Catatan Baru Sejarah Tanah Air: UMNO Lahirkan Pemimpin Burung Kakak Tua

2 Sept.1998 - Para pemimpin UMNO yang memberi kepercayaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad untuk menentukan barisan kepimpinannya ekoran tindakan beliau melucutkan jawatan timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai burung kakak tua UMNO.

Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menegaskan:

''Kita harus memberi kepercayaan kepada Dr. Mahathir untuk menentukan barisan kepimpinan di belakangnya termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.''

Tambah Wan Mokhtar, langkah perlucutan jawatan itu mungkin dibuat berdasarkan beberapa perkara dan Perdana Menteri lebih mengetahui mengenainya.

Menteri Besar Tan Sri Sanusi Junid berkata, beliau menyokong sebarang tindakan Perdana Menteri ke atas timbalannya. Katanya, Perdana Menteri mempunyai sebab-sebab tertentu mengenai perkara itu yang akan diketahui kemudian. Pemecatan ini, katanya, tidak ada sangkut paut dengan keadaan ekonomi ketika itu.

Menteri Besar Pahang, Tan Sri Khalil Yaacob berkata, Pahang akur dengan keputusan Perdana Menteri kerana beliau sahaja yang mempunyai kuasa untuk melantik dan melucutkan anggota kabinet. ''Kita akur dengan keputusan itu,'' katanya.

Menteri Besar Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad pula berkata, perlucutan jawatan Anwar Ibrahim bukan sesuatu yang luar biasa tetapi beliau percaya ia dilakukan kerana sebab-sebab yang sangat penting. Katanya, kerajaan negeri menerima keputusan itu dengan rasa keinsafan dan berharap seluruh rakyat dapat menerima keputusan itu.

Menteri Besar Tan Sri Ramli Ngah Talib yakin Perdana Menteri telah menimbang semua aspek sedalam-dalamnya sebelum mengambil keputusan memecat timbalannya. Menurutnya, ia suatu keputusan yang harus dibuat dan merupakan satu keputusan paling penting membabitkan kepentingan rakyat dan negara ini.

''Saya pasti Perdana Menteri telah meneliti dengan mendalam setiap aspek kerana keputusan tersebut adalah sukar untuk dibuat dan melibatkan kepentingan negara, rakyat dan kerajaan pimpinannya,'' katanya.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, secara peribadi beliau sedih dengan tindakan itu tetapi akur dengan keputusan pucuk pimpinan itu.

''Saya minta semua rakyat Perlis berdiri di belakang Perdana Menteri dan bersabar dengan keputusan yang diumumkan itu,'' katanya.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bukan mudah bagi Perdana Menteri untuk membuat keputusan itu kerana ia melibatkan seorang yang berjawatan tinggi dalam kerajaan dan parti.

''Saya yakin bahawa Dr. Mahathir telah mengkaji segala-gala fakta secara mendalam sebelum membuat keputusan ini,'' katanya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Abu Hassan Omar berkata:

''Saya percaya Dr. Mahathir mempunyai alasan tertentu untuk melucutkan jawatan Anwar. Kita akur kepada keputusan Perdana Menteri. Perkara ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan adalah menjadi hak Perdana Menteri untuk melantik dan memecat mana-mana ahli jemaah menteri''.

Beliau seterusnya meminta rakyat bertenang dan berfikiran waras serta meletakkan kepentingan negara lebih daripada kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba berkata beliau berasa agak sedih dengan perlucutan jawatan itu memandangkan Anwar merupakan penggantinya.

''Saya menarik diri daripada bertanding (jawatan Timbalan Presiden UMNO) pada tahun 1993 kerana saya fikir mahu memberi peluang kepada pemimpin muda mengambil alih,'' katanya.

Ghafar turut menasihatkan anggota parti supaya bertenang dan menunggu penjelasan lanjut daripada Dr. Mahathir mengenai perkara itu.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Sabbaruddin Chik berkata, beliau terperanjat dengan pengumuman berita perlucutan jawatan itu. Mengenai kedudukan Anwar dalam parti, beliau berkata perkara itu belum diputuskan lagi.

''Jawatan dalam parti berlainan dengan jawatan dalam kabinet,'' kata Sabbaruddin, Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Pelancongan. Menurutnya, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan membincangkan ''perkara biasa.''

Anggota Majlis Tertinggi (MT), Datuk Syed Hamid Albar berkata, beliau yakin Perdana Menteri mempunyai maklumat yang cukup untuk mengambil sesuatu tindakan bagi kepentingan negara.

''Saya yakin Perdana Menteri bertindak bukan mengikut emosi atau kepentingan peribadi,''.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr. Yusof Noor yakin parti UMNO tidak akan berpecah ekoran perlucutan jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

''Ahli-ahli UMNO harus menaruh keyakinan kepada pucuk pimpinan parti kerana yang menjadi keutamaan ialah kepentingan negara dan parti,'' katanya.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abu Zahar berkata, UMNO Melaka sejak dulu lagi sentiasa menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Akhirnya sejarah politik mencatatkan, kemakah perginya rakan DSAI?


Anwar dilucutkan jawatan

2 Sept.1998 - Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilucutkan jawatannya pada hari ini dalam tahun 1998 sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, selepas 16 tahun empat bulan berada dalam kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Kenyataan tiga perenggan Jabatan Perdana Menteri yang dikeluarkan tepat pukul 8 malam tersebut mengumumkan, perlucutan jawatan tersebut yang berkuat kuasa pukul 5.30 petang 2 Sept. 1998 itu didakwa telah dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Anwar, yang genap 51 tahun pada 10 Ogos 1998, menerima surat perlucutan jawatan itu pada pukul 7.05 malam di kediamannya yang terletak kira-kira 50 meter dari kediaman rasmi Perdana Menteri, Sri Perdana di Jalan Damansara.

Surat itu disampaikan oleh beberapa orang pegawai polis yang dilihat memasuki kediaman Anwar kira-kira pukul 7 malam. Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor turut kelihatan berada di situ.

Majlis Tertinggi UMNO akan mengadakan mesyuarat khas dan ia dijangka membincangkan kedudukan Anwar selaku Timbalan Presiden parti itu.

Dalam kenyataan akhbarnya, Jabatan Perdana Menteri tidak mengumumkan calon yang akan mengisi kekosongan yang wujud berikutan pemecatan Anwar. Bagaimanapun Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin dilantik semula sebagai Menteri Kewangan. Daim adalah Menteri Kewangan dari tahun 1983 hingga 1991.

Beberapa minggu sebelum pemecatan ini, khabar angin telah tersebar luas dalam komuniti kewangan di ibu kota dan di kalangan para pemimpin politik bahawa Anwar telah diminta meletakkan jawatan, tetapi beliau enggan berbuat demikian.

Kediaman Anwar di sini mula didatangi oleh beberapa kumpulan ahli UMNO - termasuk Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi - selepas tengah hari dan menjelang malam, kawasan itu dikawal oleh anggota-anggota polis. Dianggarkan beribu-ribu penyokong Anwar berada di kediamannya malam tersebut.

Menurut beberapa orang pemerhati, apabila Anwar menerima surat perlucutan jawatannya, beliau membawa surat itu ke tingkat atas kediamannya. Ahmad Zahid kemudian mengumumkan kepada mereka yang berada di rumah itu bahawa Anwar baru sahaja menerima surat pemecatan.

Dalam beberapa bulan kebelakangan dari pemecatan ini, sudah tiga kali Anwar menafikan akan meletakkan jawatan walaupun terdapat desas-desus mengatakan beliau telah tidak sehaluan dalam banyak hal dengan anggota-anggota kabinet lain.

Dr. Mahathir juga memberitahu bahawa beliau akan menerima peletakan jawatan Anwar jika Anwar mengemukakan alasan yang kukuh untuk berbuat demikian. Kata Dr. Mahathir: ''Jika beliau memberi alasan yang kukuh mengapa beliau harus meletakkan jawatan, saya akan terima.''

Kebangkitan Anwar - daripada seorang aktivis pelajar tahun 60-an, mengetuai kumpulan pendesak Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 70-an dan kemudian menjadi pemimpin politik generasi baru dalam UMNO pada dekad 80-an dan 90-an - merupakan satu sensasi dalam politik Malaysia.

Beliau ialah Timbalan Perdana Menteri yang ketiga yang tersingkir sepanjang 18 tahun Dr. Mahathir memimpin kerajaan. Sebelum ini, Datuk Musa Hitam dipaksa meletakkan jawatan pada tahun 1986. Ghafar Baba pula menjadi Timbalan Perdana Menteri dari tahun 1986 hingga 1993, sebelum kedudukannya sebagai Timbalan Presiden UMNO dicabar oleh Anwar pada pemilihan UMNO tahun 1993.

Anwar menjadi harapan rakyat negara ini sebagai pengganti Dr. Mahathir sebelum desas-desus tersebar di kalangan ahli-ahli UMNO dan pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) berhubung pengaruhnya yang semakin merosot dalam kerajaan dan keretakan hubungan beliau dengan Perdana Menteri.

Beberapa hari sebelum peristiwa ini, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Ahmad Mohamed Don yang dikatakan mendapat sokongan Anwar meletakkan jawatan selepas tidak bersetuju dengan polisi drastik pengawalan mata wang dan kawalan modal yang diperkenalkan oleh Dr. Mahathir.

Anwar mempunyai sejarah politik yang berwarna-warni dalam UMNO iaitu parti yang merupakan tulang belakang Barisan Nasional. Beliau mengumumkan penyertaan aktifnya dalam UMNO pada 29 Mac 1982 dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan di Jabatan Perdana Menteri di hadapan Dr. Mahathir sendiri. Anwar mengumumkan beliau memasuki UMNO ''kerana kagum dan yakin dengan pentadbiran dan corak perjuangan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad''.

Bekas aktivis pelajar yang pernah dipenjarakan selama dua tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Anwar yang ketika itu berusia 35 tahun bertanding buat pertama kali dalam pilihan raya umum 1982 atas tiket Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Pada pilihan raya itu beliau menumpaskan calon Pas dan DAP dengan majoriti 14,352 undi dan selepas pilihan raya umum itu, beliau terus dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Selepas itu, beliau dilantik sebagai Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan (1983), Menteri Pertanian (1984), Menteri Pendidikan (1986), Menteri Kewangan (1991) dan Timbalan Perdana Menteri (1993).

Di dalam UMNO, Anwar mendaki tangga kekuasaan dengan menjadi Ketua Pemuda UMNO (1982-1987), Naib Presiden (1987-1993) dan Timbalan Presiden (1993 hingga beliau dipecat 2 September 1998).