Dua orang Anwar ditahan -- Dr. Munawar bawah ISA, Mohamad Ahmad Seksyen 117 - KPN

15 September, 1998

Polis telah menahan dua lelaki yang mempunyai hubungan rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes siasatan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu, semalam.

Kedua-dua lelaki itu ialah seorang warganegara Pakistan dengan taraf pemastautin tetap Malaysia dan Amerika Syarikat, Dr. Munawar Anees dan bekas setiausaha sulit Anwar di Kementerian Kewangan, Mohamad Ahmad.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor ketika mengesahkan penahanan itu berkata, Munawar ditahan mengikut Seksyen 73 Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berhubung dengan penyiasatan keseluruhan membabitkan soal keselamatan negara.

Mohamad pula, katanya, ditahan reman mengikut Seksyen 117 untuk membantu siasatan buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.

Abdul Rahim juga berkata, polis akan menahan seorang lagi bekas setiausaha sulit Anwar, Azmin Ali yang gagal hadir untuk memberi keterangan membantu siasatan hari ini.

Anwar pada sidang akhbar di kediamannya petang ini mendakwa kemungkinan besar Azmin juga akan ditahan oleh polis hari ini kerana tidak mahu pergi ke Bukit Aman untuk memberi keterangan pada sebelah siangnya.

Seminggu sebelum ini, polis telah menahan adik angkat Anwar, Sukma Dermawan, bagi membantu siasatan kes bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Ini menjadikan tiga orang telah ditahan berhubung kes itu setakat ini.

Dr. Munawar merupakan Pengarang Berita Publishing iaitu anak syarikat Kumpulan New Straits Times Press (NSTP). Dia memperoleh status pemastautin Malaysia pada tahun 1996.

Berhubung kes Azmin, Abdul Rahim berkata, arahan telah dikeluarkan kepada bekas setiausaha sulit Anwar itu untuk hadir memberi keterangan untuk membantu siasatan polis.

Mengenai enam laporan polis yang dibuat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan.

Sejak pemecatannya daripada kabinet 2 September lepas, Anwar telah dikunjungi ramai penyokong di rumahnya di Bukit Damansara hampir setiap malam.

Beliau juga telah menyampaikan ceramah di kampungnya, Cherok To' Kun di Bukit Mertajam, Pulau Pinang; di Pondok Derang, Alor Setar, Kedah dan di Ayer Keroh, Melaka.


Hasrat PM serah jawatan selepas KL'98

Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mendakwa mahu menyerahkan jawatannya sebagai Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas temasya Sukan Komanwel XVI (KL'98).

Hasrat tersebut disifatkan sebagai helah Mahathir untuk menutup kelemahannya selama ini yang disifatkan rakyat sebagai 'tamak kuasa' dan diktatoriannya.