17 September, 1998
Mahathir berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menghormati mahkamah kerana terus mempertikaikan aspek perundangan di negara ini.Menurut PM itu, Anwar telah awal-awal lagi mendakwa mahkamah tidak adil walaupun beliau belum lagi dihadapkan ke institusi pengadilan itu.
Tindakan Anwar bersikap demikian adalah kerana konsfirasi yang terlibat untuk menjatuhkan beliau adalah diperingkat tertinggi, yang mana akan menguasai segala jentera pentadbiran kerajaan termasuk badan kehakiman dan sistem perundangan negara.
Sementara itu DSAI berkata, bahawa beliau mempunyai bukti wujudnya konspirasi untuk menjatuhkannya dan ada kaitannya Mahathir. Polis yang dipergunakan oleh Mahathir untuk kepentingan peribadinya disifatkan oleh DSAI sebagai telah bertindak seperti Mossad (agensi perisikan Israel).
Konsep reformasi yang dianjurkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, DSAI sudah mula dikagumi dan diterima semakin luas oleh penduduk negara ini kerana ia bercorak perjuangan keadilan rakyat bawahan dan ia menentang kezaliman sistem yang sedia ada.
DSAI yang nyata faham maksud reformasi yang telah dianjurkannya itu, kerana beliau lama dalam kerajaan dan segala penyelewengan dan kelemahan kerajaan sudah beliau ketahui. Rakyat berbangga menerima seorang pemimpin yang sanggup dipengapakan oleh musuh politiknya demi menegakkan hak rakyat dan mencegah pencabulan secara berterusan oleh pemimpin BN terhadap kekayaan negara.
Dengan anjuran reformasi yang dibuat oleh DSAI, maka rakyat menerimanya dengan senang hati dan ini tidak bererti wawasan 2020 negara ditolak sebagaimana dakwaan pemimpin UMNO.
Umat Islam di mana-mana negara pun mesti ada tempat bergantung dan tokoh sebagai rujukan terhadap masalah atau persoalan yang berhubung dengan agama. Sudah pastilah tempat bergantung dan rujukan agama mereka adalah ulama. Jika ulama mereka mengeluarkan pendapat atau fatwa, mereka, tidak dapat tidak, mesti mendengar, menilai dan membuat pertimbangan baik-baik. Itu adalah lumrah yang berlaku sejak zaman berzaman.
Amat jelas apabila DSAI dikaitkan dengan tuduhan meliwat, maka hampir ke semua ulama berpihak di sebelah DSAI. Antara yang ketara ialah Prof. Yusuf Qardhawi dan Prof. Datuk Dr. Harun Din, yang sangat dihormati oleh rakyat negara ini.
Ini bererti latar belakang dan arah tuju pemikiran para ulama ini juga perlu diambil kira. Jika para ulama itu sudah memihak kepada DSAI, kita boleh menerima kepada tahap pemahaman dan aliran pemikiran yang dipegang terhadap pendirian ke atas kes DSAI.
Dengan itu rakyat harus menerima pandangan ulama yang bersifat warasatul anbiyaa', jika rakyat mahu terus berada dalam jemaah Islam sebenar. Rakyat harus segera menolak segala tuduhan palsu yang dibuat oleh kaum yang kuffar untuk meruntuhkan martabat Islam demi cita-cita politik murahan mengekalkan kuasa dengan cara yang salah.
Namun bagi ulama yang mengampu kerajaan, tiada jalan lain lagi kecuali tampil ke depan dengan memikul senjata yang sama untuk memerangi Anwar kerana mendakwa menjaga kesatuan dan perpaduan umat adalah sangat penting.
Umpamanya kenyataan Yusof Noor yang berbunyi, barisan pemimpin UMNO dengan perasaan yang berat terpaksa menghadapi proses penentuan antara kebenaran dan kebatilan walaupun yang terbabit adalah rakan sebangsa, seagama dan sama seperjuangan. Inilah antara penentangan yang diterima oleh DSAI daripada ulama kerajaan.
Hamid Othman pula mendakwa pemecatan Datuk Seri Anwar adalah tepat dari segi agama demi menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara kerana salah satu kaedah Islam menyebut bahawa "tasarraful imam manaatun bil maslahah". Ini juga satu penyataan yang menentang kebenaran dan bertindak mengampu kerajaan.
Dengan wujudnya ampuan oleh para ulama yang bergaji tetap ini, maka Perdana Menteri didakwa membuat keputusan yang betul dan mengikut syariat Islam.
Selain itu ulama-ulama kerajaan, ulama-ulama pembangkang pula memberi mesej yang jelas terhadap Anwar. Mereka tidak mengeluarkan apa jua pendapat atau fatwa yang mengecam atau menuduh Anwar. Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyatakan dukacita dengan perlucutan jawatan Datuk Seri Anwar akibat tuduhan-tuduhan yang dilempar kepadanya itu.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz menasihati Anwar membersihkan diri daripada sebarang isu berkaitan peribadinya dahulu supaya rakyat betul-betul boleh berdiri di belakang beliau.
Perjuangan DSAI mendapat pembelaan Harakah dan Tamadun yang mendahului mana-mana akhbar Kerajaan yang hanya menyiarkan cerita-cerita sensasi mengenai Anwar secara bias. Berita Harakah dan Tamadun lebih hebat dari mana-mana akhbar dan majalah kerajaan yang membelasah Anwar secara teruk sejak beliau belum dipecat lagi.
Selain kerajaan perlu berhadapan dengan berperang dengan para ulama, pihak kerajaan juga berhadapan dengan kritikan oleh para cendekiawan, ahli akademik dan pemikir tanah air. Mereka secara berani mula menyatakan sokongan kepada DSAI.