Polis Rujuk "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM"

5 Sept. - Keikhlasan PDRM serta kredibilitinya didakwa tercabar apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor mendakwa polis mempunyai empat laporan yang menunjukkan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba mencampuri penyiasatannya berhubung buku ''50 Dalil Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM''. Katanya, laporan-laporan tersebut telah dibuat antara bulan Julai dan Ogos  1998, sebelum DSAI dipecat dari jawatan TPM dan Menteri Kewangan.

''Selain empat aduan tersebut kita mempunyai bukti-bukti lain iaitu beliau mengambil inisiatif-inisiatif yang kuat dan konsisten untuk mempengaruhi perjalanan penyiasatan polis demi untuk faedah beliau,'' katanya. Kenyataan ini menggambarkan bahawa wujudnya konsfirasi peringkat tertinggi bagi menjatuhkan DSAI dan memecatnya dengan tuduhan yang mengaibkan nama beliau dan keluarganya. 

Jelas Abdul Rahim, di antara empat laporan polis (berhubung campur tangan Anwar dalam penyiasatan buku itu), ialah:

* Mendakwa kononnya Anwar menakut-nakutkan (intimidate) saksi-saksi agar mereka tidak bekerjasama dalam siasatan polis berhubung buku itu.

* Anwar juga dikatakan menyalahgunakan kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan agar penyiasatan terhadapnya atau kawan-kawannya ditutup dan tidak diteruskan sampai dihadapkan ke mahkamah, dan;

* Anwar cuba mengubah bukti-bukti dalam penyiasatan polis.

Bagaimanapun, Abdul Rahim, tidak menamakan orang awam yang membuat aduan-aduan polis itu. Abdul Rahim, sebaliknya memberi jaminan bahawa polis sedang menjalankan siasatan terhadap aduan-aduan tersebut menerusi Seksyen 3 (3) Akta Polis 1967 yang merupakan undang-undang induk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

''Apa yang kita lakukan sejauh ini adalah menyiasat empat laporan tersebut termasuk yang dibuat oleh Anwar sendiri berkaitan buku tersebut,'' katanya.

Laporan-laporan terhadap buku itu dibuat di Balai Polis Balakong, dekat Petaling Jaya pada 17 Jun 1998 (laporan pertama); laporan kedua di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 18 Jun 1998; laporan ketiga di Balai Polis Dang Wangi pada 19 Jun dan laporan oleh Anwar sendiri dibuat pada 26 Jun 1998 di balai polis yang sama.


Abdullah Juga Restui Konsfirasi

5 September, 1998 - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya reda dengan apa yang berlaku ke atasnya dan jangan menurut perasaan sehingga mengetepikan kepentingan dan kesejahteraan negara.

Tegas Menteri Luar itu, Anwar perlu sedar bahawa tindakan yang dikenakan ke atasnya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad adalah perkara biasa yang pernah dialaminya dalam parti dan kerajaan.

''Saya sendiri suatu ketika dahulu pernah terkeluar daripada jawatan menteri sebelum diterima semula di dalam kerajaan sekarang,'' kata Abdullah merujuk kepada beliau semasa menyertai S46.

Bercakap dalam sidang akhbar di Wisma Putra, setibanya di tanah air dari menghadiri Persidangan Kemuncak Negara-Negara Berkecuali (NAM) di Afrika Selatan, beliau berharap Anwar tidak mudah terpengaruh untuk bersekutu dengan pembangkang kerana dikhuatiri boleh menimbulkan ketegangan. Tegas Abdullah, sebagai bekas pemimpin kerajaan, Anwar perlu lebih rasional dalam melakukan tindakan dan tidak terlalu menurutkan perasaan sehingga mengetepikan kepentingan negara.

Abdullah mendakwa, kunjungan para pemimpin parti pembangkang ke rumah Anwar adalah kerana mereka mendapati Anwar sudah mempunyai kecenderungan untuk menentang kerajaan. Sebaliknya para pemimpin dan menteri kabinet seorang pun tidak hadir menyatakan simpati, walau hanya dengan satu panggilan pun.

Tindakan Abdullah hanya mencerminkan bahawa keadilan sudah dinodai kerana keadilan tidak diberikan kepada DSAI menangani kesnya.Sebaliknya beliau berpendapat, tindakan Anwar yang kini ingin menjadi penentang itu adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab ketika kerajaan memerlukan kestabilan politik bagi usaha memulihkan ekonomi negara.

Abdullah terang-terang membodek Mahathir dengan seruannya supaya semua ahli UMNO memberikan sokongan padu terhadap tindakan Dr. Mahathir memecat Anwar. Di samping itu beliau memberi amaran kepada ahli-ahli UMNO supaya jangan terpengaruh dengan tindakan Anwar yang dipercayai mengadakan reformasi 'kununnya' ingin meraih simpati rakyat itu.

Abdullah juga membodek Dr. Mahathir dengan menyatakan bahawa Maha Firaun itu telah menemui dan mempunyai asas yang kukuh dan telah menghalusinya terlebih dahulu sebelum bertindak memecat Anwar demi kepentingan negara. Abdullah percaya tindakan pemecatan Anwar tidak akan menjejaskan sambutan Sukan Komanwel XVI (KL '98) kerana kedua-dua perkara itu adalah berbeza.

Abdullah juga enggan mengulas spekulasi siapakan bakal memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana perkara itu adalah di bawah bidang kuasa Perdana Menteri. Sebaliknya beliau kesal kerana Anwar telah bercakap kepada media asing melalui stesen penyiaran CNBC mengenai perkara yang menimpa dirinya seolah-olah ingin meraih simpati dan mendapat sokongan dari luar.

Anwar dalam wawancara itu telah menyatakan bahawa pemecatannya daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan merupakan ''mangsa kepada konspirasi luas di peringkat tertinggi kerajaan''.


PAS Sudah Lama Memulakan Reformasi

5 September, 1998 - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, Pas tidak 'tertarik' dengan ajakan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya parti-parti pembangkang menyertainya menubuhkan sebuah organisasi bagi melancarkan gerakan reformasi di negara ini.

Menurutnya, ini kerana Pas sebagai parti politik kini sememangnya membangkang kerajaan dalam memastikan kehendak Islam dilaksanakan di negara ini.

''Dia tak ajak pun tak apa, sebab dasar Pas dasar Islam, ertinya kita memang dah bentuk satu dasar reformasi. Kalau dia ajak terima kasih sahajalah, tapi kalau dia tak ajak pun, kita memang dah buat kerja. Jika dia salahkan kerajaan berikutan pemecatannya, itu dia punyai pasal, saya tidak mahu komen,'' katanya.

Nik Aziz membuat kenyataannya selepas merasmikan Majlis Ijtimak, Guru-Guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) SeMalaysia ke-3 di sini Kuala Lumpur.

Ketika mengumumkan cadangan gerakan reformasi itu di kediamannya di Kuala Lumpur pada 4 September, 1998, DSAI yang disingkirkan dari kerajaan dan UMNO berkata, buat masa ini beliau sedang menunggu reaksi pihak-pihak yang berminat termasuk parti-parti pembangkang untuk merealisasikan idea tersebut.


Pemuda Wilayah minta Zahid berundur

5 September, 1998 - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO ketika itu, Datuk Ahmad Zahid Hamidi diminta mengundurkan diri kerana gagal menetapkan pendirian berhubung tindakan kerajaan memecat bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Keputusan tersebut dicapai sebulat suara oleh Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan pada satu mesyuarat yang dihadiri oleh semua ketua Pemuda bahagian.

Ketuanya, Abdul Azim Mohd. Zabidi berkata, tindak- tanduk dan sikap Zahid meragukan serta tidak menunjukkan pendirian yang tegas sejak Anwar dilucutkan semua jawatan di dalam kerajaan dan parti. Katanya, tindakan yang sama juga harus diambil oleh mana-mana Exco Pergerakan Pemuda yang meragui tindakan pucuk pimpinan terhadap Anwar.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga kesal dengan penglibatan segelintir pelajar dan anggota pertubuhan bukan kerajaan seperti Angkatan Belia Islam (ABIM) yang didakwanya mengeruhkan suasana selepas dan sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) malam pemecatan DSAI di PWTC.

MINDA RAKYAT