Polis Berat Sebelah

24 Sepember, 1998

Tindakan polis mengugut rakyat bahawa mereka akan mengambil tindakan tegas terhadap orang ramai yang menyertai perhimpunan haram yang akan dianjurkan oleh penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dataran Merdeka pada 28 September, 1998.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap sesiapa sahaja yang didapati terlibat dalam perhimpunan haram yang sedang dirancang itu.

Penyebaran meluas maklumat melalui Internet menyeru orang ramai berhimpun di Dataran Merdeka pada 28 September.

Mengenai Anwar, beliau berkata, bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan dibicarakan di mahkamah terbuka secepat mungkin.Abdul Rahim mendakwa penahanan Anwar di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), adalah bagi membolehkan polis menjalankan siasatan yang lebih rapi. Beliau turut mendakwa tindakan dibuat kerana Anwar dan pengikutnya bertindak mencetuskan huru-hara sehingga menjejaskan ketenteraman awam.

Mengenai peguam yang ingin menemui Anwar, Abdul Rahim berkata, mereka akan dibenarkan menemui Anwar apabila tiba masa yang sesuai.


Amaran Siti Hasmah Kepada Azizah

Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali hari ini memberikan amaran kepada Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail yang dahulunya dianggapnya sebagai seorang rakan akrab supaya berhati-hati dengan apa yang diperkatakannya pada sidang-sidang akhbar yang beliau adakan.

Kata isteri Perdana Menteri itu, nasihatnya adalah kerana bimbang mungkin ada yang diperkatakan oleh Azizah itu tidak membawa keuntungan bagi dirinya mahupun suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Siti Hasmah berkata sebagai seorang isteri, beliau memuji sikap Azizah yang mempertahankan suami. Beliau juga menasihati Azizah menjaga anak-anaknya dan kesihatan dirinya.


Nilai RM Mungkin Turun!

Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan kerajaan akan menurunkan nilai ringgit dari paras 3.80 bagi membolehkannya terus kekal bersaing. Bagaimanapun tindakan menurunkan nilai ringgit hanya akan diambil jika negara-negara lain menurunkan nilai mata wang mereka. Ia untuk mengelakkan ringgit daripada ketinggalan.

Dr. Mahathir yang juga Menteri Kewangan Satu juga menyalahkan pihak yang didakwanya 'merompak' kekayaan negara lain. Justeru ia boleh membawa kepada kawalan mata wang. Mahathir berpendapat, struktur sistem kewangan antarabangsa sebenarnya perlu diubah bagi mengelakkan pihak tertentu terus menyerang mata wang negara-negara membangun.

Mengenai kesan kawalan tukaran asing yang dilaksanakan di negara ini, Perdana Menteri berkata: ''Kesannya hanya boleh dilihat selepas beberapa bulan. Bagaimanapun, tanda-tanda awal pemulihan telah mula ketara.''

Beliau mengambil contoh peningkatan jualan kereta daripada 5,000 kepada 12,000 unit sebulan hasil kawalan mata wang asing, penurunan kadar faedah dan pengurangan bayaran pendahuluan bagi sewa beli.

Sementara itu Bank Dunia menangguhkan pinjaman kepada Malaysia walaupun PM telah menjelaskan kepada Bank Dunia bahawa kerajaan juga tidak pernah menghalang modal asing untuk masuk ke negara ini.


Mahathir Dakwa Larang Perhimpunan Tidak Melanggar Perlembagaan

Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mendakwa, larangan mengadakan perhimpunan awam tanpa kebenaran sama sekali tidak bertentangan dengan perlembagaan negara sebaliknya peruntukan undang-undang mengenainya telah lama diwujudkan.

Menurut Dr. Mahathir, pada mulanya pihak polis tidak bertindak tegas terhadap Anwar apabila beliau terus menerus dibenarkan menganjurkan perhimpunan sedemikian, bagaimanapun ia terpaksa diharamkan bagi mengelakkan kemungkinan rusuhan kaum.

Wartawan CNBC turut bertanya Perdana Menteri mengenai rakaman mesej Anwar yang dikatakan dibuat sebelum beliau ditahan yang disiarkan oleh stesen televisyen itu hari ini, yang antaranya menuduh Dr. Mahathir seorang yang ''dahagakan kuasa dan wang, dan pada asasnya menggunakan kepentingan negara untuk keluarga dan kroni.''

''Yalah, saya masih terus memegang kuasa kerana kroni dan keluarga saya, dan anda bebas menyiarkan ini setiap setengah jam sekali kerana anda memiliki media. Anda boleh berbohong kepada seluruh dunia dan mempengaruhi dunia terhadap kami.


Terima hakikat akhlak Anwar?

Datuk Dr. Mohd. Yusof Noor berkata, rakyat sepatutnya menerima hakikat bahawa isu pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan parti adalah semata-mata kerana moralnya rendah dan bukannya kerana sebarang konspirasi politik seperti yang didakwanya.

Demikianlah caranya Ketua Penerangan UMNO itu mempertahankan konsfirasi politik peringkat tertinggi untuk menjatuhkan DSAI. Beliau juga menyarankan semua pihak patut menerima realiti sebenarnya dan mengetepikan sentimen yang menjangkakan Anwar yang selama ini dikenali sebagai pemimpin yang warak sanggup melakukan perkara seperti itu.

Yusuf Noor mendakwa, dalam menjalankan tugas seharian sebenarnya Dr. Mahathir adalah pemimpin yang amat berhati-hati dan cermat kerana sebelum membuat sesuatu keputusan beliau sentiasa mengambil kira keputusan majoriti.


SERUAN KEPADA ULAMA

PERGOLAKAN di tanah air yang boleh menggugat kestabilan kini jelas menguji keimanan orang-orang Islam di Malaysia. Ini lahir dari perbuatan sekelompok manusia yang amat jelas telah membelakangkan nilai-nilai keimanan dengan tindak-tanduk yang jelas mahu membawa negara ini ke arah kehancuran melalui huru-hara.

Paling menyedihkan, ia lahir dari golongan yang mendakwa pembela bangsa dan menjadi tonggak kepimpinan hari ini. Mereka juga dengan senang hati melakukan sesuatu kepada ulama-ulama, hingga para ulama segera bertempiaran lari berdiri sebarisan dengan rakyat bagi mengetuai jihad menentang kezaliman pemerintah.

Naman mereka difitnah oleh media kerajaan sebagai bertindak hanya berasaskan khabar angin dan fitnah. Segelintir ulama pula didakwa oleh media dan pemimpin kerajaan, turut menyebarkan khabar angin yang bersifat fitnah.

Sambil mengakui ulama adalah pewaris nabi, puak-puak UMNO tadi mempertikaikan perbuatan ulama yang berjihad menentang kezaliman dengan perkataan dan tuduhan bahawa hati mereka (ulama) sudah dikelabui oleh nafsu dan unsur lain yang menyebabkan sifat dan perilaku mereka tidak lagi berpaksikan iman.

Pemerintah sebaliknya mahu golongan ulama bersikap berkecuali apabila wujud dua golongan yang berpecah. Mereka hendaklah aktif bersuara, tetapi ke arah keamanan dan perdamaian. Mereka juga hendaklah mengingatkan orang ramai supaya bersabar, bertenang dan mengajak mereka berdoa kepada Allah supaya tanah air kita sentiasa dalam perlindungan dan rahmat-Nya. Demikianlah sifat para ulama yang jadi kebanggaan UMNO.

UMNO juga amat menghargai sikap Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah memilih jalan yang berlandaskan iman dalam menghadapi keadaan yang bercelaru ini, walaupun beliau berfahaman politik yang berbeza dengan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.


KEMBALI