Deklarasi Rakyat Adalah Bos!
I. Mukadimah
Rakyat adalah tuan punya kepada negara dan bos kepada kerajaan. Dalam
mana-mana negara moden, konsep ini dihormati sepenuhnya. Pada halnya, pergerakan
anti-penjajahan dan nasionalisme yang berkembang di seluruh dunia dalam
pertengahan Abad ke-20 bertujuan untuk menegakkan kedudukan rakyat sebagai tuan
punya negaranya, bukan untuk menggantikan penjajah asing dengan penjajah
tempatan yang terus menghambaabdikan rakyat.
Malangnya, selepas 42 tahun kemerdekaan, masih ramai yang gagal menghormati
rakyat sebagai tuan punya negara. Apa yang memenuhi telinga kita adalah
dalih-dalih palsu seperti “Rakyat harus berterima kasih kepada kerajaan”,
“Media kerajaan adalah mesin propaganda khas untuk parti pemerintah” serta
“Kawasan yang menyokong parti pembangkang tidak akan dibangunkan”. Ini bukan
sahaja mencerminkan keangkuhan ahli-ahli politik tetapi juga kedaifan rakyat.
Sikap-sikap ini merupakan punca kepada masalah-masalah yang dihadapi negara
kita: kehidupan harian rakyat yang disukarkan oleh pelbagai kesulitan,
komuniti-komuniti dinafikan hak pembangunan yang sewajarnya, isu-isu nasional
diabaikan kerana isu-isu etnik dan agama lebih mendapat perhatian, malahan,
nyawa serta harta-benda terkorban dalam keadaan yang sebenarnya dapat dielakkan.
Rakyat yang tidak bijak memilih tidak mungkin dapat melahirkan pemimpin yang
amanah dan berkaliber. Rakyat harus sedar tentang apa yang berlaku di sekitar
mereka sebelum mereka boleh menuntut kemajuan. Kami ingin mengajak warga-warga
Malaysia sekalian untuk beridiri tegak atas hak dan harga diri mereka. Tidak
kira parti mana yang kita sokong, pastikan kita anda sampaikan mesej ini kepada
parti-parti dan ahli-ahli politik dengan jelas dan tegasnya : “Rakyat Adalah
Bos! “
II. Konsep
- Rakyat adalah Bos, Kerajaan cumalah Pengurusan Rakyat adalah tuan punya
negara, kerajaan cumalah pihak yang dilantik rakyat untuk mentadbir negara.
Bayangkan negara itu sebuah korporat. Rakyat adalah bos, setiap warganegara
merupakan pemegang saham. Kerajaan adalah pengurusan dan pemegang-pemegang
jawatan awam adalah orang suruhan rakyat. Upah dan gaji kakitangan kerajaan
serta perbelanjaan kerajaan yang lain dibayar dengan wang rakyat yang datang
bertitik peluh. Maka, kerajaan mestilah berkhidmat untuk rakyat. Kita rakyat,
sebagai bos, berhak untuk mengkritik kerajan. Kerajaan yang dilantik rakyat
mesti menghormati suara hati rakyat yang melantiknya. Ia sama sekali tidak
boleh mengugut atau menghukum bosnya.
- Pilihanraya Adalah Proses Pemilihan Untuk Pengurusan Baru Tempoh sesebuah
parti membentuk kerajaan selepas memenangi pilihanraya cumalah lima tahun
sahaja. Jawatan kerajaan dikosongkan apabila tamatnya tempoh lima tahun itu
ataupun apabila Parlimen dibubarkan oleh DYMM Yang Di-pertuan Agong atas
nasihat kerajaan yang sedang memerintah. Pilihanraya sebenarnya adalah sesi
temuduga untuk melantik pengurusan baru manakala pengundi adalah pemegang
saham yang bersama-sama menemuduga calon-calon dan menentukan pemegang
jawatan. Setiap pengundi itu bebas menentukan sama ada untuk mengekalkan
pengurusan yang sama atau menukar orang baru. Apabila jawatan kerajaan
dikosongkan kerana penamatan tempoh atau pembubaran Parlimen, parti
pemerintah cuma berfungsi sebagai ‘kerajaan penjaga’ (care-taker
government). Sepertimana seorang pengurus syarikat tidak boleh menggunakan
wang pemegang saham untuk mempromosikan diri atau mengejar kepentingan
dirinya, ’kerajaan penjaga’ juga tidak harus menyalahgunakan
sumber-sumber negara untuk mempromosikan diri demi mempertingkatkan peluang
kemenangannya dalam pilihanraya.
- Calon Tidak Boleh Mengugut Bosnya Semasa pilihanraya, semua parti politik
dan calon adalah calon-calon untuk kerajaan baru. Mereka tidak harus
menggunakan taktik-taktik kotor untuk mengugut pengundi sepertimana seorang
pemohon kerja tidak boleh mengugut bakal majikan supaya melantiknya. Sebagai
contoh, jika kerajaan sesebuah negara memperuntukkan dana pembangunan cuma
untuk kawasan yang dimenangi parti pemerintah, perkara ini adalah tidak
masuk akal sama seperti jika pengurusan sesebuah syarikat membahagikan
dividen cuma kepada sebilangan dan bukan kesemua pemegang saham.
- Pilihanrakyat bukanlah untuk membalas budi Undi adalah surat perlantikan
untuk lima tahun akan datang. Maka, parti dan calon yang menang dalam
pilihanraya sebenarnya berhutang budi kepada rakyat yang memberikan mereka
mandat untuk merealisasikan rancangannya. Apabila mereka berkhidmat selepas
pilihanraya, mereka sebenarnya sedang membalas budi pengundi. Kita pengundi
tidak mempunyai kewajipan untuk memilih mereka sekali lagi dalam pilihanraya
baru. Pilihan kita seharusnya bergantung kepada kebolehan mereka untuk
menjalankan tugas dengan baik dalam tempoh lima tahun yang baru. Kita
menilai pencapaian parti-parti dan ahli-ahli politik pada masa lalu cumalah
untuk mengetahui sama ada mereka mempunyai hasrat, kecenderungan serta
kebolehan dalam mencapai impian para bos, bukan untuk membalas budi
mana-mana pihak. Ahli-ahli politik yang berjaya dipilih semula mesti ingat
bahawa rakyat tidak berhutang budi kepada mereka dalam lima tahun yang lepas
sebaliknya sekali lagi mereka kini berhutang budi kepada rakyat untuk lima
tahun yang akan datang.
III. Tindakan
Sebagai Sebagai bos kepada Kerajaan, rakyat mestilah menyatakan impian dan
aspirasi mereka dengan jelas dan menyoal parti-parti politik dan calon-calon
tentang cara untuk memenuhi impian kita. Kita tidak perlu menghamba abdikan diri
kita dan terbelenggu oleh ahli politik.
Wahai rakyat Malaysia, marilah kita berdiri tegak dan maju ke hadapan,
bersama-sama mengemukakan permintaan dan harapan kita (seperti pembinaan sekolah,
pembinaan tempat beribadat, penghapusan tol lebuhraya atau penyediaan tanah
perkuburan) serta menuntut semua parti politik menyahut permintaan kita. Biar
kita menentukan undi kita berdasarkan sejauhmana mereka sanggup menyahut
permintaan kita. Kita tidak perlu merendah-rendahkan diri kita di depan
ahli-ahli politik untuk membuat sesuatu tuntutan. Mengapa kita sebagai bos perlu
merayu untuk perkhidmatan yang kita berhak terima ?
Kita seharusnya memastikan ahli-ahli politik yang berkaliber berebut-rebut
mengambil initiatif untuk memuaskan permintaan kita. Dengan cara ini, tidak kira
siapa yang dipilih untuk memerintah, permintaan dan tuntutan kita akan dapat
direalisasikan atau dihormati. Kita mesti menghormati diri kita sebelum kita
mengharapkan penghormatan orang lain. Jika kita memainkan peranan kita sebagai
bos, parti-parti dan ahli-ahli politik akan terpaksa memajukan diri mereka
supaya tidak ketinggalan.
Ini akan membawa kepada pembanguan yang lebih komprehensif dan pesat di
bidang politik, ekonomi dan sosial. Inilah satu-satu caranya negara kita dapat
boleh mencapai kestabilan, kemakmuran dan kemajuan yang bermakna sebenar.
“Cuma bos yang pandai dapat memastikan kemajuan dan pembanguan korporat yang
berterusan.” Kita ingin berkongsi mesej ini dengan 10.3 juta orang boss di
seluruh negara.
Pelan Tindakan Bos-bos
- Mengadakan perjumpaan antara penduduk-penduduk tempatan untuk berbincang
tentang isu politik, ekonomi dan isu-isu tempatan. Mengeluarkan Kenyataan
Bos anda sendiri dan menuntut ahli politik serta pengundi lain supaya
mengambil berat tuntutan mereka.
- Menuntut parti-parti politik atau calon-calon supaya mengambil pendirian
tentang deklarasi ini.
- Menyelia media. Memastikan suara hati pengundi akan didengar. Bantahi
laporan media yang tidak profesional dengan aduan, kritikan dan boikot.
- Menyelia calon-calon yang dipilih untuk memastikan janji-janji mereka akan
terkota.
tat kean