TUDUHAN REKAAN DIBUKTIKAN SECARA JIJIK!!

Oleh BERNAMA

Tuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja telahdibuktikan oleh pihak pendakwaan, Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Katanya tujuh kategori keterangan yang beliau namakan "tujuh tonggak kes pendakwaan", telah dibuktikan bagi membantu Hakim Datuk Arifin Jaka membuat keputusan bagi memanggil kedua-duanya membela diri.

Anwar, 52, dan Sukma, 38, dituduh bersama-sama meliwat Azizan Abu Bakar, 39, di apartmen Sukma di Tivoli Villa, Bangsar, pada 7.45 malam antara Januari dan Mac 1993. Sukma, seorang ahli perniagaan, turut menghadapi satu lagi tuduhan iaitu bersubahat dengan bekas timbalan perdana menteri itu meliwat Azizan, yang merupakan bekas pemandu isteri Anwar, di tempat dan pada masa yang sama.

Mohtar yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata, tonggak pertama kes pendakwaan ialah cara dan keadaan berhubung kehadiran Azizan yang diaturkan oleh Sukma dan bagaimana perbuatan liwat itu dilakukan.

Mohtar berhujah bahawa Azizan telah memberikan keterangan bahawa dia dijemput oleh Sukma datang ke apartmen itu dan tidak diberitahu sebabnya, oleh itu, apabila dia tiba di situ, dia terkejut apabila melihat Anwar.

Beliau berkata Azizan juga menyatakan bahawa dia tidak akan pergi jika dia mengetahui bahawa dia akan diliwat, malahan, dia berpendapat Sukma mempelawanya untuk melihat apartmen barunya.

"Kebenaran didedahkan dalam keterangan Azizan yang dibuat secara tertutup, contohnya, bahawa tertuduh yang dalam keadaan berbogel bergilir-gilir meliwat Azizan yang juga dalam keadaan berbogel di atas katil di bilik tidur di apartmen Sukma," katanya.

Mohtar juga berkata bahawa Azizan mampu menggambarkan secara terperinci bagaimana perbuatan liwat itu dilakukan kerana dia mengalaminya, jika tidak, dia hanya akan memberitahu mengenai kedudukan biasa perbuatan liwat dan bukan "kedudukan luar biasa" seperti yang diberitahunya kepada mahkamah.

"Perbuatan itu adalah luar biasa tetapi tidak mustahil dilakukan. Kebenaran selalunya lebih luar biasa daripada fiksyen dan ini merupakan contoh yang paling jelas," katanya sambil menjelaskan bahawa liwat adalah jenayah khas dalam kategori khas.

Mohtar berkata keterangan Azizan amat jelas bahawa dia telah diliwat oleh Anwar dan Sukma, seperti cara dan tempat yang digambarkan olehnya. "Satu-satunya perkara yang saksi tidak pasti ialah tarikh sebenarkejadian itu," katanya.

Tonggak kedua kes pendakwaan, menurut Mohtar, ialah terdapat keterangan yang jelas dan kukuh dalam pengakuan Sukma seperti yang telah diakui oleh mahkamah bahawa ia dibuat secara sukarela.

Pengakuan itu jelas merujuk kepada perbuatan liwat oleh Sukma dan Anwar terhadap Azizan di apartmen Sukma dan selain daripada beberapa perbezaan kecil, cerita utama dalam pengakuan itu dan keterangan oleh Azizan adalah serupa dan oleh itu, membuktikan kebenarannya kerana kedua-duannya saling menyokong antara satu sama lain, kata Mohtar.

Beliau berkata tonggak ketiga pula ialah terdapat bukti jelas daripada keterangan Azizan sebelumnya dalam kes rasuah Anwar dalam usaha mereka untuk mencabarnya yang menyokong dakwaan liwat oleh Azizan.

"Rujukan yang jelas semasa perbicaraan terdahulu dalam kejadian Tivoli Villa bukan pertama kali dalam perbicaraan ini bahawa dia bercakap mengenai kejadian itu -- keterangan ini bukan untuk pengesahan tetapi menunjukkan keterangan Azizan adalah konsisten," kata Mohtar, dan menurutnya bahawa keterangan itu adalah satu manfaat daripada pihak pembelaan yang telah mengemukakan perkara itu terlebih dahulu.

Mohtar berkata tonggak keempat kes pendakwaan bahawa terdapat keterangan bebas yang jelas oleh Tun Hanif Omar, bekas Ketua Polis Negara, yang sudah tentu bukan satu rekaan.

Katanya Anwar tidak pernah menafikan dakwaan pembabitannya dalam aktiviti homoseksual semasa dia ditanya oleh Hanif, sebaliknya Anwar lebih mementingkan soal berapa ramai orang yang tahu mengenainya dan sama ada dia akan diugut oleh mana-mana pegawai polis.

"Kelimanya, terdapat keterangan bebas yang jelas oleh Dr Fadzil Man mengenai hubungan homoseksual Sukma dengan abang angkatnya dan seorang lagi," kata Peguam Negara.

Katanya dua lagi tonggak dalam kes pendakwaan ialah berkenaan perbuatan Anwar, pertama meminta Azizan menafikan "Pengakuan Bersumpah" yang dibuatnya semasa dipanggil oleh polis.

"Dalam hal ini, Azizan memberitahu mahkamah bahawa Anwar menyuruhnya berbohong. Perhatikanlah bahawa pada waktu yang dikatakan itu, polis telah memulakan penyiasatan berhubung satu laporan polis yang telah dibuat," kata Mohtar.

Mohtar berkata, laporan itu disiasat oleh SAC I Musa Hassan yang juga memberikan keterangan bahawa beliau telah diarahkan oleh Anwar untuk menutup siasatan berhubung satu laporan yang dibuat oleh ASP Zull Aznam Haron mengenai sepucuk surat bertajuk "Talqin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim" walaupun hasil siasatannya mendapat dakwaan itu tidak semuanya tidak berasas.

"Berdasarkan keterangan ini, kami berhujah bahawa dengan mengambil kira kesemua keterangan itu selepas menolak apa-apa percanggahan kecil, bahawa terdapat keterangan kukuh dan jelas untuk membuktikan bahawa kes pendakwaan melampaui keraguan yang munasabah yang menghendaki Anwar dan Sukma membela diri," katanya.

Perbicaraan disambung esok selepas Arifin menolak permohonan peguam bela Christopher Fernando untuk menangguhkannya ke Isnin.

Fernando telah mengemukakan permohonan itu dengan alasan bahawa pihak pembelaan memerlukan masa untuk menjawab hujah Mohtar.