengikut iklan pertandingan pusingan pertama hanya akan bermula bulan Oktober 1999 dan pertandingan seterusnya jika tidak silap pada bulan Februari, 2000. Apakah Mahathir beranggapan ini semua tidak penting? Bagaimana bangganya Mahathir menyambut alaf baru 2000 pada 31 Disember nanti, apakah ini semua tidak diambilkira?

 

Telah diketahui umum bahawa Mahathir seorang yang suka berbangga dengan perkara yang beliau anggap sebagai 'ter' iaitu tertinggi, terpanjang, terhebat, maka saya suka menyatakan bahawa beliau juga akan berasa megah melangkah ke abad 21 dengan langkah yang seribu kebanggaan sebagai PM Malaysia dua abad yang termahsyur!

 

Justeru melaksanakan apa yang dianggapnya sebagai 'tidak melepaskan peluang yang lagi sedikit' maka saya percaya bahawa tarikh pilihanraya akan diganjakkan hingga Februari atau Mac 2000. Tindakan Mahathir hanya sekadar mahu parti alternatif berasa kepenatan menunggu kedatangan pilihanraya umum negara dan sedikit sebanyak akan menjejaskan persediaan mereka, fikir Mahathir.

 

Jika sekiranya ini benar, diharap parti alternatif meneruskan kegiatan ceramah politik dan jika mampu terus memperhebatkannya. Biar semakin lama kelihatan semakin mantap. Rakyat pula jangan jemu mendengar dan hadir dalam siri ceramah yang diadakan. Anggap sebagai kedatangan alaf baru 2000 ini sebagai persediaan kita menyambut kerajaan baru iaitu kerajaan Alternatif. Teruskan apa yang kita lakukakn hari ini tanpa kenal jemu. Hanya dengan cara ini akan melemahkan Mahathir, kerana persediaan kita bagi dua perspektif; samada jangka pendek atau jangka panjang!

 

Mr Canggih