Oleh Ibrahim Baba
Alat-alat pilihanraya UMNO Terengganu.
Untuk sekian ketika saya tidak dapat mengirimkan rencana saya untuk para webmasters kerana berada di luar negara baru-baru ini. Namun demikian, saya tetap mengikuti perkembangan perjuangan reformasi dan usaha murni untuk menegakkan keadilan di tanah air. Teruskan perjuangan para webmasters melalui internet.
Tetapi kerana kesuntukkan masa dengan pelbagai urusan ketika melawat beberapa negara saya terpaksa memilih artikel-artikel tertentu sahaja untuk dibaca. Di dalam penerbangan pulang, saya bernasib baik juga kerana duduk di kelas business bersebelahan dengan seorang Datuk yang pernah menduduki jawatan yang agak kanan juga di negeri Terengganu.
Kebetulan pula kami memang kenal kerana salah seorang anak beliau adalah rakan sekelas saya ketika saya menuntut di sekolah menengah di Terengganu ketika bapa saya bertugas di sana beberapa belas tahun yang lampau. Dalam perjalanan yang berjam-jam itu, jelaslah bagi saya bahawa Datuk ini amat merestui tindak tanduk anak beliau yang kini amat aktif dengan reformasi di KL yang turut berada di dalam rumah DSAI ketika diserbu oleh pengganas bertopeng.
Beliau sendiri pun amat jelas menyokong Barisan Alternatif cuma belum berani untuk ke depan memberi ceramah atau untuk menjadi calon. Hasil dari perbualan yang panjang, dapatlah saya cungkilkan beberapa maklumat dari pengalaman yang luas beliau di dalam pentadbiran Terengganu Civil Service (TCS). Saya harap tulisan ini dapat menjadi pengajaran untuk para strategis parti-parti Barisan Alternatif.
Di samping jentera KEMAS, Jabatan Penerangan, BTN, risikan SB dan Risik Tentera (MIO), kerajaan negeri Terengganu mempunyai sekurang-kurangnya tiga lagi jentera yang telah ditubuh khas untuk diberikan peranan sebagai agen untuk agenda politik UMNO/BN di negeri Terengganu.
Agensi-agensi ini mendapat peruntukan penuh dari kerajaan negeri Terengganu. Segala perbelanjaan dan keseluruhan kakitangannya dibayar oleh kerajaan negeri dan wang rakyat tetapi bermotifkan menjadi telinga, mata, hidung dan tangan Barisan Nasional dan bagi mengekalkan kuasa mereka.
Agensi-agensi tersebut adalah:
Saya akan cuba memberi maklumat lanjut berhubung agensi-agensi tersebut di dalam siri akan datang. Insya Allah.
Secara ringkasnya, agensi-agensi ini bergerak dengan pelbagai cara dan topeng untuk menghasut dan mempengaruhi rakyat. Sasaran utama agensi-agensi ini adalah bagi mempengaruhi mereka di kampung dan luar bandar. Sasaran ini amat mudah kerana mereka kurang pendedahan dari parti pembangkang dan mudah terpengaruh dengan janji manis dan mudah pula dibeli dengan songokan kecil.
Mereka ini juga menjadi sasaran kerana maklumat utama yang mereka perolehi hanyalah dari media kerajaan (TV dan Radio). Mereka kurang membaca apatah lagi internet.
Namun menurut Datuk tersebut, tidak semua perjalanan agensi-agensi di atas diguna hanya untuk tujuan politik parti pemerintah. Banyak juga ketika di mana agensi-agensi tersebut digunakan untuk mendapatkan sumber pendapatan tambahan bagi sesetengah exco dan ADUN.
Sumber pandapatan tambahan ini adalah seperti menjadi ahli lembaga pengarah atau mendapat projek untuk mereka sendiri atau kroni mereka.
12 September, 1999.