MAHATHIR BERHELAH UNTUK BERSARA

8 September, 1998

Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad beberapa kali pernah menyuarakan hasratnya untuk bersara pada tahun 1998 dan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malangnya, kata Perdana Menteri, disebabkan kegawatan ekonomi yang melanda, beliau terpaksa menangguhkan buat sementara hasrat itu, lebih-lebih lagi selepas apa yang berlaku ke atas Anwar.

''Saya sedih keadaan menjadi begini. Saya sudah berfikir-fikir untuk bersara tahun ini. Saya bercuti tahun lepas (selama dua bulan) untuk memberi peluang kepada Anwar memimpin negara.''

Walau bagaimana pun kenyataan Mahathir itu adalah sebagai helahnya untuk terus berkuasa secara 'restu tanpa izin' daripada rakyat sekelian, terutamanya kepada yang sudah membencinya sekian lama. Masalah ekonomi memberikan beliau peluang untuk mengemukakan helah itu, tanpa lagi dapat ditolak oleh pelbagai pihak, termasuk parti-parti pembangkang.

''Kalaulah tidak kerana masalah ekonomi, saya sudah mengundurkan diri. Malangnya, saya rasa saya perlu meneruskan tugas saya, memberi khidmat melalui pengalaman saya bagi mencari penyelesaian kepada sesetengah masalah ini,'' katanya.

Ketika ditanya siapakah yang akan dilantik memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan cara mengatasi masalah yang mungkin timbul selepas itu, beliau berkata: ''Kita akan cari jalan dan atasi kegawatan ini dengan baik.''

Semua ahli Majlis Tertinggi (MT) hadir pada majlis penjelasan Perdana Menteri kecuali Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan sedang dirawat di hospital kerana sakit.


ANWAR TANGGUH BEBERAPA KALI RALLY KE SELURUH NEGARA

Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi membatalkan rancangan untuk menjelajah ke seluruh negara esok bagi melancarkan gerakan reformasi.

''Atas permintaan para penyokong, saya batalkan rancangan itu,'' katanya.

Anwar menyatakan perkara itu kepada para pengunjung di ruang tamu kediamannya di Bukit Damansara. Beliau dijadualkan memulakan road show di kawasan pilihan raya dan bahagiannya UMNO Permatang Pauh sebelum ke kawasan-kawasan lain di seluruh negara.

Ini adalah pembatalan kali kedua selepas penangguhan rancangan itu yang mulanya dijadualkan sebelum ini. Sebaliknya, beliau dinasihatkan oleh para penyokongnya supaya berada di rumahnya dan mereka akan mengunjunginya beramai-ramai.

Sementara itu, kediaman Anwar terus dikunjungi oleh penyokongnya sejak dipecat daripada kerajaan Rabu lalu dan UMNO keesokannya. Rata-rata datang dengan tujuan memberikan sokongan selain untuk mendengar penjelasan Anwar sendiri setelah dia turut dikaitkan dengan kegiatan tidak bermoral dan aktiviti yang mengancam keselamatan negara.

Bagi memuaskan hati para penyokong, Anwar telah mengadakan siri ceramah untuk 'menangkis segala tuduhan ke atas beliau.' Di setiap siri ceramahnya, beliau dengan lantang dan bersemangat meneruskan segala penafian dan meminta supaya lebih ramai yang tampil menyatakan sokongan dalam menuntut keadilan. Beliau mempertahankan dakwaan pemecatannya dicetuskan oleh satu konspirasi politik peringkat tertinggi.


BSKL DITUTUP RENDAH

Harga saham di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) ditutup rendah pada amnya hari ini di atas kegiatan pengambilan untung berterusan yang menghakis kenaikan semalam.

Pasaran yang dibuka tinggi pagi ini tewas kepada pengambilan untung apabila pelabur-pelabur mengaut keuntungan mereka dan ini sekali gus menyaksikan Indeks Komposit jatuh 21.45 peratus.

Indeks Komposit 95.50 mata lebih rendah pada 349.56, Indeks Emas turun 21.54 mata kepada 94.01 dan Indeks Perusahaan susut 174.88 mata kepada 686.38.

Indeks Papan Kedua turun 10.85 mata kepada 95.0.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 743 berbanding 41, manakala 45 kaunter tidak berubah dan 93 yang lain tidak diniagakan.

Jumlah dagangan hari ini menyusut kepada 609.854 juta saham bernilai RM1.042 bilion daripada 1.101 bilion saham bernilai RM1.576 bilion semalam.

Jumlah dagangan Papan Utama turun kepada 579.552 juta saham bernilai RM991.774 juta daripada 1.049 bilion saham bernilai RM1.497 bilion pada Isnin.

Indeks Papan Kedua jatuh kepada 30.302 juta saham bernilai RM50.981 juta daripada 51.321 juta saham bernilai RM79.977 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan luar pasaran bagaimanapun menongkah arus untuk ditutup tinggi pada 4.616 juta saham bernilai RM5.238 juta daripada 3.455 juta saham bernilai RM6.125 juta pada Isnin.

Seorang peniaga berkata pelabur-pelabur dilihat menjual pegangan mereka yang menyaksikan Indeks Komposit ditutup pada paras rendah selepas kenaikan besar-besaran semalam.

''Mereka menjual bagi keuntungan tetapi masih terdapat minat belian dalam pasaran,'' tambah peniaga itu.

Sementara itu, langkah Bank Negara untuk melonggarkan peraturan bagi sektor hartanah masih belum merangsangkan minat dalam saham hartanah.

Bank pusat telah menarik balik had 20 peratus ke atas pemberian pinjaman oleh bank bagi pembinaan dan pembelian hartanah perumahan bernilai RM250,000 dan ke bawah. Pada penutupan, indeks hartanah turun 115.19 mata kepada 553.13.

Di kalangan saham cergas, United Engineers turun 51 sen kepada RM1.85, Tenaga Nasional jatuh 98 sen kepada RM3.22, Time Engineering 29.5 sen lebih rendah pada 75.5 sen, Intria susut 13.5 sen kepada 56 sen dan TA Enterprise lapan sen lebih rendah pada 13.5 sen.

Bagi saham berwajaran tinggi, Telekom jatuh RM1.15 kepada RM5.60, Maybank turun RM1.12 kepada RM3.66 dan Genting menyusut RM1.30 kepada RM7.15.

Mengikut sektor, barangan pengguna menyumbang bagi 25.185 juta saham yang diniagakan di Papan Utama, barangan perusahaan 39.751 juta, pembinaan 78.058 juta, perdagangan/perkhidmatan 181.229 juta, prasarana 1.356 juta, kewangan 117.470 juta, hotel 1.186 juta, harta 48.050 juta, perladangan 14.257 juta, perlombongan 1.969 juta, amanah 281,000, dana tertutup 251,000 dan pinjaman 70.508 juta.