Untuk Renongan Semua Muslimin (siri 2)
(Khas Untuk Yang Masih Dalam UMNO)
Dalam perbicaraan saya dalam forum berjudul Politik Malaysia Tahun 2000, saya katakan politik Malaysia pada tahun 2000 ditentukan oleh perkembangan politik sekarang, sepertilah juga politik sekarang adalah hasil perkembangan politik tahun-tahun yang telah berlalu sebelumnya.
Buku saya, Lintasan Politik Malaysia sedikit sebanyak telah menyentuh perkembangan politik pada tahun-tahun yang telah berlalu sebelumnya.
Bahawa kemungkinan-kemungkinan politik Malaysia di masa hadapan adalah antara dua macam sahaja, iaitu komunis atau Islam yang akan menguasai dan mengendalikan negara dan manusia di Malaysia ini.
Sistem pemerintahan yang ada sekarang, yang bukan Islam dan tidak pula komunis, tidaklah dapat diterima oleh pendukung-pendukung ideologi komunis, seperti juga tidak dapat diterima oleh pendukung-pendukung agama Islam.
Malaysia bukanlah sebuah negara Islam. Peri tercatatnya Islam sebagai agama negeri-negeri dan juga agama Persekutuan di dalam perlembagaan-perlembagaan negeri dan juga persekutuan Malaysia, tidaklah bermakna Malaysia sebuah negara Islam menurut kacamata Islam.
Malah hal ini bolehlah diambil pengertian, bahawa Islam sebagai agama negara adalah sesuai dengan tafsiran Kristian sebagai agama bagi negara England, tetapi kedua-duanya sama sebagai negara-negara sekular, di mana apa yang diatakan agama negara itu tidak lebih dari soal upacara-upacara negara yang berkaitan dengan agama seperti berdoa dan bersembahyang di masjid dan gereja.
Sebuah negara sekular yang mengamalkan 'free enterprise' adalah bermakna sebuah negara kapitalis, dan negara kapitalis adalah menjadi musuh kepada golongan komunis.
Justeru kerana golongan komunis terbahagi dua di Malaysia seperti yang saya utarakan dalam buku "Yakjuj dan Makjuj Bertarung di Malaysia", maka kedua-dua golongan komunis itu yang sama-sama menentang sistem kapitalisma adalah berazam hendak mengambilalih kekuasaan negara ini dengan apa cara jua pun.
Sebenarnya pertentangan dan pertarungan antara komunis-komunis di malaysia adalah satu rahmat kepada pendukung-pendukung agama Islam untuk mengambil kesempatan yang sebaik-baiknya, sekiranya mereka tahu.
Dasar pemerintahan Malaysia pada tahun enam puluhan telah memperlihatkan beberapa perubahan, di mana sedikit demi sedikit dasar-dasar sosialima telah terbawa-bawa dalam bidang ekonomi, seperti wujudya perbadanan-perbadanan yang dimodali pemerintah di samping terus digalakan sistem free enterprise oleh modal dalam dan luar negeri.
Perubahan-perubahan ini membayangkan kemasukan faham sosialis komunis di dalam dasar pemeritahan parti perikatan yang memerintah sejak merdeka hingga kepada parti Barisan Nasional.
Sebagai contoh kepada beberapa kejadian ialah organisasi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang telah ditubuhkan dan sedang berjalan di Malaysia pada masa ini. Susunannya dari atas ke bawah sama benar dengan organisasi yang telah dijalankan di Rusia. Ini adalah satu penyerapan yang telah dilakukan tanpa disedari orang ramai.
Demikian juga RISDA dan Pembangunan Masyarakat RISDA (PMR). Sepert yang telah dibongkar, di mana kisah pembongklran itu telah saya tulis di dalam buku berjudul Yakjuj dan Makjuj Bertarung di Malaysia.
***
Sesungguhnya ini adalah satu hakikat yang nyata telah dan sedang berlaku, yang mana rakyat terbanyak tiada dapat mengerti dan memahaminya kerana tidak cukup penerangan dari pemimpin-pemimpin dan dari kementerian penerangan utuk rakyat, sebagai satu bangsa yang telah merdeka. Pada umumnya radio dan televisyen malaysia lebih banyak menonjolkan propaganda dan filem-filem barat yang lebih banyak merosakkan jiwa daripada membimbing manusia kepada kebaikan akhlak dan kesedaran akan tanggung jawab sebagai satu bangsa yang merdeka.
Rakyat tidak tahu tentang politik dan perbedaan-perbedaan tentang politik. Rakyat tidak tahu apakah dia parti politik, dan apakah dia kerajaan. Kerana tidak tahu ini, rakyat sukar membezakan antara kerajaan dan parti yang memerintah. Rakyat (hanya) diajak mengatakan setiap yang dibuat oleh kerajaan dan setiap yang diucap oleh setiap menteri semuanya baik-baik. Rakyat dikehendaki menunaikan seluruh tanggungjawab mereka termasuk membayar cukai secara langsung dan tidak langsung. Tetapi rakyat tidak diajar supaya cukup faham apakah hak-hak mereka dalam sebuah negara dalam sebuah negara yang merdeka dan sebagai satu bangsa yang merdeka.
Dalam keadaan yang seperti inilah beberapa perubahan telah berlaku sedikit demi sedikit di bawah lindungan slogan negara makmur dan masyarakat adil. Perubahan berdikit-dikit ini menunjukkan di sana ada sesuatu yang telah dan sedang berlaku dari dalam tubuh parti yang sedang memerintah (UMNO). Perubahan ini berlaku secara sedar dan tidak sedar oleh mereka yang tidak menyedarinya.
Di antara yang sedar tetapi tidak begitu senang dengan perkembangan itu ialah Datuk Abu Bakar Baginda, Menteri Besar Selangor pada tahun 1959-64. Dalam ucapannya di hadapan menyuarat perwakilan UMNO Kuala Lumpur 26 Mac, 1961 seperti yang tersiar dalam akhbar Utusan Melayu tanggal 27 Mac, 1961 telah menyebut: 'Menteri Besar Selangor, Datuk Abu Bakar Baginda memberitahu sidang agung perwakilan UMNO bahagian Kuala Lumpur, bahawa dalam UMNO Selangor ada anggota-anggotanya yang berfahaman komunis. Inilah satu penyakit yang dipandang sangat berbahaya dan perlu dibersihkan.'
Bercakap mengenai gerakan subversif, menteri besar itu berkata 'gerakan tersebut dalam pertubuhan kita ini dengan tujuan merosakkan kerajaan kita. Gerakan ini berjalan dengan halus dan tidak kita sedari, kadang-kadang sampai kepinggan nasi kita. Merosakkan satu sama lain dan melaga-lagakan antara sesama kita (dan) dengan itu mudahlah mereka merebut kuasa.
Demikianlah satu kenyataan yang paling terus terang yang pernah dibuat oleh seorang yang berjawatan menteri besar dari parti Perikatan.
*******
Pergeseran dalam UMNO dalam tahun tujuh puluhan terutama di antara Pergerakan Pemuda UMNO melawan UMNO, adalah antaranya kerana menentang pengaruh petualang-petualang komunis yang menyeludup ke dalam UMNO sejak lama dulu.
Sungguhpun pertarungan tu begitu hebat, tetapi akhbar tidaklah melaporkan dengan betul, kerana ternyata begitu besar pengaruh golongan komunis di luar dan di dalam.
Tun Razak dalam satu rapat umum di padang Majlis Bandaran Macang, Kelantan pada 20 Ogos, 1974, telah menyatakan betapa kepercayaan penuhnya terhadap Datuk Abdullah Ahmad, iaitu seorag daripada orang yang menjadi sasaran Pergerkan Pemuda UMNO Malaysia:'Saya mengujinya selama 13 tahun dan kalau saya tidak puas hati dengannya masakan dia begitu lama dengan saya'.
Demikian pembelaan Tun Razak terhadap beliau, yang kemudiannya setelah Samad Said Ketua Pengarang kumpulan akhbar The New Straits Times yang begitu berpengaruh di kalangan sasterwan telah ditahan, akhirnya Datuk Abdullah Ahmad dan Abdullah Majid kedua-duanya Timbalan Menteri telah juga ditahan kerana kegiatan yang disebutkan sebagai pro-komunis.
Bagi orang ramai yang mengikuti perkembangan politik di Malaysia, kejadian-kejadian ini tidaklah memeranjatkan disebabkan kejadian-kejadiian itu bukanlah sesuatu yang baru dan tidak juga seseuatu yang tidak pernah diperkatakan.
Persoalan sekarang kepada rakyat yang anti komunis ialah bagaimana negara ini dapat diselamatkan dari bahaya komunis yang mana pun, juga, baik golongan China yang berkiblat ke Pekng yang bermatlamat menegakkan negara republik yang dinamakan "People Democratic Sosialist Republic (PDSR), atau pn golongan Melayu yang berkiblat e Moscow yang juga mahukan sebuah negara republik yang dinamakan "Malay Sosialist Democratic Repuclic (MSDR).
Pada suatu ketika , kegoncangan dalam hal ini benar-benar dirasakan berlaku, sehingga Tan Sri Syed Jaafar Albar semasa hayatnya sebelum beliau dipilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pernah menyatakan kepada saya, "Saudara Amaluddin, keadaan ini sangatlah serius, kemungkinan satu hari setelah kita bangun pagi, akan kedengaran pemberitahuan dari radio supaya setiap orang mestiii berada di rumah, kerana rampasan kuasa oleh komunis telah berlaku dan perintah berkurung diistiharkan".
(besambung)