Zahid, 4 tokoh ABIM ditahan bawah ISA

21 September, 1998

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan empat pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Zahid ditahan polis di Kota Kinabalu, Sabah, malam tadi manakala empat pemimpin ABIM itu ditahan di pejabat pertubuhan itu , pagi ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Yaacob Md. Amin berkata, empat pemimpin ABIM itu ialah Presidennya Ahmad Azam Abdul Rahman; Timbalan Presiden Mukhtar Redhuan; Setiausaha Agung Shaharuddin Badaruddin dan Naib Presiden Abdul Halim Ismail. Kesemuanya ditahan mengikut Seksyen 73 (1) (a) ISA.

Sebelum ini Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Ruslan Kassim telah ditahan di kediaman Anwar di Bukit Damansara, juga di bawah Seksyen 73 (1) (a) ISA.

Menyentuh mengenai kemungkinan isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang akan meneruskan perjuangan suaminya itu, ditahan di bawah ISA, beliau berkata : ''Jika ada sebab munasabah, mengapa tidak.''

Beliau juga menyerahkan kepada kebijaksanan Ketua Polis Daerah untuk bertindak kerana para penyokong Anwar masih terus berkumpul dan mengadakan beberapa siri ceramah reformasi di kediaman bekas Timbalan Perdana Menteri itu.


Sebab Anwar tidak dihadapkan ke mahkamah

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dihadapkan ke mahkamah hari ini kerana ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau berkata, Anwar ditahan kerana didapati terlibat dalam menimbulkan kekacauan dan rusuhan di ibu negara.

Beliau yang cuba menyembunyikan perbuatannya memukul DSAI semasa dalam tahanannya, bagaimanapun enggan menyatakan di mana Anwar ditahan ketika ini tetapi mengesahkan bahawa Anwar telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Yaacob Mohd Amin pada sidang akhbarnya petang ini memberitahu, siasatan ke atas Anwar berhubung buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM masih diteruskan, walaupun beliau kini ditahan di bawah Seksyen 73 (1) (a) ISA.


Amaran polis kepada penyebar 'khabar angin'

Polis memberi amaran akan bertindak terhadap para penyebar khabar angin yang sengaja menyebarkan cerita palsu untuk menimbulkan suasana yang tidak diingini di negara ini.

Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia, Datuk Yusof Said berkata, polis tidak akan bertolak ansur dengan golongan itu demi memastikan keselamatan negara terkawal.

''Polis akan bertindak tegas terhadap penyebar khabar angin yang mahu memburukkan keadaan,'' katanya kepada pemberita bagi mengulas dakwaan kononnya dua lelaki telah mati dalam kekacauan yang dilakukan oleh para penyokong Anwar di ibu kota semalam.

Kini, terdapat pelbagai mesej terus disebarkan menerusi Internet. Cerita-cerita itu didakwa boleh menjejaskan ketenteraman awam di Malaysia.

Ia dipercayai ditulis oleh pihak tertentu dengan tujuan untuk merangsang rasa tidak puas hati dan benci di kalangan rakyat terhadap kerajaan. Bagaimana pun rakyat bergantung sepenuhnya kepada internet untuk menerima maklumat terkini perkembangan reformasi negara.


Khabar angin palsu disebar?

Menteri Luar, Datuk Abdullah Ahmad Badawi berkata, para penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyebarkan khabar angin kotor untuk mengeruhkan keadaan selepas penangkapan Anwar.

Mereka telah menyebarkan khabar angin kononnya Abdullah meletakkan jawatan daripada kerajaan. Beliau yang kini berada di New York dipetik oleh Bernama sebagai berkata: ''Penyebaran khabar angin ini adalah satu perbuatan nakal untuk meraih simpati rakyat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Yaacob Md. Amin petang ini menafikan terdapat pegawai tinggi Polis Diraja Malaysia meletakkan jawatan.

Katanya, khabar angin bahawa Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor dan timbalannya, Tan Sri Norian Mai meletak jawatan adalah tidak benar, katanyaketika diminta mengulas pengumuman yang dilaporkan dibuat di kediaman Anwar bahawa mereka (Abdul Rahim dan Norian), Najib dan Menteri Luar, Abdullah Ahmad Badawi telah meletakkan jawatan.

Yaacob berkata, apa yang berlaku di Bukit Aman hari ini ialah penyerahan tugas antara Timbalan Pengarah Cawangan Khas, Datuk Yusuf Abdul Rahman yang mengambil alih tempat Pengarah Cawangan Khas, Datuk Said Awang yang bersara. 


40 terlibat pecah keamanan ditahan

Polis telah menahan kira-kira 40 orang kerana terlibat dalam beberapa kejadian kekacauan semalam dan hari ini, yang dilakukan oleh penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA), Datuk Yusof Said berkata, kira-kira 30 orang ditahan kerana berkumpul secara haram dan enggan bersurai selepas diberi amaran di hadapan kompleks mahkamah di Jalan Raja.

Semalam pula, tambah beliau, 10 orang ditahan kerana kesalahan yang serupa iaitu berkumpul dekat kediaman rasmi Perdana Menteri, Sri Perdana, di Jalan Damansara.

Mereka adalah sebahagian daripada penyokong yang berarak menuju ke Sri Perdana selepas satu perhimpunan oleh beribu-beribu penyokong Anwar di Dataran Merdeka dan sebelum itu, di Masjid Negara.

Terdahulu, kekacauan juga dilaporkan berlaku di Pusat Dagangan Dunia Putra yang menempatkan ibu pejabat UMNO. 

Berhubung aduan seorang wartawan CNN yang dikasari oleh polis ketika penangkapan Anwar malam tadi, Yusof berkata, dalam keadaan itu, mungkin ada sedikit kekecohan. 'Mungkin ada kekasaran tetapi kita mesti faham sebab polis menjalankan tugas dan dia (wartawan CNN pula berada di tempat itu,'' ujarnya.


Tindakan tegas terhadap penganjur, peserta perhimpunan haram

Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menganjur atau melibatkan diri dalam sebarang perhimpunan haram di negara ini.

Penguasa Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Penguasa Ghazali Md. Amin berkata, orang ramai perlu mematuhi arahan itu bagi mengelakkan tindak-tanduk yang boleh mendatangkan kemudaratan terhadap keselamatan dan ketenteraman negara.


KEMBALI