Mahathir Lantik Diri Sendiri Sebagai Menteri Kewangan

7 September, 1998

Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah mengumumkan pelantikan Datuk Seri. Dr. Mahathir Mohamad sebagai Menteri Kewangan Pertama dan Datuk Mustapa Mohamed sebagai Menteri Kewangan Kedua pada hari ini dalam tahun 1998.

Pelantikan itu dibuat bagi mengisi kekosongan dalam kabinet selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada kerajaan dan UMNO. Menurut JPM, Mustapa, 48, akan menjalankan dua tugas iaitu sebagai Menteri Kewangan Kedua dan pada masa yang sama selaku Menteri di Kementerian Pembangunan Usahawan.

Beberapa jam sebelum pelantikan Dr. Mahathir dan Mustapa diumumkan oleh JPM pada pukul 1 tengah hari, Kementerian Kewangan telah mengeluarkan kenyataan akhbar menamakan Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baru.

Ali Abul Hassan, 57, ialah Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri.

Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Dr. Zeti Akhtar Aziz, 51, pula yang memangku jawatan Gabenor sejak Tan Sri Ahmad Mohamed Don meletakkan jawatan pada 27 Ogos lalu, dilantik sebagai Timbalan Gabenor. Dr. Zeti menggantikan Datuk Fong Weng Phak yang juga meletakkan jawatan.

Perubahan kepimpinan di Bank Negara tidak dapat dielakkan apabila Ahmad Mohamed Don berundur selepas beliau tidak dapat bersetuju dengan kerajaan berhubung isu pengawalan modal, mata wang dan dasar-dasar ekonomi.

Berhubung pelantikan Menteri Kewangan, kenyataan JPM hari ini tidak menyatakan alasan mengapa kerajaan mengambil langkah mewujudkan dua jawatan Menteri Kewangan iaitu satu keunikan baru kepada Jemaah Menteri Malaysia.

Juga tidak dinyatakan ialah status kedudukan Timbalan-Timbalan Menteri Kewangan yang ada sekarang iaitu Datuk Dr. Affifuddin Omar dan Datuk Wong See Wah. Sejak merdeka, kabinet Malaysia hanya mempunyai seorang Menteri Kewangan pada satu-satu masa.

Antara Menteri Kewangan pada masa lalu ialah Tun H.S Lee (1957-59) Tun Tan Siew Sin (1959-74), Tun Hussein Onn (1974-76), Tengku Razaleigh Hamzah (1976-83), Tun Daim Zainuddin (1983-91) dan Anwar Ibrahim (1991-1998).

Dengan pengumuman hari ini, selain bertugas sebagai Menteri Kewangan Pertama, Dr. Mahathir juga memegang portfolio Menteri Dalam Negeri selain Perdana Menteri.


Anwar sengaja mahu ditahan bawah ISA?

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim sengaja membuat kenyataan dan tindakan yang berbentuk provokasi dengan tujuan supaya kerajaan menahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

''Langkah Anwar itu bertujuan memesong perhatian rakyat daripada masalah peribadi yang beliau hadapi sekarang kepada isu politik,'' katanya.

Abdullah berkata, keyakinan beliau itu berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu yang cuba mengalih perhatian rakyat daripada memberi tumpuan kepada hal peribadinya.

''Setiap hari Anwar bertindak secara provokasi macam hendak suruh kerajaan menangkapnya di bawah ISA supaya apabila itu berlaku akan timbul soal politik lain dan orang melupakan soal peribadinya,'' kata Abdullah.

MINDA RAKYAT