PENJELASAN PRESIDEN BERKENAAN PAS BESUT

From: "Salmi, Baharom" <salmi@appliedmag.com>

Assalamualaikum,

Berikut adalah sedikit penerangan Presiden PAS, Dato' Hj Fadzil Mohd Noor mengenai isu pemecatan 4 ahli PAS di Besut, pada majlis penggulungan Ijtimak PAS Kedah di Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah pada 17 July 99.

  1. Isu ini telah dibangkitkan oleh salah seorang perwakilan yang berucap. Menurut Al Fadhil Dato' Hj. Fadzil Noor, ahli Pas tidak perlu membangkitkan isu ini kerana bukan mudah bagi PAS hendak memecat ahli melainkan kerana sebab yang sangat serius dan merugikan parti.
  2. Pihak kepimpinan PAS Pusat sudah memberi masa yang cukup lama (bertahun-tahun) untuk cuba memperbaiki keadaan. Pesuruhjaya Pas Terengganu sudah berkali-kali menasihatkan kumpulan ini tetapi tidak berjaya, persetujuan dalam mesyuarat lain, selepas pulang lain pula dibuat.
  3. Bekas YDP Pas Besut sejak sekian lama berpendirian sangat extreme, jumud dan menghalang perkembangan PAS di Besut. Berucap beberapa patah sudah mengkafirkan orang lain. Individu yang berpotensi yang dianggap mengancam kedudukannya dicantas. Selepas dia dipecat terdapat 20 cawangan baru ditubuhkan di kawasan Besut. Ini sama seperti memotong cabang pohon rambutan
    yang sudah berbuah, cabang-cabang baru akan tumbuh lebih banyak.
  4. YDP tersebut telah dipecat jawatannya yang kemudiannya dipangku buat sementara oleh Pesuruhjaya (Ustaz Hj. Hadi), dalam barisan AJK baru yg masih terdapat orang-orangnya. Tetapi kumpulan mereka telah mengadakan mesyuarat agung berasingan dan melantik semula bekas YDP (Latiff). PAS Pusat telah mengisytiharkan mensyuarat itu tidak sah. Kemuncak kepada krisis ini adalah penggunaan kumpulan samseng untuk mengancam Pesuruhjaya PAS Terengganu.
  5. Pertemuan dengan Presiden PAS sendiri ada diatur tetapi Ust. Abd. Latiff hanya menghantar wakilnya sahaja.
  6. Isu pemecatan ini telah diambil kesempatan sepenuh-penuhnya oleh UMNO. Orang-orang yang dipecat telah diberi ruang seluas-luasnya dalam media. Kenapa UMNO perlu sibuk dalam hal ini ? UMNO memecat DSAI bukan kerana melanggar perlembagaan parti, tetapi dikatakan kerana rendah moral. Padahal siapakah menteri UMNO hari ini yang tinggi moral? Beberapa hari yang lalu UMNO telah memberikan seekor lembu untuk majlis Maulud Nabi di Besut, mengumpul orang-orang UMNO drp. tempat-tempat lain seperti Pasir Putih, Kelantan dan orang-orang yang dipecat ini diberikan liputan dalam TV3 semasa majlis.
  7. Elok juga saya sentuh tentang penubuhan PAS Baru dalam posting ini. Dato' Fadzil kata ini cuma sekumpulan gedebe di Kelantan. PAS tidak gentar kerana bekas pemimpin tertinggi PAS sendiri pernah menubuhkan parti baru Hamim tetapi tidak tahan lama. Cuma dia ingin meminta Pendaftar Pertubuhan jangan menerima lambang parti mereka yang mempunyai bulan bertulis Iqra' di tengah
    kerana mengelirukan orang ramai.