KENYATAAN IBRAHIM AL-KATAKI MELAMPAU

2 Oktober, 1999

Cadangan Ibrahim Ali Al-Kataki supaya golongan peguam mesti dikecualikan daripada berpolitik, jelas memperlihatkan bahawa BN sudah semakin keliru dalam menghadapi kebangkitan rakyat.

Ianya juga satu bukti bahawa golongan cerdik pandai termasuk peguam kini berada dalam Barisan Alternatif dan sudah lama membuang Barisan Nasional. Justeru itu kenyataan Ibrahim Ali Al-Kataki menerima kritikan pelbagai pihak termasuk Gerakan dan DAP.

Naib Presiden Gerakan Dr S. Vijayaranam berkata tiada sebab kenapa peguam tidak boleh memegang jawatan politik.

"Tidak terdapat sebarang konflik kepentingan, kerana seorang peguam yang terlatih dalam profesionnya dapat membezakan antara kerja dan pembabitan politiknya," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang berkata mengharamkan peguam daripada politik merupakan satu penghinaan pertama bagi Malaysia dalam Komanwel dan juga sejarah dunia. Lim berkata kerajaan patut memberi penjelasan kenapa ia memberikan lampu hijau kepada Ibrahim untuk menimbangkan undang-undang mengharamkan peguam daripada politik.

DAP menggesa kerajaan untuk mengarahkan Ibrahim mengetepikan semua rancangan untuk mengharamkan peguam daripada politik, yang akan memberikan penafian besar kepada hak sivil rakyat Malaysia tanpa mengira profesion mereka, kata Lim.

Anggota Parlimen Jelutong dan peguam terkemuka Karpal Singh berkata Ibrahim sepatutnya dihalang daripada membuat kenyataan umum tanpa mendapat nasihat undang-undang.

"Peguam Negara adalah penasihat undang-undang kepada kerajaan. Dalam perkara yang seserius ini iaitu mengharamkan peguam daripada politik, sebarang kenyataan berhubung perkara itu sepatutnya datang daripada Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sendiri, dan bukan daripada personaliti junior dalam kerajaan," kata Karpal dalam satu kenyataan.

Karpal, yang juga timbalan pengerusi DAP, berkata melucutkan kelayakan peguam daripada pilihan raya Parlimen bukan sahaja bermakna meminda Akta Profesion Guaman, tetapi juga meminda Artikel 48 Perlembagaan Persekutuan yang membincangkan mengenai pelucutan kelayakan keanggotaan Parlimen. Kerajaan tidak sepatutnya menganggap peguam sebagai musuh kepada negara atau serangga yang patut dimusnahkan, kata Karpal.

Pada Rabu lepas, Ibrahim berkata kerajaan sedang menimbangkan untuk menukar undang-undang mengharamkan peguam daripada politik kerana ia telah menerima banyak aduan sama ada peguam mematuhi peraturan profesion mereka apabila mereka juga adalah anggota Parlimen atau anggota Dewan Undangan Negeri.

Ibrahim telah berkata kerajaan bersedia menimbangkan pendapat awam itu sebelum memutuskan sama ada untuk meminda Akta Profesion Guaman mengharamkan peguam daripada politik. Beliau juga telah berkata jika peguam yang memegang jawatan politik turut mengendalikan kes yang melibatkan politik, ianya melanggar akta itu.