Mahkamah bebaskan Azmin tanpa syarat

22 September, 1998

Bekas setiausaha sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin Ali, hari ini dibebaskan daripada tahanan reman oleh Mahkamah Majistret di sini tanpa syarat setelah mahkamah mendapati dokumen-dokumen siasatan polis tidak mencukupi untuk meneruskan penahanan terhadapnya.

Majistret Mohd. Azhar Othman memutuskan membebaskan Azmin selepas Azmin dibawa oleh polis ke hadapannya untuk melanjutkan tempoh penahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Dua peguam Azmin, Kamar Ainiah Kamaruzaman dan C.V. Prabhakaran memberitahu para pemberita bahawa Azmin dibebaskan setelah majistret tidak berpuas hati kerana pihak polis gagal mengemukakan diari siasatan berhubung penahanan tersebut.

Menurut Kamar Ainiah, Azmin ditahan pada 16 September lalu selama tujuh hari dan penahanan itu berakhir pada hari ini.

Beliau berkata, pihak polis telah memohon supaya tempoh tahanan dilanjutkan atas alasan dokumen-dokumen masih belum diperoleh dan siasatan ke atas saksi-saksi belum selesai serta siasatan buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM juga belum lengkap.

Peguam itu berkata, pihaknya mengemukakan bantahan berhubung penahanan Azmin kerana perkara berkenaan telah berlanjutan agak lama.

''Sepatutnya ia telah selesai,'' kata Kamar Ainiah.

Beliau memberitahu bahawa Azmin diberi peluang untuk bercakap di hadapan majistret.

Mengenai tahanan terhadap Azmin yang didakwa untuk tujuan siasatan di bawah tuduhan rasuah, Kamar Ainiah berkata, Azmin menyatakan dia telah disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) sejak 1995 lagi. Jika dakwaan mahu dibuat terhadap Azmin tindakan itu sepatutnya dilakukan dulu lagi.

Azmin dibawa ke mahkamah kira-kira pukul 3 petang dengan menaiki sebuah Proton Wira polis. Dia kemudian dibebaskan pada pukul 4 petang ini.

Pada 16 September lalu, Azmin yang ditemani oleh dua peguamnya, ditahan ketika datang ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini.

Pada hari yang sama, pihak polis mendapat perintah tahanan reman terhadapnya untuk membantu siasatan berhubung buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi PM.


Anwar akan didakwa dalam tempoh seminggu

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditangkap di kediamannya pada 20 September, 1998 akan dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh seminggu dari tarikh ditangkap itu atas 12 dakwaan termasuk tuduhan berhubung salah laku seks.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Tajol Rosli Ghazali berkata, pendakwaan ke atas Anwar yang sepatutnya dilakukan semalam terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan yang tidak mengizinkan.

Penangguhan itu, katanya, dibuat bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini setelah polis mendapati ramai penyokong Anwar menunggu di sekitar kawasan mahkamah adalah satu pembohongan kerana sebenarnya DSAI sudah dipukul dalam selnya oleh Rahim Noor.

Beliau juga mengesahkan Anwar masih ditahan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.


'Kehilangan' Rahim Ghouse jadi tanda tanya

Kehilangan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang, Dr. Abdul Rahim Ghouse, yang juga penyokong kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbulkan tanda tanya di kalangan ahli-ahli pergerakan itu di negeri ini.

Sejak menyertai 'gerakan reformasi' anjuran bekas Timbalan Perdana Menteri itu, Dr. Rahim dilihat sebagai salah seorang yang lantang bersuara mengkritik kerajaan, kepimpinan parti serta institusi kehakiman di negara ini.

Bagaimanapun sejak Anwar dan beberapa 'rakan sekumpulannya' ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semalam, Dr. Rahim dikatakan menghilangkan diri.

Kali terakhir Dr. Rahim balik ke negeri ini ialah ketika menyertai jelajah Anwar di Cherok Tok Kun.

Tindakan beliau meninggalkan Pergerakan Pemuda UMNO negeri untuk bersama-sama dalam gerakan reformasi Anwar menyebabkan kebanyakan ahli pergerakan Pemuda merasakan seperti 'anak ayam kehilangan ibu.'

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh, Zulkefli Bakar ketika dihubungi mengesahkan Dr. Rahim sudah lama tidak balik dan tidak lagi menghubungi bahagian tersebut.

Menurut Zulkefli, beliau diberitahu Dr. Rahim sentiasa berada di rumah Anwar dan mengikuti gerakan reformasi bekas Timbalan Perdana Menteri itu.


PM Pertahankan Mengapa DSAI Ditahan

Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakkwa mencetuskan rusuhan walaupun polis mulanya merancang untuk mendakwanya di mahkamah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan sungguhpun begitu Anwar yang dipecat daripada kabinet dan UMNO awal bulan ini, akan tetap didakwa di mahkamah sebaik sahaja polis mempunyai bukti yang cukup.

Dr. Mahathir menambah bahawa polis terpaksa bertindak kerana Anwar telah membakar semangat para penyokongnya ketika berucap pada perhimpunan haram di Masjid Negara diikuti dengan gerakan reformasi yang kian mendapat sambutan rakyat

Dr. Mahathir yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau tidak terlibat dalam penahanan Anwar dan beberapa orang lagi di bawah ISA kerana polis boleh menahan mereka di bawah ISA untuk tempoh 60 hari.

Perdana Menteri berkata, beliau hanya akan terlibat dalam proses ISA apabila polis mencadangkan supaya tempoh tahanan itu dilanjutkan kepada dua tahun.


Polis tidak pernah dituduh sebegitu buruk: Bukti Kredibiliti Polis Jatuh

Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah dituduh sebegitu buruk sehinggalah ia didakwa mahu menyuntik virus HIV terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dr. Mahathir yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, tiada sebab mengapa polis perlu berbuat demikian. Dr. Mahathir bagaimanapun mendakwa tujuan tuduhan itu dibuat iaitu bagi meraih simpati orang ramai.

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman, Penguasa Ghazali Mohd. Amin berkata polis memandang berat kenyataan itu kerana ia berunsur hasutan untuk mendatangkan kebencian terhadap pentadbiran keadilan jenayah di Malaysia.


Azizah minta penyokong tidak menentang pihak berkuasa

Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meminta para penyokong gerakan reformasi supaya tidak menentang undang-undang dan pihak berkuasa.

Katanya, pihak polis bukan musuh kerana mereka sebenarnya menjaga keselamatan rakyat dan kestabilan negara. Menurutnya, beliau telah dikunjungi oleh beberapa pegawai polis kerama mereka minta saya menolong menyuraikan para penyokong yang berkumpul di sekitar kediaman ini yang boleh ia menganggu lalu lintas.

Menurut Azizah, beliau telah memberitahu pihak polis bahawa bukan beliau yang mencetuskan kekacauan kerana setakat ini ke mana saja beliau pergi walaupun bersama Anwar di roadshow tidak pernah berlaku kejadian yang tidak diingini.

Dr. Azizah juga menafikan bahawa suaminya menjadi punca kepada apa yang berlaku sekarang.Gerakan reformasi yang dilancar selepas penangkapan Anwar, telah tersebar luas di kalangan rakyat.

Katanya, protes daripada penyokong Anwar akan berterusan tetapi beliau tidak boleh menyuarakannya menerusi ucapan kerana telah diminta untuk tidak berbuat demikian.


KEMBALI