Sumpah Quran: Anwar pertikai cabaran Ibrahim Ali

14 September, 1998

Timbalan Perdana Menteri yang disingkirkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan cabaran ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Senator Datuk Ibrahim Ali yang memintanya bersumpah menjunjung al-Quran.

''Ibrahim Ali itu berkata bagi pihak siapa?'' Tanya Anwar yang enggan menjawab soalan pemberita apakah beliau akan menyahut cabaran itu atau tidak.

Ibrahim ketika berceramah mengenai isu politik semasa anjuran UMNO Bahagian Subang dekat sini semalam mencabar Anwar berbuat demikian untuk membuktikan semua tuduhan terhadapnya adalah tidak benar.

Menurut ahli MT itu lagi sekiranya Anwar berani berbuat demikian (menjunjung al-Quran) dialah orang pertama yang akan muncul membelanya.

Kata Ibrahim, Anwar tidak dianugerahkan sifat maksum, sebaliknya beliau hanyalah manusia biasa yang tidak mustahil boleh melakukan kesilapan.

Sementara itu, Anwar ketika ditanya tentang kemungkinan beliau dibicarakan di mahkamah terbuka, juga enggan mengulas lanjut tetapi hanya berkata: ''Mahkamah perlulah adil, sama ada ia dijalankan secara terbuka, tertutup pun (perlu adil).''


Polis Perketatkan Larangan Berceramah Ke Atas DSAI

Dalam pada itu, polis hari ini menasihatkan Anwar supaya mengambil kira aspek ketenteraman awam ketika mengadakan ceramah umum di kediamannya di sini.

Nasihat tersebut disampaikan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Brickfields, Penolong Pesuruhjaya Polis II, Koh Hong Sun kepada Anwar yang meminta beliau tidak menggunakan layar besar, pembesar suara dan tidak mengadakan ceramah di luar kediamannya.

''Jadi kita beritahu Datuk Seri tentang peraturan ceramah-ceramah...itu sahaja,'' kata Koh yang turut diiringi oleh Timbalannya, Penguasa Mohamed Salim Abbas.

Dalam pada itu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Ruslan Kassim menjelaskan kedatangan pegawai polis di kediaman Anwar pagi ini adalah untuk menyampaikan sendiri nasihat itu.

''Mereka menasihatkan kita supaya tidak menggunakan layar besar, memperlahankan pembesar suara dan memastikan gangguan lalu lintas tidak berlaku,'' katanya.

Menurut beliau, Anwar menerima nasihat itu tetapi akan meneruskan siri ceramahnya di kediamannya di sini melainkan diberikan permit untuk berbuat demikian di tempat lain.

''Ceramah malam ini diteruskan dan kita akan berpindah ke tempat lain esok jika mendapat permit. Jika tidak, kita akan teruskan di sini,'' jelasnya


KEMBALI