MAHA FIRAUN GUNAKAN PENTAS PBB MENGHENTAM RAKYAT

Minda Mingguan kali ini merasa amat terpanggil untuk membicarakan tentang ke'bodoh'an seorang Perdana Menteri yang meyangka dirinya lebih dari segalanya, hingga sanggup menghentam rakyat negara ini di pentas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Amat malang sekali selepas kenyataan itu, beberapa pihak dari pemimpin kerajaan BN yang terkenal dengan 'ampuisme' dan 'bodekisme'mengeluarkan pula kenyataan bahawa hentaman Maha Firaun itu tepat pada masanya dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Begitulah senario politik di Malaysia. Kekadang dilihat sebagai 'matang' malahan kerapkali disifat sebagai 'malang'.

Hentam menghentam memang tradisi budaya politik Malaysia. Jika satu masa dahulu, alat menghentam seseorang ialah surat layang. Justeru itu DSAI juga dihentam menggunakan 'buku layang' yang dilayangkan dalam beg perwakilan UMNO dan juga dilayangkan di kebanyakan masjid di negara ini. Jadi hentam menghentam memang tidak hairan.

Cuma di mana hentaman itu patut dilakukan, ianya perkara yang berbeza. Jika kita menghentam isteri atau suami kita di pejabat kadhi, itu ertinya kita sengaja mencari nahas, atau itu bererti kita merelakan sebuah ikatan berakhir dengan perceraian mungkin.

'Menghentam' bukan amalan yang baik jika mahu menegakkan pendirian kita. Amalan menghentam akan membawa erti kita membuka pekong di dada yang sudah sedia berbau busuk lagi membusukkan. Apa lagi jika bukakan pekong itu dihadapan sebuah badan yang diakui sebagai sebuah badan bebas dan hakim kepada negara di seluruh dunia oleh semua negara di dunia ini.

Amat malang, jika menghentam isteri atau suami di hadapan musuhnya. Pasti segala kelemahan itu akan digunakan oleh orang yang bermusuh dengan suami atau isteri kita untuk menjahanamkan kebahgiaan keluarga yang kita dokongi selama ini.

Jika Mahathir dengan sewenang-wenangnya boleh melakukan itu, bagaimana jadinya nasib rakyat negara ini kelak. Perlu diambil perhatian bahawa pentas PBB didengari di seluruh dunia. Ini bererti percakapan dan pendapat kita seringkali diambil kira.

Tidak setakat memburuk dan memporakperandakan perpaduan rakyat, malahan Maha Firaun itu memprovokasi PAS dengan perkataan dan cacian terhadap perjuangan Islam di negara ini. Justeru itu Maha Firaun mahu dunia melihat perjuangan Islam sebagai satu perjuangan yang sempit hanya kerana di negaranya sendiri ada sebuah parti yang mahu berjuang menegakkan daulah Islamiyah itu dilandasannya sebagaimana kehendak dan peraturan Allah.

Malangnya sikap Maha Firaun itu memang mahu dipuji-puji. Tetapi dunia (PBB) tidak pun memujinya. Akhirnya PBB juga menjadi mangsa hentaman Mahathir dengan kenyataan bahawa PBB jangan turut campurtangan dalam halehwal dalaman negara kita. Sikap sombong Maha Firaun itu mengundang mudharat kepada negara, nauzubillah...

Memang tidak puas menghentam, selagi musuh politiknya mampu berdiri dan menyahut cabarannya meskipun tinggal dipenjarai tirai besi atas hukuman yang direka-reka. Kerana itu mungkin 'arsenik' pula dilayangkan ke penjara Sg. Buloh untuk segera menamatkan riwayat musuh politiknya.

Bagaimana pun janji Allah belum sampai. Maha Firaun itu kini bukan sahaja bermusuh dengan DSAI sebaliknya mencetuskan 'permusuhan' dengan majoriti rakyat negara ini, setelah keadilan dan kebenaran ditutup melalui pencabulan hak asasi manusia dan ertikata demokrasi sebenar yang menjadi amalan negara.

Biar pun perkara ini didakwa sebagai 'aspirin' barat kepada rakyat Malaysia, hakikatnya Malaysia masih menciplak undang-undang barat yang tidak lari dari kedua-dua prinsip perjuangan. Justeru itu PAS sudah bersedia membuka era baru di abad ke 21 untuk mendirikan daulah Islamiyah melalui tertegakknya sebuah negara Islam yang menuju keredhaan Ilahi.