DSAI GAGAL HALANG ARIFFIN JAKA

Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam cubaannya untuk menghalang Datuk Arifin Jaka daripada terus mendengar kes liwatnya dengan alasan hakim itu pernah menjadi rakan kongsi perniagaan dengan seorang anak Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad 10 tahun lepas.

Semasa menolak permohonan itu, Arifin berkata oleh kerana beliau telahpun meletak jawatan sebagai pengarah dan melupuskan sahamnya dalam Dataprep Holdings Bhd sebelum dilantik sebagai hakim tujuh tahun lepas. Oleh itu katanya, persoalan bahawa beliau mungkin berat sebelah tidak timbul.

"Hanya kerana saya pernah ada kaitan dengan Mirzan (Mahathir), bolehkah itu dianggap oleh sesiapa saja yang berfikiran waras bahawa terdapat kemungkinan atau syak wasangka bahawa saya akan berat sebelah dalam mendengar kes ini?" katanya.

Peguam Anwar, Karpal Singh telah memohon supaya Arifin digugurkan daripada mendengar kes itu kerana hakim itu mungkin berat sebelah kerana kaitannya dengan Mirzan.

Karpal juga mengemukakan senarai pemegang saham Dataprep yang menunjukkan Arifin memegang 87,941 unit saham manakala Mirzan menguasai 381,597 unit yang menjadikan beliau pemegang saham utama.

Arifin berkata Karpal memberi alasan beliau sepatutnya menjelaskan perkara itu sebelum kes itu bermula atau semasa beliau ditugaskan mendengar kes itu. "Saya berpendapat saya tidak perlu membuat penjelasan itu kerana saya tidak lagi mempunyai kepentingan dalam syarikat itu. Lagipun, bukan syarikat itu atau Mirzan Mahathir yang dibicarakan," katanya.

Arifin berkata dakwaan Karpal kononnya Dr Mahathir mahu menyingkir Anwar tidak ada kaitan dengan kes itu.

"Anwar dipecat oleh Perdana Menteri sebagai anggota kabinet dan kemudian sebagai anggota Umno, tidak bergantung kepada kes ini. Perdana Menteri melaksanakan bidang kuasa sebagai perdana menteri untuk memecat mana-mana anggota kabinetnya, dan dalam soal pemecatan Anwar daripada Umno, ia merupakan keputusan parti menerusi Majlis Tertingginya," katanya.

Semasa perbicaraan disambung semula hari ini, Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah memberitahu mahkamah bahawa Arifin pernah menjadi anggota PAS, dan jika ia mahu, pihak pendakwaan boleh memohon untuk menggugurkan beliau berdasarkan alasan seperti yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

Arifin kemudian berkata : "Saya tidak menyertai PAS sebelum itu kerana ia sebahagian daripada Barisan Nasional."

Hakim itu berkata beliau menjadi calon parti itu menentang calon Umno di Kelantan pada pilihan raya umum 1978.

Mohtar berkata pihak pendakwaan tidak langsung meragui bahawa Arifin bersikap adil dalam perbicaraan itu kerana kes itu tidak ada kaitan dengan hubungan hakim itu dan PAS di masa lampau.

Katanya walaupun Arifin mempunyai kaitan dengan parti pembangkang itu, beliau tetap dilantik sebagai hakim, dan ini merupakan contoh terbaik bahawa sesuatu lantikan itu tidak tertakluk kepada mereka yang berada dalam kem yang sama.

"Hakim dilantik kerana kebolehannya," katanya.