PM Ketuai Konsfirasi

6 September, 1998

Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang bertindak menjadi perancang kepada konsfirasi peringkat tertinggi menjatuhkan DSAI melahirkan hasratnya untuk memberikan penjelasan kepada ahli-ahli UMNO kenapa beliau terpaksa bertindak memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatannya di dalam kabinet dan parti.

Setiausaha Agung UMNO, Sabbaruddin Chik memberitahu bahawa penjelasan itu adalah usaha PM bagi mengelakkan perpecahan di kalangan ahli-ahli di peringkat akar umbi berhubung tindakan tersebut.

''Kita (ibu pejabat UMNO) akan panggil ketua-ketua bahagian dan timbalan, anggota Pergerakan Pemuda dan Wanita pada pertemuan yang akan diadakan secara tertutup di ibu pejabat parti di Pusat Dagangan Dunia Putra".

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr. Yusof Noor juga disifatkan sebagai berkata, Dr. Mahathir membuat keputusan melucutkan jawatan Anwar setelah Perdana Menteri menerima ''bukti kukuh yang sangat sukar ditolak''.


Pemuda Desak Zahid Undur!

6 September, 1998

Pergerakan Pemuda UMNO peringkat negeri-negeri meneruskan tekanan terhadap ketua mereka, Datuk Ahmad Zahid Hamidi supaya berundur secara terhormat kerana kegagalannya menyatakan pendirian berhubung kes pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan UMNO.

Di Alor Setar, Pergerakan Pemuda UMNO Kedah melahirkan kecewa dengan pucuk pimpinan pergerakan itu di peringkat pusat yang gagal mengambil pendirian tegas berhubung pemecatan Anwar. Ketuanya, Abdul Halim Said berkata, barisan Exco Pemuda UMNO sepatutnya mengambil tindakan yang sewajarnya supaya anggota pergerakan itu tidak terkapai-kapai.

''Tidak wajar bagi Zahid membiarkan Pemuda UMNO dalam keadaan tidak menentu tanpa sebarang pendirian yang tetap,'' kata beliau.

Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan sebulat suara meminta Zahid mengundurkan diri kerana beliau gagal menetapkan pendirian berhubung pemecatan Anwar. Anwar dilucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September, 1998 dan sebagai ahli parti itu keesokan harinya.

Menurut Abdul Halim, Pemuda UMNO Kedah turut menyokong tindakan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang sebulat suara memecat bekas Timbalan Perdana Menteri itu daripada UMNO demi kredibiliti, maruah dan moral parti.

Di Kota Bharu, sembilan Ketua Pemuda UMNO Kelantan menasihatkan Zahid agar mengundurkan diri sekiranya gagal menetapkan pendirian berhubung tindakan pemecatan Anwar. Bahagian-bahagian itu ialah Machang, Peringat, Gua Musang, Tanah Merah, Pengkalan Chepa, Kuala Krai, Jeli, Tumpat dan Rantau Panjang.

Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakob yang mewakili sembilan bahagian berkenaan berkata, sikap Zahid yang berdiam diri mengenai isu itu menimbulkan kekeliruan di kalangan Pemuda UMNO peringkat akar umbi.

Sementara itu, lima lagi bahagian Pemuda termasuk Bachok yang dipimpin oleh Ketua Pemuda Negeri Zaiyadi Awang Noh, Kota Bharu, Kubang Kerian, Pasir Puteh dan Pasir Mas masih belum menyatakan pendirian berhubung dengan isu tersebut. Ahmad Jazlan berkata, Zahid sepatutnya memperlihatkan komitmen yang jelas kepada pucuk pimpinan parti berhubung isu perlucutan jawatan Anwar.

Dalam pada itu, dua Pergerakan Pemuda UMNO peringkat negeri Kelantan turut menyokong gesaan Ketua Penerangan UMNO Pusat, Datuk Dr. Yusof Noor yang meminta Anwar tidak melibatkan golongan pelajar dalam gerakan reformasi beliau.

Sementara itu di Pulau Pinang, Pemuda UMNO Negeri belum membuat sebarang pendirian berhubung pemecatan Anwar. Sebaliknya, sebarang pendirian mengenai perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat pergerakan tersebut yang akan diadakan tidak lama lagi.

Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Nor Azman Othman memberitahu, mesyuarat tersebut belum dapat diadakan kerana Ketua Pergerakan tersebut, Dr. Abdul Rahim Ghouse masih berada di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Norazman yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Tasek Gelugor berkata, pergerakan bahagian tersebut memberikan sokongan penuh kepada MT berhubung pemecatan Anwar. Turut memberikan sokongan penuh terhadap keputusan MT itu ialah Pergerakan Pemuda UMNO Kepala Batas, Pemuda UMNO Bukit Mertajam dan Pemuda UMNO Bayan Baru.

Di Kangar, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Perlis, Zahidi Zainal Abidin menyifatkan tindakan melibatkan pelajar dalam gerakan seumpama itu hanya merugikan negara dan rakyat.

Di Shah Alam, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Jaya Kasuma berkata, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak mengeksploitasi pelajar untuk kepentingan peribadi mereka. 

Sementara itu, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (MPPUM), Wan Jemizan Wan Deraman berkata, anggapan mengatakan golongan pelajar sentiasa menjadi mangsa dan sering dipergunakan oleh pihak-pihak berkepentingan adalah tidak benar.

''MPPUM mengambil pendirian tidak terikut-ikut dengan mana-mana pihak dalam isu ini dan tidak akan membiarkan mana-mana pihak memperkotak-katikkan MPPUM untuk tujuan peribadi,'' katanya.

Beliau berkata, masih terlalu banyak permasalahan negara yang perlu difikirkan oleh golongan pelajar, justeru MPPUM tidak mahu menjadikan keadaan lebih buruk dengan terlibat sama dalam isu berkenaan.

Di Melaka, Ketua Pemuda UMNO Melaka, Nazari Adzim pula menyarankan Zahid tidak mengundurkan diri, sebaliknya exco-exco dan Ketua Pemuda bahagian hendaklah bekerja keras kepada usaha memperkukuhkan parti.


Tertubuhnya Laman Reformasi

6 September, 1998

Walau pun tarikh sebenar gagal diketahui, namun peranan Laman Web yang menyokong Gerakan Reformasi Negara sudah ditubuhkan sejak Gerakan Reformasi Negara dilancarkan pada 4 September, 1998.

Laman ini telah dipelopori oleh penyokong reformasi menggunakan nama penanya Mahazalim. Laman Reformasi ini telah mencapai kemuncak popularitinya dalam masa yang singkat dan menjadi sandaran maklumat utama kepada pencinta kebenaran dan keadilan serta seluruh dunia yang mahu mengetahui kedudukan sebenar pemecatan DSAI dari kerajaan dan parti.

Selain Laman Reformasi, terdapat juga laman web seperti Suara Keadilan, Reformasi, Gerakan Reformasi Negara, Suara Reformasi dan lain-lain. Pertumbuhan laman reformasi ini dikesan seperti tumbuhnya cendawan selepas hujan turun dan ia berperanan besar membantu menyalorkan maklumat sebenar setelah media kerajaan TV1 dan TV2 serta saloran swasta TV3 dan NTV7 dibolot oleh kerajaan bagi melindungi konsfirasi jahatnya terhadap DSAI.

Laman Reformasi yang begitu popular mencapai angka pengunjung sehingga 100,000 sehari dan dalam masa sebulan sudah mencapai angka jutaan pengunjung. Sehingga kini Laman Reformasi masih mendahului lain-lain laman yang silih berganti, sebagai sandaran maklumat dan curahan rasa oleh penduduk dan rakyat negara ini.

Pendedahan oleh laman reformasi dikesan melebihi 90 peratus ketepatan beritanya berbanding dengan saluran media kerajaan dan swasta yang kadar kebenaran beritanya amat diragui oleh sebilangan besar penduduk negara ini.

Sesungguhnya pemecatan DSAI dari kerajaan dan UMNO menimbulkan kesedaran masyarakat Malaysia bahawa mereka tidak boleh bergantung maklumat hanya kepada media rasmi yang ada.

MINDA RAKYAT