SEMBILAN AKAN DIDAKWA

2 Oktober, 1999

Sembilan orang termasuk empat pemimpin Parti Keadilan Nasional hari ini dihadapkan ke mahkamah majistret atas dakwaan menyertai perhimpunan haram di perkarangan Masjid Negara 19 Sept lepas.

Mereka ialah Ketua Penerangan Ruslan Kassim, Ketua Pemuda Johor Lokman Nooradam, Ketua Pemuda Perak Hanafiah Man, Penolong Setiausaha Pemuda N Gopalakrishnan, Wan M Razali Wan A Kadir, Jamal Abdul Nasir Awad, Othman alias Mustafa Ahmad, Mohd Zubir Mohd Yusoff dan Urmia Mat Said.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didapati berada dalam satu perhimpunan haram di perkarangan Masjid Negara di sini antara pukul 1.30 tengah hari dan 5.13 petang 19 Sept lepas.

Kesemuanya mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin bagi tiap seorang. Mereka diwakili oleh tujuh peguam termasuk Marina Yusof dan P Uthaya Kumar manakala pendakwaan dijalankan oleh Ketua Inspektor Haniff Hashim.

Majistret Lailatul Zuraida Harun menetapkan 18 dan 19 Jan tahun depan untuk perbicaraan.

Sementara itu, Wan M Razali, seorang peguam, juga mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi tuduhan, iaitu memiliki sebatang kayu yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang, sewaktu mengambil bahagian dalam satu rusuhan yang berlaku di perakarangan Masjid Negara antara pukul 1.30 tengah hari dan 5.13 petang hari yang sama.

Lailatul menetapkan tarikh yang sama untuk membicarakan kes itu.

Sebelum mahkamah berhenti bersidang Marina membangkitkan soal penahanan kesemua pemimpin Keadilan yang didakwanya ditahan di dalam sebuah lokap bersama-sama penjenayah seperti penagih dadah dan pembunuh.

Katanya kesemua pemimpin Keadilan itu daripada golongan elit dan profesional dan tidak sepatutnya ditahan bersama-sama penjenayah dalam jumlah 128 orang dalam satu lokap yang digazetkan untuk 38 orang sahaja.

Marina berkata pada 28 Sept lepas sewaktu mejistret Kamarul Zaman Abdul Rahman membenarkan polis menahan reman keempat-empat pemimpin Keadilan itu, beliau telah mengarahkan supaya mereka ditahan dalam lokap berasingan.

Beliau meminta mahkamah meinmbangkan sama ada perlu mengambil tindakan penghinaan mahkamah terhadap polis yang didakwa telah melanggar perintah mahkamah berhubung perkara itu.

Beliau juga meminta supaya mahkamah mengingatkan polis agar tidak lagi menyalahgunakan seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk menahan reman sesiapa sahaja tetapi pada hakikatnya mereka hanya mengambil butiran mengenai latar belakang orang yang ditahan.

Lailatul berkata mahkamah mengambil perhatian yang serius terhadap isu yang dibangkitkan oleh Marina dan berharap perkara yang serupa tidak akan berulang lagi.