20 September, 1999
Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangkap oleh polis malam ini di kediamannya di Bukit Damansara di sini pada pukul 10.00 malam, selepas beberapa pasukan UTK 'ala Mosaad' menyerbu masuk ke rumahnya kira-kira jam 8.55 malam.
Tiada alasan yang kukuh diberikan ke atas penangkapan itu. Hanya yang diketahui bahawa pada sebelah petangnya DSAI mengetuai satu perhimpunan raksaksa rakyat negara ini di Masjid Negara Kuala Lumpur dengan kehadiran melebihi 100,000 rakyat yang menuntut keadilan dan kebenaran.
Langkah penangkapan Anwar itu dibuat sehari selepas dua lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana membenarkan diri mereka diliwat oleh Anwar.
Polis yang lengkap bersenjata menyerbu rumah DSAI dengan memecahkan pintu rumah beliau. Keadaan menjadi cemas dan hampir tercetus ketegangan antara penyokong DSAI dengan polis 'ala Mosaad' tetapi berjaya ditenteramkan oleh DSAI.
DSAI ditahan dibawah ISA, walau pun pada masa penahanan itu beliau dikatakan hanya aan disoal siasat sahaja.
Turut ditahan ialah saudara Ruslan Kassim, Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan yang dibawa keluar bersama DSAI menaiki van berwarna putih yang dikelilingi oleh beratus-ratus anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan beberapa buah kereta peronda polis.
Rentetan Peristiwa Sebelum DSAI Ditangkap
DSAI yang dilucutkan jawatannya dalam kerajaan 18 hari lalu kerana dakwaan salah laku moral mengadakan perhimpunan di Masjid Negara pada pukul 5 petang. Beliau dan para penyokongnya kemudian berarak ke Dataran Merdeka sehingga senja.
Di Dataran Merdeka, Anwar menyampaikan ucapan yang menafikan beliau terlibat dalam skandal seks meliwat lelaki. Beliau juga mendakwa telah tidak ada keadilan di Malaysia dan menyentuh dirinya dengan perjuangan Presiden Nelson Mandela menentang rejim aparteid di Afrika Selatan.
Penyokong-penyokongnya yang ramai dan terkawal kemudian berarak pula ke Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Dari situ mereka bergerak ke Sri Perdana untuk mencetuskan kekacauan dalam kumpulan yang diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Dr. Rahim Ghouse.
Dalam kejadian berhampiran Sri Perdana kira-kira pukul 8.30 malam itu, 100,000 penyokong Anwar cuba memasuki Jalan Damansara yang menempatkan kediaman Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.
Mereka melaung-laungkan meminta Dr. Mahathir meletakkan jawatan.
Ketika itu Perdana Menteri dan isterinya, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali tiada di situ. Mereka berada pada majlis makan malam meraikan Timbalan Presiden Afrika Selatan, Thabo Mbeki di Restoran Sri Angkasa, Menara Kuala Lumpur.
Percubaan para penyokong Anwar untuk memasuki kawasan Sri Perdana bagaimanapun digagalkan oleh anggota-anggota FRU yang menutup Jalan Damansara, melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan pancutan air untuk meleraikan para penyokong Anwar.
Sementara itu DSAI mendakwa beliau telah dijemput oleh beberapa pertubuhan ke Dataran Merdeka petang ini iaitu pada waktu yang sama Ratu Elizabeth II bersembahyang di sebuah gereja berdekatan.
Sejak beliau disingkirkan daripada kerajaan dan UMNO 2 September lalu, Anwar telah mengadakan jelajah reformasi dengan mempertikaikan keadilan dan kebenaran terhadap amalan sistem demokrasi negara di bawah pimpinan Mahathir.
Para pemerhati memberikan ulasan mereka bahawa pasukan FRU dan polis rahsia (SB) memulakan provokasi supaya kekcohan berlaku dan penangkapan DSAI dapat dilakukan.
Dalam siri demontrasi yang diadakan, belum pernah kekecohan terjadi jika tiada campurtangan FRU dan polis. Ini menjadi bukti kepada rakyat bahawa polis bertindak tidak adil dan menyebelahi satu pihak, dan bukannya mententeramkan suasana keseluruhannya.
Ketaatan polis yang luar biasa inilah disifatkan oleh DSAI sebagai polis Israel (Mosaad) terutama di bawah pimpinan Tan Sri Rahim Noor.
Mahathir Teruskan Fitnahnya Terhadap DSAI
PM Mahathir meneruskan fitnahnya ke atas DSAI sebagai meneruskan agenda politik murahannya untuk terus berkuasa dan memimpin kerajaan BN walaupun ia dipertikaikan oleh majoriti rakyat negara ini.
Beliau mendakwa elemen terkejut sudah hilang kerana sekarang beliau sudah terima kenyataan bahawa DSAI berkelakuan seperti seorang homoseks. Mahathir berkata, ketika berita itu mula-mula dibawa ke pengetahuannya tidak lama dahulu beliau fikir ada orang yang mahu menyingkirkan Anwar, katanya apabila menguatkan hujahnya.
Mahathir juga mendakwa mempunyai bukti kukuh, tetapi tidak pernah mengeluarkan satu bukti pun kepada rakyat.
Tindak tanduk Perdana Menteri terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan memecatnya sebagai TPM pada 2 September dan Naib Presiden UMNO dan ahli UMNO pada 3 September, 1998 mencerminkan bahawa beliau kini semakin terdesak sehingga sanggup memfitnah timbalannya sendiri bagi meneruskan agendanya berkuasa tanpa dicabar oleh sesiapa pun..
Dr. Mahathir juga berasa bimbang dengan sokongan yang diterima oleh DSAI dalam jelajah reformasi yang diadakannya di seluruh negara. Bagaimana pun beliau cuba menyembunyikan kebimbangannya untuk menunjukkan bahawa kepimpinan beliau masih teguh.
Mahathir mendakwa orang ramai yang menghadiri perhimpunan yang diadakan oleh DSAI kebanyakannya, hanya disebabkan rasa ingin tahu semata-mata. Mereka ingin tahu kerana DSAI adalah bekas menteri paling kanan dalam kerajaan. Ini termasuklah para wartawan tapi itu tidak bermakna mereka atau wartawan menyokong Anwar tetapi sekadar mahu mendengar ucapannya, dakwa Mahathir lagi.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipecat daripada kerajaan dan UMNO menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mengamalkan pemerintahan diktator dan bertindak kejam terhadap sesiapa yang dibencinya.
''Cara beliau bertindak adalah seperti amalan pemerintahan komunis bintang tiga pada zaman darurat dahulu,'' katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan gerakan reformasi yang turut disertai isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Ruslan Kassim di Taman Koperasi, dekat sini malam tadi.
Kata Anwar, kezaliman yang ditunjukkan oleh Dr. Mahathir antaranya ialah memfitnah dan mengaibkan saingan politiknya dengan tuduhan yang sengaja direka.
Beliau juga mendakwa Dr. Mahathir adalah pemimpin yang patut ditolak oleh rakyat kerana mabuk kuasa dan terus merampas kekayaan rakyat, termasuk membina mahligai mewah yang baru berharga RM200 juta.
''Dr. Mahathir amat takutkan saya untuk merampas kuasanya, lalu saya dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta keahlian UMNO,'' ujarnya.
Malah kata Anwar, tidak cukup dengan itu, Dr. Mahathir telah mengaibkan beliau (Anwar) sebagai pemimpin yang bermoral rendah serta terlibat dalam skandal seks dengan pelacur.
Anwar juga menafikan beliau terlibat dalam perlakuan seks luar tabii meliwat adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dan penulis ucapannya, Dr. Munawar Ahmad Anees.