Air Mata Di Parit Kasa

Satelah diminta oleh ahli ahli UMNO Parit Kasa supaya Dato Dr Hassan Ali (DDHA) mengadakan ceramah kelompok di tempat mereka (UPU - Sungai Setar) maka kami di MTD berusaha untuk menunaikannya

Pada hari Jumaat, 22.07.99 jam 11:30 pagi, rombongan DDHA pun tiba di rumah Sdr. Mohd Amin bin Hj Abdul Razak tepat seperti yang telah dijanjikan. Sambutannya hebat. Lebih kurang 200 tetamu (muslimin dan muslimat) telah menunggu ketibaan DDHA. Kebanyakan mereka terdiri dari orang orang UMNO.

Majlis dipengerusikan oleh Sdr. Malek bin Hj Sulaiman. Beliau ialah seorang bekas tentera dan telah menjadi Ketua Cawangan UMNO Parit Kasa selama 3 penggal mulai tahun 1990 hingga 1996. Selepas itu beliau telah dilantik sebagai Pengurusi Tetap mulai tahun 1996 hinggalah ke hari ini, tanggal 23.07.99, dimana beliau dengan rasminya meninggalkan perjuangan UMNO dan memilih untuk menyertai PAS bersama sama dengan 15 orang rakan rakan UMNOnya. Semasa dua kali pilihanraya umum yang lalu beliau telah dipertanggung jawabkan sebagai Ketua Bilik Gerakan Pilihanraya.

Majlis dikendalikan oleh beliau dengan baik dengan menceritakan pengalaman pengalaman silam beliau iaitu semasa didalam ATM dan seterusnya pengelibatan beliau secara aktif didalam UMNO. Sebelum menjemput penceramah undangan (DDHA) untuk berucap, beliau sekali lagi meneruskan cerita beliau tentang pengalaman silam beliau. Keadaan majlis bertukar dari ceria kepada sebak sedih dan pilu serta simpati dari ahli rombongan dan ahli Pas tempatan. Beliau tidak dapat menahan sebak didada dan linangan air mata ketika membandingkan diri beliau dengan seorang sahabat beliau sendiri, Tuan Haji Abd. Rahman. Teman yang sama sama masuk tentera dan kini dan sama sama sudah menamatkan perkhidmatan dengan ATM. Bezanya Haji Abdul Rahman memilih untuk berjuang didalam jemaah PAS dan beliau telah memilih UMNO.

Hj. Abd. Rahman sudah menjadi IMAM tapi beliau sendiri..........................Perbezaan diantara beliau dengan Hj Abd Rahman terlalu ketara. Salah satu dari sebabnya ialah UMNO telah membawa beliau terpesong begitu jauh dari 'Aqidah.

Mengulas tentang masaalah mendidik anak anak di zaman ini begitu sukar kerana anak anak sekarang didedahkan dengan budaya hiburan, lepak, dadah, murtad dll., beliau tidak dapat menahan sebak didada lalu menangis seperti anak kecil kerana sesal dan bersyukur. Sesal kerana selama ini beliau berjuang didalam UMNO dimana ahli dan pimpinannya tidak mementingkan Agama - buktinya, menghina Nabi Muhamad saw, mempermainkan Al-Quran dan Hadis serta meminggirkan Ulama'. Bersyukur beliau kerana Allah masih sayangkannya dan membuka pintu hatinya untuk berjuang didalam jemaah Islam dengan menyertai PAS demi agama, bangsa dan tanah air.

Beliau juga mengingatkan kita semua, jika BN dibiarkan terus memerintah, umat Islam di Malaysia ini akan mengalami nasib yang sama dengan umat umat Islam di Bosnia yang cetek ilmu agamanya. Di Bosnia, jika berlaku kematian seorang Islam, untuk mendapatkan sesaorang yang boleh menguruskan jenazah terlalu sukar kerana tidak ramai yang mampu. Kalau adapun tinggal berjauhan. Akhirnya mereka hanya mampu menangis disisi jenazah seperti budaya penganut agama lain dinegara kita ini. Apakah kita mahu ini berlaku kepada keturunan kita nanti ?

Beliau menyeru kepada ahli ahli UMNO supaya jangan lagi tertipu dengan perjuangan UMNO yang mementingkan kebendaan, projek mega, serta memperkayakan suku sakat. Budaya politik wang dan ampu mengampu. Sertailah PAS dan berjuang untuk merealisasikan untuk mendirikan sebuah negara Islam dan meletakkan Islam dimercunya. Jika tidak Islam akan terus terpinggir dan terpinggir. Jangan biarkan BN mengaut wang raayat untuk kepentingan peribadi dan menyelamatkan syarikat syarikat kroni mereka dimana pada waktu yang sama membiarkan anak anak bangsa dengan budaya sukakan hiburan, lepak, dadah dan sebagainya.

DDHA pula semasa berucap melahirkan rasa terharu dan bersyukur kerana Allah telah memberikan Taufik dan HidayahNya kepada Saudara Abdul Malek dan teman temannya meninggalkan UMNO dan menyertai PAS. DDHA meneruskan ucapan beliau dengan membangkitkan semangat cintakan Islam dan menyeru seluruh yang hadir serta kaum keluarga supaya memilih parti alternatif yang diketuai oleh PAS di pilihanraya yang akan datang.

S/U BILIK GERAKAN PAS
DUN TITI SERONG