Dalam
kita mengakhiri abad yang ke 20 ini, pelbagai kemajuan telah dicapai oleh
manusia di seluruh dunia. Yang terkini adalah kemajuan teknologi maklumat yang
telah menggemparkan dunia dengan keajaiban dan kekuasaannya. Di masa ini negara
yang paling canggih infrastruktur dalam teknologi maklumat adalah dianggap
sebagai negara maju seperti Amerika, Jepun dan negara Eropah yang lain. Dan
siapa boleh menyangkal negara-negara
ini menjadi maju kerana teknologi maklumat mereka yang advance.
Tetapi dalam kita memuji dan terpegun dengan
teknologi-teknologi canggih yang negara maju ini kuasai, adakah negara ini
betul-betul maju? Sebenarnya siapakah yang memberikan mereka taraf negara maju?
Adakah sebuah negara maju itu diukur hanya dengan teknologi canggih, bangunan
indah yang tinggi-tinggi, golongan-golongan korporat yang ramai sahaja? Jika
dilihat contoh di Amerika sendiri, mereka yang melarat, ‘homeless’, keganasan di kalangan muda-mudi, seks bebas, penipuan,
kronisme, nepotism merata-rata tanpa batasan.
Inilah puncanya kebanyakan sistem pemerintahan yang
ada di dunia ini, memisahkan agama daripada kehidupan seharian. Di Amerika
golongan-golongan beragama seperti paderi-paderi hanya berkuasa di dalam
gereja-gereja mereka sahaja. Dalam apa agama sekali pun, penipuan, kronisme,
seks bebas, keganasan dan lain-lain penyakit masyarakat adalah dianggap satu
dosa. Golongan-golongan yang beragama tidak mampu menghapuskan segala penyakit
masyarakat ini kerana kuasa yang terhad pada mereka. Fenomena ini tidak jauh
bandingannya dengan negara kita Malaysia. Ulama-ulama hanya boleh mengajar
agama sahaja. Ulama yang menceburkan diri didalam politik dianggap bukan lagi
ulama.
Jika kita lihat di negara kita, sebuah negara yang
sedang membangun, bangunan-bangunan yang indah dan tinggi sudah ada, bandar
multimedia telah wujud, golongan korporat memang ramai, infrastruktur telah ada
LRT, KLIA, dll. Malah negara kita telah ada bangunan tertinggi, lapangan
terbang terbesar, mahligai tercantik, pulau yang terindah yang begitu
membanggakan. Tidak ketinggalan juga bandar multimedia yang terunggul dan
dianggap sebagai titik permulaan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju. Dan
siapa sangka, dunia akan mengatakan kita sebuah negara maju bila terlaksana
dengan baiknya Multimedia Super Corridor. Tapi, dari sudut ini sahajakah negara
kita maju? Inikah negara maju pada kaca mata Mahathir?
Kenapakah
ada rakyat yang masih tak ada rumah yang selesa? Kenapakah ramai anak-anak muda
yang makin jauh dari adat resam orang timur? Kenapakah terjadinya banyak
jenayah kebelakangan ini? Rompakan, pembunuhan dan semua ini adalah penyakit
masyarakat. Tidak ketinggalan pula pergaulan yang bebas dikalangan muda-mudi.
Dan siapa tak boleh nafikan, semakin ‘maju’ negara kita, semakin jauhlah rakyat
Malaysia dengan agamanya. Adakah pada kaca mata Mahathir, Kuala Lumpur akan
menjadi seperti bandar New York, sebuah bandar yang maju, penduduk yang padat
tapi nilai-nilai etika sebagai seorang insan tidak ada!
Kepada siapakah kita nak salahkan, jika Malaysia
betul-betul telah maju tetapi nilai-nilai etika keinsanan rakyatnya tidak ada?
Siapakah nak kita salahkan jika anak-anak kita nanti makin lama makin tiada
nilai ketimurannya di alaf baru ini? Kita sendiri boleh menilai sejauh mana
telah terpesongnya anak-anak muda sekarang, melalui surat khabar, internet,
kita sendiri tahu. Sesiapa yang sering melayari internet pasti tahu, the Malaysian Sex Goddess, seorang anak
Malaysia yang telah tiada nilai ketimurannya lagi. Seperti juga negara ‘maju’
yang lain X-rated website mesti ada,
begitulah Malaysia yang kononnya sebuah negara Islam. Adakah kita mahu
anak-anak bangsa kita menjadi seperti ini? Di manakah mereka yang ‘berkuasa’
dalam hal begini?
Dan dimanakah kuasa kita sebagai rakyat Malaysia?
Apakah yang sepatutnya kita lakukan untuk Malaysia yang dicintai. Apakah
sumbangan kita pada generasi akan datang? Apakah harta atau sumbangan yang akan
kita tinggal pada anak-anak kita nanti? Adakah menara KLCC, Putrajaya, KLIA,
pengangkutan yang canggih? Adakah ini cukup terjamin untuk memastikan anak-anak
kita tidak akan terpesong dengan agama dan adat mereka?
Dewasa ini, dalam kita akan menghadapi pilihanraya,
inilah kuasa kita. Demi anak-anak kita nanti, kita berhak memilih yang mana
baik. Semasa kita memangkah untuk pilihanraya nanti, bayangkanlah anak-anak
kita nanti!
Pada rakyat Malaysia, khususnya yang Muslim baliklah
kepangkal jalan, baliklah kembali ke
Islam. Jadikan Islam cara hidup kita dalam apa segipun, pentadbiran, ekonomi,
politik, pendidikan dan semuanya. Ingatlah kita sebagai khalifah di muka bumi
ini. Islam adalah syumul. Kepada mereka yang tidak mahu balik kepangkal Islam,
masih memisahkan agama daripada kehidupan seharian, masih menganggap ulama itu
hanya berhak mengajar agama sahaja, tinggalkan mereka. Semoga Allah akan
membukakan hati mereka satu hari nanti.
Wallahu’alam.
Petaling Jaya