50 Dalil: Polis panggil Ketua Eksekutif MPHB

9 September, 1998

Ketua Eksekutif Multi Purpose Holdings Bhd. (MPHB), Lim Thian Kiat dan beberapa orang lagi dipanggil memberi keterangan untuk membantu menyelesaikan kes buku 50 Dalil: Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.

Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Yaacob Mohd. Amin berkata, Lim dan beberapa orang yang dipanggil itu telah memberi kerjasama yang memuaskan kepada polis.

MPHB merupakan syarikat bersekutu dengan Magnum Corp. Bhd. iaitu mempunyai pegangan saham sebanyak 27.9 peratus.

Sebelum ini, polis telah menahan Pengarah Hal Ehwal Korporat Magnum, Datuk Nallakaruppan a/l Solaimalai.

Dia kini menghadapi perbicaraan di Mahkamah Tinggi atas tuduhan memiliki 125 peluru tanpa permit.


Anwar minta PM ambil tindakan mahkamah

Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mengambil tindakan mahkamah ke atasnya berhubung dakwaan salah laku seks.

Beliau berkata, dakwaan Dr. Mahathir yang memecatnya daripada jawatan kerajaan dan keanggotaan UMNO kerana salah laku seks perlu dikemukakan ke mahkamah dan bukan melalui kata-kata kosong.

''Jika benar beliau (Dr. Mahathir) mempunyai bukti kukuh tentang kelakuan sumbang saya, sehingga menyebabkan pemecatan saya, Perdana Menteri perlu membuktikannya di mahkamah, katanya tanpa menyedari bahawa Mahkamah boleh diperalatkan oleh Mahathir untuk menewaskan cabaran DSAI.

''Pelbagai tohmahan buruk tentang tingkah laku saya termasuk mengadakan hubungan seks dengan lebih 30 perempuan perlu dibuktikan dan bukan hanya diucapkan dengan kata-kata,'' katanya di kediamannya di Bukit Damansara.

Semalam, selepas mengadakan pertemuan dengan para pemimpin UMNO bagi menjelaskan pemecatan Anwar daripada kerajaan dan parti, Dr. Mahathir menjelaskan, pemecatan itu dilakukan kerana perbuatan-perbuatan Anwar yang tidak bermoral yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pemimpin negara.

Dr. Mahathir berkata, selama ini Anwar sengaja menonjolkan imej warak dan berpegang kepada ajaran agama, misalnya dengan menjadi imam dan berkhutbah, tetapi salah laku seks sumbang yang dilakukannya bertentangan dengan imej tersebut.

Tambah Perdana Menteri, bukti-bukti mengenai perangai tidak bermoral Anwar terlalu kukuh dan ia merupakan punca beliau (Anwar) dipecat daripada kerajaan dan UMNO.

Menurut Anwar, penjelasan Dr. Mahathir berhubung perkara itu telah diduganya.

''Tetapi Dr. Mahathir sepatutnya menilai kembali afidavit yang dikemukakan dalam kes Datuk Nalla sama ada ia sememangnya benar atau tidak kerana ada afidavit penafian selepas itu.

''Jika benar dakwaan tersebut, mereka perlu membuktikan dengan mengambil tindakan mahkamah dan bukan menghebahkan dengan kata-kata untuk mengelabui pemikiran rakyat,'' katanya.

Sebaliknya, Anwar berkata, beliau tidak yakin pemecatannya itu daripada semua jawatan kerajaan dan parti, hanya berpunca daripada tuduhan salah laku itu.

Beliau mendakwa, pemecatannya itu turut berpunca daripada ketakutan pihak-pihak tertentu terhadap dasar dan polisinya semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Jelas beliau, ketakutan itu wujud apabila pihak berkenaan melihat sikapnya yang mirip kepada rakyat dan tidak kepada beberapa 'tauke.'


KEMBALI