DSAI CONTOH UMNO TIDAK HARGAI JASA PEMIMPIN

2 Oktober, 1999

Kenyataan barisan pimpinan kerajaan BN terhadap DSAI berhubung isu pemecatannya, tuduhan liwat, bersubahat dengan konsfirasi jahat dan terbaru mengenai keracunan arsenik, membuktikan bahawa mereka tidak menghargai jasa kepemimpinannya.

Sumbangan selama 16 tahun sebagai anggota kabinet negara ini masih terlalu rendah untuk dinilai oleh barisan kepimpinan BN yang dengan secara terang-terangan mengamalkan budaya 'ampuisme' dan bodekisme' terhadap ketua negara Maha Firaun.

Sebaliknya barisan kepimpinan UMNO dari kerajaan BN terus-terusan memperkecil-kecilkan isu 'bunuh' terhadap DSAI melalui pengalaman ngeri ditumbuk dalam sel tahanannya dengan mata tertutup dan tangan bergari.

Isu terkini yang disifatkan sebagai cubaan 'membunuh' oleh kerajaan BN terhadap DSAI juga disifatkan mereka tidak lebih sebagai isu politik dari harga nyawa DSAI sendiri. Kenyataan terbaru Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohamed Isa Abdul Samad, juga menyifatkan isu DSAI didakwa keracunan arsenik lebih merupakan isu politik daripada isu keracunan itu sendiri.

Beliau mendakwa penyokong Anwar menjadikan perkara itu sebagai isu supaya Anwar sentiasa diingati terutama menjelang pilihan raya. Isa Samad juga mendakwa kini tiada banyak isu untuk dibangkitkan setelah keadaan ekonomi kembali pulih manakala isu berhubung pembangunan juga tidak banyak.

Begitulah harga kepimpinan yang wujud dalam UMNO. Hari ini dipuja, esok dibenci. Minda Rakyat berharap perkara yang sama akan berulang kepada Isa Samad, semoga nanti beliau akan mengerti bagaimana pahitnya berjuang dalam politik.