MENGAPA TUAN GURU JADI HINAAN!

2 Oktober, 1999

Sindiran yang dicipta oleh Ku Li selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan terhadap Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan penghinaan kepada Allah, Islam dan penganutnya. Beliau disifatkan berkata sekiranya BN memenangi pilihanraya umum di Kelantan, maka Tuan Guru akan dilantik menjadi mufti negeri itu.

Sendaan Ku Li itu tidak menarik minat Tuan Guru sebaliknya menegaskan bahawa beliau tidak tamakkan jawatan. Sebaliknya Ku Li haruslah bertenang jika UMNO terus kalah kepada parti Islam yang berjaya memerintah negeri Kelantan selama 10 tahun lalu.

Tuan Guru juga menafikan bahawa selama ini Kerajaan PAS gagal melaksanakan pembangunan di negeri Kelantan. Beliau berkata projek yang dilaksanakan oleh Pas di Kelantan adalah seimbang dengan kemampuan rakyat Kelantan kerana kerajaan negeri tidak akan melaksanakan projek-projek pembangunan yang tidak mampu dimilik orang Melayu.

"Selagi saya memimpin Kelantan, pembangunan yang tidak mampu dimiliki rakyat tidak akan dilaksanakan," katanya.