Tertubuhnya Gerakan Reformasi Negara

4 September, 1998 - Gerakan Reformasi Negara menentang kezaliman telah dilancar pada hari ini dalam tahun 1998, dua hari selepas DSAI dipecat oleh PM Mahathir Mohamad.

Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memberitahu dihari pelancaran 'Reformasi Bermula Di Sini' yang telah dilancarkan di kediamannya, bahawa beliau tidak menolak kemungkinan menubuhkan sebuah organisasi bagi melancarkan gerakan reformasi di negara ini yang akan turut membabitkan parti-parti pembangkang.

Katanya, gerakan reformasi sebenarnya sudahpun bermula dan untuk itu parti-parti pembangkang dan apa jua pertubuhan yang berminat boleh ikut serta menjayakannya.

''Gerakan reformasi sudah bermula. Saya sendiri dapat merasakannya. Anda sendiri sudah dapat melihatnya,'' kata beliau dengan penuh yakin.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selama 20 minit di kediamannya di Bukit Damansara. Sidang akhbar itu diadakan selepas beliau menunaikan Sembahyang Jumaat di sebuah masjid berdekatan rumahnya. Anwar berkata, usaha untuk merealisasikan gerakan reformasi itu bergantung kepada kerjasama rakyat secara keseluruhan. Beliau akan menjelajah ke seluruh negara untuk menerangkan kedudukan sebenar kepada rakyat.

MINDA RAKYAT