Anwar: KDN serah pada polis bertindak

11 September, 1998

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan kepada pihak polis untuk memutuskan kesahihan daripada segi undang-undang terhadap perhimpunan setiap hari semenjak dipecat, di rumah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Menterinya, Datuk Tajol Rosli Ghazali mendakwa, pihaknya tidak mahu campur tangan dan mengambil tindakan kerana apa saja tindakan akan disalaherti dan mungkin dipolitikkan. Justeru itu beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk menanganinya.

Sementara itu TS Abdul Rahim Noor mendakwa menerima beberapa aduan oleh jiran-jiran Anwar dengan alasan kegiatan tersebut mengganggu ketenteraman mereka.

Menurut Tajol Rosli, keputusan menyerahkan tindakan terhadap Anwar kepada pihak polis itu diambil kerana mementingkan sistem demokrasi yang diamalkan oleh negara ini.

Selain itu, katanya, Anwar tahu apa yang sedang dilakukannya kerana beliau pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan memangku tugas-tugas Menteri Dalam Negeri. Tajol mendakwa setakat ini tiada tindakan diambil demi menjaga reputasi negara di mata dunia.

Apa yang jelas kini, kata Tajol Rosli, Anwar tahu apa yang sedang dibuat oleh kerajaan, jadi dia perlu menjangkakan layanan yang sama sebagaimana yang diterima oleh orang lain.


Pelantikan penasihat kewangan langkah bijak - Pakar

Beberapa pakar ekonomi negara berpendapat pelantikan syarikat perunding antarabangsa, Salomon Smith Barney sebagai penasihat kewangan kerajaan merupakan langkah bijak untuk mendapat sokongan pelabur luar.

Pelantikan syarikat itu yang mempunyai kedudukan yang baik di peringkat antarabangsa, akan menambahkan keyakinan pelabur luar untuk melihat peluang di negara ini.

Presiden Persatuan Pelabur Malaysia, Dr. PHS Lim berkata, menerusi khidmat perunding syarikat yang mempunyai kepakaran di peringkat antarabangsa, akan memperlihatkan suasana dan imej sebenar ekonomi negara.

''Syarikat itu akan menjadi bahagian terpenting di dalam mempersembahkan gambaran sebenar mengenai Malaysia kepada pihak luar khususnya pelabur,'' katanya kepada Utusan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 10 September, 1998 mengumumkan pelantikan tersebut untuk melaksanakan program kewangan bagi Malaysia untuk tempoh dua tahun.

Salomon turut dilantik sebagai penasihat kewangan kepada Danamodal Nasional Berhad dalam penyusunan dan permodalan semula industri perbankan Malaysia.

Lim berkata, kepakaran syarikat yang diasaskan di Amerika Syarikat yang mempunyai banyak pelanggan antarabangsa yang penting itu, boleh menyelesaikan masalah, misalnya pembelian bon tempatan.

Beliau juga melihat langkah tersebut sebagai menukarkan ekonomi Malaysia yang negatif kepada pertumbuhan yang positif dan itu adalah agenda utama dalam pemulihan ekonomi.

Seorang lagi penganalisis ekonomi, Bijuri Ibrahim berkata, status baik yang dimiliki oleh syarikat Salomon memberikan tempias kepada negara ini untuk mendapat perhatian luar.

Katanya, mungkin pihak luar tidak memandang negara ini kerana mereka tidak berkeyakinan, namun dengan adanya pihak yang mempunyai nama kukuh seperti Salomon, mereka akan berminat.

Malaysia telah mengambil langkah bijak dengan melantik satu badan yang profesional di dalam menasihati perkara berkaitan kewangan, ujarnya lagi.

''Selama ini kita membuat analisis dengan mengambil kira pendapat pihak dalaman sahaja dan dengan adanya pihak luar kita akan tahu apakah pendapat pelabur luar mengenai sesuatu perkara,'' katanya lagi.


Permintaan adakan solat hajat disokong

Menteri Besar dan pemimpin UMNO menerima baik permintaan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad agar semua ahli UMNO mengadakan sembahyang hajat bagi menunjukkan kebenaran tindakan memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kabinet dan UMNO.

Sehubungan itu, mereka bersetuju mengadakan sembahyang hajat secara beramai-ramai di kawasan masing-masing.

Di Seremban, Menteri Besar, Tan Sri Mohd. Isa Samad berkata, saranan Dr. Mahathir menggambarkan keikhlasan beliau yang mahu kebenaran menjadi kenyataan.

''Permintaan Dr. Mahathir itu menunjukkan keikhlasannya dalam mencari kebenaran berhubung isu tersebut dan tidak ada sebarang konspirasi untuk menjatuhkan Anwar.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua ahli UMNO di negeri itu akan diminta untuk mengadakan sembahyang hajat.

Di Kota Bharu, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut menyambut baik saranan Dr. Mahathir dan beliau turut meminta solat hajat itu ditunaikan ketika senang dan susah.

Di Johor Bahru, Setiausaha Biro Agama Badan Perhubungan UMNO negeri, Mahmud Muhamad berkata, langkah mengadakan sembahyang hajat itu adalah tindakan bijak supaya Tuhan dapat menunjukkan kebenaran daripada kemelut terbabit.

Sehubungan itu, katanya, semua biro agama UMNO bahagian di Johor diseru menyambut permintaan Dr. Mahathir itu dengan mengerjakan sembahyang hajat di tempat masing-masing dengan penuh keikhlasan.