Haniff Kata Ada bukti kukuh: Tetapi Tidak Dikemukakan!

23 September, 1998

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar berkata, beliau pernah menasihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menghentikan perbuatan homoseksualnya selepas polis menemui bukti Anwar mempunyai hubungan seks luar tabii dengan dua lelaki pada tahun 1993.

Haniff yang mengesahkan beliau telah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mengenai kegiatan Anwar itu pada 9 Oktober 1993 berkata, dua tiga hari kemudian Anwar meminta orang perantaraan mengaturkan pertemuan dengannya (Haniff) setelah mendapat berita Dr. Mahathir sudah mengetahui mengenai perlakuan seks sumbang itu.

Haniff mendakwa demikian sebagai mengulas kenyataan Dr. Mahathir yang mengatakan beliau telah dimaklumkan mengenai perlakuan sumbang luar tabii Anwar semasa Haniff masih lagi Ketua Polis Negara. Demikianlah liciknya konsfirasi peringkat tertinggi negara.

Haniff berkata, ketika beliau memberi taklimat kepada Perdana Menteri mengenai kegiatan sumbang Anwar, beliau meminta Dr. Mahathir supaya berhati-hati dengan Anwar yang ketika itu adalah Menteri Kewangan kerana kemungkinan Anwar mempunyai hubungan homoseksual dengan dua lelaki yang salah seorang daripadanya adalah warganegara asing.

Beliau meminta Dr. Mahathir berjaga-jaga kerana kemungkinan menteri nya (Anwar) terdedah kepada ugutan oleh warganegara asing berkenaan. Haniff, 59, memegang jawatan tertinggi dalam Polis Diraja Malaysia selama 19 tahun dari 1974 hingga ke tarikh persaraannya pada 15 Januari 1994.

Dakwaan Haniff lagi, maklumat yang dikemukakan kepada Perdana Menteri pada masa itu (1993) disokong oleh bukti yang kukuh dan meyakinkan, walaupun hingga kini masih belum ada buktinya. Haniff berkata, faktor yang mendorongnya memaklumkan perlakuan Anwar kepada Dr. Mahathir kerana para pegawainya menemui bukti-bukti yang memerlukan siasatan lanjut.

Bagaimanapun, Haniff mendakwa kemudian membiarkan kes tersebut begitu sahaja kerana tanggungjawabnya untuk memaklumkan kepada Perdana Menteri telah selesai. Tambahan pula beliau dalam proses untuk bersara pada bulan Oktober tahun 1993.


Zahid dibawa ke Kuala Lumpur

KETUA Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Sabah, diterbangkan ke Kuala Lumpur untuk ditahan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Beliau yang tidak digari itu sempat melemparkan senyuman kepada sekumpulan wartawan dan jurugambar yang menanti ketibaannya di lapangan terbang berkenaan.


Wan Azizah dipanggil ke Bukit Aman bantu siasatan

Isteri bekas Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk membantu siasatan polis.Dr. Wan Azizah tiba di Bukit Aman kira-kira pukul 3.20 petang dengan sebuah van yang diekori sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Bagaimanapun, beliau hanya memasuki ibu pejabat polis itu bersama dua peguamnya pada pukul 4.15 petang setelah sebuah kereta polis mengambil mereka di hadapan pintu masuk berdekatan Taman Tasik Perdana.

Kelewatan itu disebabkan polis tidak membenarkan Dr. Wan Azizah memasuki kawasan tersebut dengan menaiki van mereka.

Beliau yang diiringi oleh bapanya, Datuk Dr. Wan Ismail Wan Mahmud, anak sulung Nur Izza, seorang peguam dan pemandunya tiba dengan menaiki sebuah van jenis Toyota.

Beliau keluar dari Bukit Aman pada pukul 6.30 petang ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Yaacob Md. Amin ketika mengesahkan kedatangan isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Dr. Wan Azizah dipanggil untuk membantu siasatan polis mengikut Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah.

Menurut seksyen itu, seorang pegawai polis yang menjalankan penyiasatan boleh mengeluarkan arahan bertulis memanggil mana-mana orang yang tinggal dalam kawasan daerah polis di mana penyiasatan itu dijalankan.


KEMBALI