Sukma, Dr. Munawar dipenjara enam bulan

19 September, 1998

Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dan penulis ucapannya, Dr. Munawar Ahmad Aness hari ini dihukum penjara enam bulan setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana dipaksa membuat pengakuan membenarkan diri mereka diliwat oleh Anwar oleh pihak polis.

Sukma, 37, dan Dr. Munawar, 51, yang dihadapkan di dua buah mahkamah berasingan dan di hadapan dua hakim berlainan mengaku salah melakukan perbuatan seks itu dengan bekas Timbalan Perdana Menteri berkenaan.

Pertuduhan terhadap Sukma berbunyi: ''Bahawa kamu, pada bulan April 1998 pada sebelah malam di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri di No. 47, Jalan Damansara di sini telah melakukan perbuatan kelucahan melampau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim memasukkan zakarnya ke dalam dubur kamu.''

Begitu juga pada pertuduhan terhadap Dr. Munawar yang berbunyi: ''Bahawa kamu, dalam bulan Mac 1993, pada sebelah malam, di No. 8 Jalan Setia Murni 1, Bukit Damansara di sini telah melakukan perbuatan kelucahan melampau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim memasukkan zakarnya ke dalam dubur kamu.''

Sukma berasal dari Indonesia manakala Dr. Munawar adalah rakyat Pakistan. Kedua-dua lelaki itu melakukan kesalahan tersebut di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan.

Di bawah seksyen itu, mana-mana lelaki yang melakukan atau bersubahat melakukan atau mendapat atau mencuba mendapat supaya dilakukan oleh mana-mana lelaki, apa-apa perbuatan kelucahan melampau dengan seorang lelaki lain di tempat awam atau di tempat persendirian, hendaklah diseksa dengan penjara sehingga dua tahun.

Hukuman ke atas Sukma dan Dr. Munawar berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap. Sukma ditangkap pada 6 September 1998, manakala Dr. Munawar pada 18 September 1998.


Anwar: Bawa saya segera ke mahkamah

Datuk Seri Anwar Ibrahim  menafikan beliau terlibat dalam sebarang kegiatan kelucahan melampau dan mencabar pihak berkuasa agar segera menangkap dan menghadapkan beliau ke mahkamah.

Anwar mendakwa adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dan rakannya, Dr. Munawar Ahmad Anees telah dipaksa membuat pengakuan palsu bahawa mereka diliwat, yang bertujuan mengaibkan beliau.

''Saya cabar mereka mengambil tindakan yang berani, bawa saya ke mahkamah dan saya akan lawan habis-habisan,'' katanya.

Menurut Anwar, apa yang berlaku pada hari ini jelas membuktikan dakwaan awal beliau bahawa wujudnya konspirasi peringkat tertinggi yang melibatkan Perdana Menteri sendiri.

''Ini fitnah jahat muncul dari pakatan khianat yang mahu memusnahkan pengaruh politik saya, saya nafikan sekeras-kerasnya dan saya akan menentang sampai habis usaha khianat ini,'' katanya.

Anwar mendakwa, kedua-dua rakannya itu telah dipaksa membuat kenyataan palsu selain dinafikan hak untuk bertemu dengan kaum keluarga dan para peguam.

Dalam kes Dr. Munawar, tambah beliau, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah disalahgunakan untuk tujuan itu.


Ceramah Reformasi Berjalan Lancar

Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan pelbagai taktik bagi memastikan perjalanannya untuk menyampaikan ceramah reformasinya berjalan lancar.

Ketika orang ramai ghairah menunggunya di Stadium Sultan Mohamad ke-4 di sini malam tadi, beliau tiba-tiba dilihat muncul dengan membonceng sebuah motosikal 'cub'.

Sebaik sahaja tamat ucapan, Anwar dilihat menyusup keluar dengan menggunakan sebuah lori kecil untuk bermalam di sebuah rumah seorang penyokongnya di Pasir Pekan.

Dalam ucapannya itu juga, Anwar membayangkan usahanya menggunakan motosikal untuk ke tempat perhimpunan adalah bagi mencerminkan bagaimana beliau mendapat sokongan dan simpati daripada golongan berpendapatan rendah.


Pimpinan UMNO minta Anwar hentikan roadshow

Para pimpinan UMNO menggesa bekas Timbalan Perdana Menteri itu menghentikan roadshow serta tidak menyakiti mana-mana pihak terutama tokoh-tokoh dalam UMNO. Mereka yang semakin risau dengan tindak tanduk DSAI itu akan mendedahkan segala kepicangan dan kelemahan UMNO.

Ingatlah pepatah Melayu, jika sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan dan ajaran Confucius pula mengingatkan, lebih baik banyak bersahabat daripada banyak bermusuh,'' kata Wan Hashim yang pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gerik pada 1982 hingga 1985.


KEMBALI