Dalam ceramahnya dua hari lalu (4 Oktober) di Kg. Tali Api, Trosor, Sg. Siput (U), YB Ahli Parlimen Kubang Kerian, Mohamad Sabu menyatakan kerajaan BN hari ini terlalu menumpukan perhatian kepada pembangunan mega yang bermegah-megah.
Menara Kembar Petronas adalah satu contoh pembangunan tersebut. Malahan bangunan yang didakwa megah itu, separuh daripadanya masih kosong. Belanja pengurusan yang ditanggung juga tinggi. Satu bulan mencapai anggaran RM9 juta. Kebanggaan terhadap bangunan tersebut tidak dapat memberikan faedah kepada sesiapa pun, kerana lebih separuh tidak digunakan.
Malahan, terdapat ramai di kalangan rakyat yang tidak memiliki rumah dan masih tinggal di rumah setinggan. Kerajaan BN tidak pula menghiraukan mereka. Akhirnya pembangunan yang dibuat bukanlah untuk faedah rakyat jelata. Sebaliknya bersifat megah dan menunjuk-nunjuk kepada negara lain.
Di Kelantan, pembangunan sebegini tidak dilaksanakan. Walau pun Kelantan disifatkan sebagai mundur, namun tanggungjawab Kerajaan negeri adalah untuk pembangunan rakyat keseluruhan. Inilah kejayaan negeri Kelantan. Kejayaan kepada umat Islam keseluruhannya.
Menurut Mat Sabu lagi, kerajaan BN menggunakan nama negara untuk mereka meraih sesuatu, seperti melakukan sesuatu pembangunan 'kununnya' atas kepentingan negara dan rakyat. Tetapi sebenarnya yang meraih keuntungan di sebalik pembangunan yang 'dimegakan' UMNO dan kerajaan BN ialah segelintir manusia yang rakus dan tamak kepada harta negara.
Memilih BN pada pilihanraya umum akan datang, sama bererti mengizinkan kerajaan yang ada terus menzalimi rakyat di sebalik nama pelbagai pembangunan dan cukai 'kununnya' atas kemudahan yang diberikan kepada rakyat. Padahal ia sebenarnya hanyalah satu tanggungjawab biasa kerajaan memerintah.