BPR NAFI KES DAIM DAN RAFIDAH DITUTUP

2 Oktober, 1999

Badan Pencegah Rasuah (BPR) mendakwa sudah menyerahkan kepada Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah hasil siasatan awal berhubung dakwaan beberapa pihak bahawa Menteri Kewangan Pertama Tun Daim Zainuddin dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz terbabit dalam rasuah.

Ketua Pengarah BPR Datuk Ahmad Zaki Husin berkata BPR masih menunggu keputusan Peguam Negara sama ada siasatan terhadap dua menteri berkenaan perlu diteruskan atau tidak.

"Saya ingin menafikan tuduhan bahawa BPR sudah menutup kes berkenaan. Sejak saya memegang jawatan ketua pengarah pada 24 Mac lepas, tidak ada satu pun kes yang sedang disiasat BPR ditutup," katanya selepas merasmikan majlis sambutan ulangtahun ke-32 BPR di ibu pejabatnya.

Ahmad Zaki berkata BPR kesal kerana ada golongan tertentu yang cuba menyebarkan fitnah kononnya beliau (Ahmad Zaki) telah mendedahkan segala hasil siasatan membabitkan pegawai tertinggi kerajaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

"Saya ada mengadakan perbincangan dengan Dr Mahathir, tetapi ia hanya membabitkan soal-soal dasar BPR serta masalah-masalah berkaitan kewangan dan penjawatan dan tidak ada kena mengena dengan siasatan yang sedang dijalankan," katanya.

Menurutnya BPR juga sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung satu artikel terbaru yang tersiar dalam halaman web Reformasi yang didakwanya membuat pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap beliau dan pegawai-pegawai kanan BPR.

"Kita tidak menolak kemungkinan ada kakitangan BPR terbabit dalam penulisan artikel berkenaan, berdasarkan beberapa fakta dalam artikel itu yang sepatutnya hanya diketahui kakitangan BPR,"katanya.

Ahmad Zaki berkata BPR akan mengadakan kempen penerangan bagi memberi penjelasan sebenar untuk memastikan orang ramai tidak terpengaruh dengan artikel itu yang telah mencampur aduk fakta sebenar dengan fakta palsu.

Ditanya tentang dakwaan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Tengku Razaleigh Hamzah pada 17 September lepas bahawa wujud unsur rasuah dalam urusan meluluskan kawasan pembalakan di Kelantan, Ahmad Zaki berkata BPR tidak menerima sebarang aduan berhubung perkara itu.