DSAI Dituduh Peliwat, Homoseks Hanya Berdasarkan Sebuah Buku

3 September, 1998. - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah didakwa  meliwat seorang lelaki sebanyak 15 kali, melakukan hubungan seks dengan wanita pelbagai bangsa dan cuba memikat isteri orang. Dakwaan-dakwaan tersebut terkandung dalam afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 3 September 1998.

Afidavit itu mendakwa Anwar menerima RM60 juta daripada Pengarah Eksekutif Perhubungan Awam, Magnum Corporation Berhad, Datuk Nallakaruppan a/l Solaimalai atau Nalla pada pilihan raya umum 1995.

Selain itu, Nallakaruppan yang didakwa sering mengikutinya ke luar negara dan menjalankan aktiviti-aktiviti sebagai orang tengah yang membolehkan Anwar dipergunakan oleh anasir-anasir jahat bagi mengancam keselamatan negara.

Afidavit tersebut difailkan oleh Ketua Bahagian Pendakwaan Undang-Undang, Bukit Aman, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis II, Musa Hassan yang merupakan penyelia pegawai penyiasatan bagi kes buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerima afidavit tersebut bersama-sama tiga lagi afidavit untuk dijadikan sebagai bahan rekod dalam kes Nallakaruppan.

Musa, Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, Ketua Pengarah Penjara, Datuk Omar Mohamed Dan, Penolong Pesuruhjaya V. Ramasamy memfailkan afidavit-afidavit berkenaan sebagai jawapan untuk menolak permohonan Nallakaruppan supaya penahanannya dipindahkan dari lokap Bukit Aman ke Penjara Sungai Buloh.

Antara kandungan di dalam afidavit Musa itu berbunyi: ''Seorang saksi lelaki telah menyatakan bahawa dia telah diliwat oleh Anwar sebanyak 15 kali. Kegiatan homoseksual ini telah berlaku di beberapa tempat termasuk di sebuah apartmen Tivoli Villa di Bangsar.'' Kenyataan ini berasaskan Buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM".

Terdapat juga kenyataan oleh seorang saksi yang menyatakan dia mengesyaki kakak iparnya menjalin hubungan seks dengan Anwar.

Selain itu, afidavit itu menyebut Anwar telah dilihat oleh seorang saksi menyamar memakai rambut palsu selepas pulang dari Tivoli Villa.

Menurut afidavit itu lagi, bekas pemandu peribadi Nallakaruppan membuat kenyataan bahawa dia pernah membawa Anwar pergi ke tempat tertentu untuk perkhidmatan seks haram. Dia pernah ditugaskan oleh Nallakaruppan untuk pergi mengambil perempuan-perempuan berbangsa Cina, Mexican, Eurasian dan bangsa lain untuk kegiatan seks haram.

Seorang lagi saksi wanita dalam afidavit itu, yang bekerja di sebuah syarikat di mana Nallakaruppan adalah salah seorang pengarah syarikat tersebut menyatakan, dia telah dibawa oleh Nallakaruppan ke Tivoli Villa dan terperanjat ditemukan dengan Anwar.

''Mereka telah mengadakan hubungan seks. Setelah selesai mengadakan hubungan seks dengan Datuk Seri Anwar saksi ini menyatakan bahawa mereka telah berbincang tentang hal ehwal politik negara. Nallakaruppan telah memberi saksi ini RM350,'' tambah afidavit itu.

Menurut afidavit itu, sewaktu polis menjalankan siasatan, satu lagi laporan polis telah dibuat oleh seorang ahli korporat yang mendakwa bahawa Anwar cuba memikat isterinya. Perkara itu berlaku ketika beliau dan isterinya mengikuti rombongan Anwar ke Washington.

Dalam siasatan polis, Nallakaruppan juga didakwa terlibat dalam aduan yang dibuat oleh ahli korporat itu. Polis juga dikatakan mempunyai maklumat bahawa Nallakaruppan sering mengikuti Anwar ke luar negara dan menjalankan aktiviti-aktiviti sebagai orang tengah yang membolehkan Anwar dipergunakan oleh anasir-anasir jahat luar negara.

Hakim Abdul Wahab Patail yang mendengar kes itu turut memutuskan untuk menolak permohonan Nallakaruppan memadamkan beberapa perenggan dalam afidavit itu yang didakwa mengandung unsur skandal yang keterlaluan dan tiada kaitan dengan apa yang dibangkitkannya.

Hakim itu dalam alasannya berkata: ''Saya berpuas hati bahawa afidavit itu adalah relevan dan layak dijadikan rekod bagi kes ini.''

Peguam-peguam Manjeet Singh Dhillon dan Balwant Singh Sidhu yang mewakili Nallakaruppan mengemukakan permohonan itu untuk mencabar kesahihan penahanan anak guamnya di lokap Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Dalam permohonannya, Nallakaruppan menamakan Ketua Pengarah Penjara, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Berhubung kes itu, Nallakaruppan menghadapi tuduhan memiliki 125 peluru hidup jenis Fiocchi 6.35 mm, kira-kira pukul 8 malam pada 31 Julai 1998 di rumahnya, No.1-1, Selekoh Tunku, Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Dia didakwa mengikut Seksyen 57(1)(b) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 (semakan 1972) yang membawa hukuman mati mandatori.

Nallakaruppan ditahan di lokap Bukit Aman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan atas dakwaan membabitkan keselamatan negara.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad dan Timbalan Pendakwa Raya, Stanley Augustin bertindak mewakili pihak pendakwa.

Bagaimana pun segalanya ini adalah antara fakta palsu yang cuba diketengahkan oleh pihak yang mengujudkan konsfirasi politik di peringkat tertinggi pimpinan negara Malaysia bagi menjatuhkan DSAI.


Anwar menafikan semua tuduhan

3 September, 1998. - Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini dalam tahun 1998 telah dengan kerasnya menafikan semua tuduhan berhubung perlakuan sumbang dan penglibatan dengan anasir-anasir jahat luar negara yang boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan negara, sebagaimana didakwa.

''Ia adalah rekaan belaka. Saya akan menentangnya habis-habisan,'' katanya pada sidang akhbar yang penuh sesak dengan kira-kira 200 pemberita di rumahnya di Jalan Setiamurni, Bukit Damansara petang 3 September, 1998.

Beliau yang dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 Sepotember, 1998 mendakwa, terdapat cerita-cerita tidak benar dalam afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini oleh Peguam Negara dan polis.

Dalam afidavit itu Peguam Negara dan polis menyenaraikan penglibatan homoseksual Anwar dengan seorang lelaki dan hubungannya dengan pelacur-pelacur wanita yang dibekalkan oleh seorang pengarah syarikat, Nallakaruppan a/l Solaimalai.

Anwar berkata, saksi-saksi berkaitan kes tersebut ''telah ditekan dan diugut supaya membuat kenyataan mengaibkan saya pada mata ramai''.

Ini merupakan reaksi pertama Anwar terhadap perlucutan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta tuduhan-tuduhan ke atasnya yang beliau sifatkan sebagai fitnah besar. Isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berada di sebelahnya sepanjang sidang akhbar itu yang bermula pada pukul 3.08 petang dan berakhir 42 minit kemudian.

Beribu-ribu penyokongnya berada di rumah itu termasuk Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi. Turut hadir ialah Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor.

Ketika Anwar tiba di rumahnya, beliau disambut dengan pelukan para penyokong dan ahli keluarganya. Apabila beliau duduk di depan pemberita, beliau membuat jenaka dengan bertanya: ''Apa yang berlaku?''

Pada sidang akhbar itu Anwar beberapa kali menegaskan bahawa beliau telah difitnah. Anwar mencabar musuh-musuh politiknya: ''Bariskan 100 pelacur, ini tidak akan merubah kenyataan bahawa semua ini adalah fitnah yang direka.''

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu, penjelasan terperinci mengenai beberapa fitnah terhadapnya telah dikemukakan dalam surat-suratnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad bertarikh 25 dan 28 Ogos, 1998.

Anwar kemudian memberitahu, semua tuduhan itu tidak ada asas. Katanya, beliau mempunyai bukti dalam bentuk pita rakaman, dokumen dan kenyataan bersumpah yang ''akan menunjukkan saya tidak bersalah''.

''Fitnah-fitnah itu,'' katanya, ''bertujuan untuk menghakiskan keyakinan umum terhadap diri saya.''

Berusia 51 tahun, Anwar yang menyertai UMNO pada tahun 1982 dan sebelas tahun kemudian mendaki tangga kekuasaan kerajaan dengan menjadi Timbalan Perdana Menteri, tetap petah dalam jawapan-jawapannya kepada soalan pemberita.

Dalam nada tinggi, bekas pemimpin pelajar tahun 70-an itu berkata, jika beliau mahu mengikut cara permainan jahat, beliau pun boleh membayar wang kepada pelacur untuk mengenakan orang-orang tertentu.

''Saya tidak meminta sebarang keistimewaan daripada pihak berkuasa perundangan dan jentera penguatkuasaan di negara ini.

''Apa yang saya perkatakan ialah keadilan. Adalah sesuatu yang tragik apabila institusi kerajaan telah dipergunakan oleh mereka yang mengadakan pakatan terhadap saya untuk mereka-reka dan mengada-adakan tuduhan. Kalau saya, sebagai orang nombor dua di negara ini, tidak boleh mendapat keadilan dan menjadi mangsa tuduhan-tuduhan ini, maka saya rasa sedih bagi negara ini,'' katanya.

Beliau menyatakan ketidakgentaran untuk menghadapi tuduhan-tuduhan tersebut termasuk jika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau Akta Rahsia Rasmi (OSA). Secara berseloroh, beliau berkata, beliau telah mempunyai cukup pengalaman ditahan di bawah ISA pada tahun 70-an bagi menghadapi kemungkinan ditangkap sekali lagi.


Anwar Juga Dipecat Dari UMNO

3 September, 1998. - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari UMNO berkuat kuasa serta-merta. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad ketika mengumumkan keputusan itu tengah malam 3 Sept. 1998 berkata:

''Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebulat suara memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada parti. Kita telah putuskan pemecatan itu secara musyawarah.'', dakwa Mahathir Mohammad.

Anwar, yang dipecat daripada kesemua jawatannya dalam kabinet dalam mesyuarat MT yang bermula pukul 9 malam. Kira-kira 22 minit sebelum Dr. Mahathir mengumumkan keputusan MT kepada para wartawan iaitu pada pukul 12.30 malam berkenaan, Anwar berjalan keluar dari bilik mesyuarat dan berkata ringkas: ''Biar PM buat kenyataan. Saya tiada urusan lagi di sini.''

Dr. Mahathir berkata, kekosongan jawatan Timbalan Presiden UMNO akan dibiarkan sehingga pemilihan parti tahun depan. Bagaimanapun Perdana Menteri berkata beliau akan memangku jawatan Menteri Kewangan buat sementara waktu.

Pengumuman itu dibuat dalam sidang akhbar yang disifatkan Dr. Mahathir sebagai luar biasa kerana dihadiri oleh kesemua anggota MT, dan ia menggambarkan keputusan pemecatan itu adalah secara musyawarah. Hanya Naib Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak hadir kerana menghadiri Persidangan Kemuncak Negara-negara Berkecuali di Afrika Selatan.

Ketika ditanya sebab pemecatan Anwar dari parti, Dr. Mahathir memberitahu: ''Ini tidak kena mengena dengan kerajaan. Ini adalah masalah parti dan kita telah bincang dengan panjang lebar. Kita membuat keputusan dan saya tidak perlu membuat penjelasan tentang sebab-sebab kita membuat keputusan demikian kerana ia mengikut budi bicara ahli MT.''

Mengenai jawatan dalam kerajaan pula, beliau dengan ringkas memberitahu: ''Kita mendapati beliau tidak lagi sesuai (untuk memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan).''

Kata Dr. Mahathir, kedudukan Anwar sebagai Ahli Parlimen kawasan Permatang Pauh tidak terjejas. Beliau menjelaskan keputusan MT malam ini tidak akan memecahkan perpaduan di kalangan ahli-ahli UMNO ataupun mewujudkan puak memandangkan ia dicapai sebulat suara. Menurut Dr. Mahathir, mesyuarat khas MT malam ini hanya membincangkan satu perkara iaitu masalah Timbalan Presiden.

''Saya jelaskan tentang masalah ini dan kenapa MT perlu mengambil tindakan yang sesuai dengan apa yang dilaporkan,'' katanya sambil menambah Anwar kemudian diberi peluang penuh untuk menjelaskan dari segi pandangannya bagi mempertahankan diri.

''Dia dibenarkan bercakap selama mana yang dia mahu untuk mempertahankan diri,'' katanya.

Dr. Mahathir menambah bahawa ahli-ahli MT diberi peluang satu persatu menyuarakan pendapat masing-masing.

''Umumnya berpendapat Anwar harus menarik diri daripada UMNO. Jika tidak ia akan dipecat keahlian UMNO,'' tambahnya.

Anwar, katanya, diberi peluang sekali lagi menjelaskan pendiriannya dan beliau menyatakan tidak sanggup berundur daripada UMNO tetapi akan menerima apa juga keputusan yang dibuat oleh MT. Selepas Anwar diminta keluar, MT bersetuju mengundi secara konsensus dan sebulat suara membuat keputusan ''Anwar dipecat daripada keahlian UMNO.''

Ketika ditanya sama ada Anwar akan dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Rahsia Rasmi, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak tahu mengenai perkara itu.

''Tetapi sebagaimana dilaporkan (kandungan afidavit), terserah kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan sekiranya perlu saya pasti pihak berkuasa akan berbuat demikian,'' katanya.

Anwar kemudian turun dari bangunan itu dan berucap di hadapan kira-kira 1,000 penyokongnya yang menunggu di bawah. Sambil mengumumkan berita pemecatan itu beliau berkata: ''tindakan itu adalah bertentangan dengan keadilan... jadi saya akan lawan dan pertahankan hak saya.''

Katanya, beliau tidak bersalah terhadap sebarang tuduhan terhadapnya dan tidak bersedia untuk melepaskan jawatan. Bagaimanapun beliau menasihatkan penyokong-penyokongnya itu supaya bertenang dan tidak melakukan sebarang gangguan.

''Saya tidak mahu ada sebarang gangguan di sini yang akan memberi alasan untuk mereka menambah hukuman saya,'' katanya.

Sebelum berlepas pulang, beliau berkata kepada penyokong-penyokongnya: ''beri laluan kepada mereka (ahli-ahli MT yang akan pulang) tapi luahkan perasaan kamu.''

Sementara itu, Setiausaha Agung Datuk Sabbaruddin Chik berkata, paling cepat Anwar boleh memohon menyertai semula UMNO selepas tiga tahun.

MINDA RAKYAT