Siasatan ke atas Anwar hampir selesai

10 September, 1998

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor berkata, siasatan terhadap laporan-laporan polis yang dikemukakan berhubung Datuk Seri Anwar Ibrahim kini hampir selesai.

Menurut beliau, apabila ada bukti prima facie, hasil siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya untuk menentukan tindakan seterusnya, sama ada mendakwa Anwar ataupun tidak.

Beliau bagaimanapun tidak membayangkan bila siasatan itu akan selesai.

Katanya, laporan-laporan tersebut kini berada pada pelbagai peringkat siasatan termasuk yang di peringkat akhir, sedang disiasat dan ada juga beberapa siasatan yang masih di peringkat awal.

Beliau menambah, polis menerima banyak aduan. Kepantasan atau kelewatan sesuatu siasatan itu bergantung kepada sejauh mana polis dapat menemui keterangan dan menemu bual saksi-saksi.

''Polis sedang rancak menjalankan siasatan berdasarkan laporan-laporan yang dibuat,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini, selepas melawat anggota polis yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur kerana cedera parah diserang pendatang tanpa izin awal pagi semalam.

Dalam hubungan ini, Rahim berkata, sebarang tangkapan yang dibuat berhubung kes itu adalah wajar dan bukan untuk menganiaya mana-mana pihak.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Anwar bahawa Setiausaha Sulit Kanannya, Ahmad Mohamad telah ditahan, Rahim berkata, perkara itu tidak benar.


PM: Adakan solat hajat -- ''Bukan untuk saya tetapi bagi menunjukkan kebenaran''

Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad meminta semua ahli UMNO mengadakan sembahyang hajat bagi menunjukkan kebenaran tindakan kerajaan memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kabinet dan parti.

Kata Perdana Menteri, permintaannya itu bukan untuk menentukan sama ada beliau akan menang atau Anwar kalah, tetapi supaya kebenaran akhirnya menjadi kenyataan.

''Saya tak suruh sembahyang hajat untuk saya menang atau dia kalah atau supaya Tuhan murka kepada dia, tapi saya cuma minta sembahyang hajat supaya kebenaran akhirnya menjadi kenyataan, itu saja,'' katanya.

Semalam beberapa pemimpin UMNO turut menyokong saranan Perdana Menteri supaya mereka menunaikan sembahyang hajat untuk membuktikan kebenaran.


Cabaran Anwar Supaya Tindakan Mahkamah Ke atasnya

Dr. Mahathir Mohamad mendakwa, bekas timbalannya itu telah mengheret para penyokong dalam masalah peribadinya menyebabkan proses undang-undang tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

Sambil merujuk kata-kata Anwar jika beliau ditahan ''ribuan lagi akan mengikut'' Perdana Menteri mendakwa, tindakan seumpama itu juga menyusahkan pihak polis menjalankan tugas mereka.

''Ada beribu orang di sekeliling Anwar dan dia dah janji sesiapa cuba ambil dia, ramai lagi akan mengikut. Nampak dia cari jalan supaya ada rusuhan.

''Kalau dia (Anwar) percaya pada mahkamah yang pada awalnya dia tidak percaya, tidak usahlah ada orang sekeliling buat kacau,'' katanya.

Anwar kini menerima sokongan pelbagai pihak terutamanya pelajar universiti tempatan setelah beliau dipecat dengan tanpa timbang rasa atau dilaksanakan keadilan ke atas dirinya terlebih dahulu atau dijalankan siasatan terlebih dahulu sebelum tindakan 'pecat' dibuat.

Mahathir sudah membayangkan akan menggunakan apa sahaja termasuk polis yang akan bertindak terhadap DSAI dan penyokongnya hingga menimbulkan rasa kurang yakin dan percaya bahawa kredebiliti polis masih di tahapnya.

Perdana Menteri turut ditanya mengenai kehadiran beberapa pemimpin UMNO di kediaman Anwar.

''Saya tidak pernah menghalang mereka daripada mengunjungi Anwar dan mereka bebas berbuat demikian,'' ujarnya.


Mahathir Lantik Penasihat Yahudi

Hari ini PM Mahathir telah melantik firma Salomon Smith Barney sebagai Penasihat Kewangan Danamodal Nasional Berhad dalam membantu memberikan sebarang pandangan dalam usaha pemulihan ekonomi, yang lebih memberat kesan pemecatan DSAI dari kabinet dan UMNO.

Perdana Menteri mendakwa, pemecatan DSAI tidak akan menjejaskan usaha-usaha Malaysia mendapatkan dana untuk membiayai program pemulihan ekonomi pada jangka panjang.

''Ia tidak memberi kesan kepada persepsi sesiapapun terhadap Malaysia. Tidak akan ada kesan jangka panjang walaupun terhadap pasaran saham disebabkan masalah kecil ini,'' katanya.