Umat Islam diseru memberikan perhatian kepada beberapa fatwa Tuan Guru jika mahu melihat Islam tertegak sebagai 'addin' yang mecangkupi segala kehidupan duniawi dan ukhrawi.
Paling terbaru, Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan bahawa adalah 'haram' bagi sesebuah kerajaan melaksanakan pembangunan untuk bermegah-megah dan bersifat mewah menggunakan duit rakyat (kerajaan) sedangkan kedapatan di kalangan rakyat negeri itu masih menderita dan dilambung kesusahan.
Tuan Guru dipetik sebagai berkata: "Sekiranya di negara kita masih ramai yang hidup susah, adalah haram kerajaan membuat projek yang dianggap membazir".
Tuan Guru berkata demikian sewaktu menyampaikan ceramahnya malam Khamis lalu di Wakaf Zin, Tawang, Bachok, Kelantan.
Tuan Guru disifatkan berkata, Islam tidak menghalang pembangunan jika sumber kewangannya sudah mencukupi dan telah mengambilkira rakyatnya yang hidup susah.
Justeru itu Tuan Guru Mursyidul Am PAS menegaskan bahawa Kelantan tidak akan melaksanakan pembangunan yang membazir di mana rakyat tidak mampu memiliki pembangunan tersebut. Tiada gunanya melaksanakan pembangunan bermegah seperti bangunan pencakar langit, jika ianya hanya untuk kemegahan, sedang ramai rakyat yang tidak sempurna teduhan mereka dari panas dan hujan.