Oleh BERNAMA
Sekumpulan kira-kira 300 penuntut institusi pengajian awam dan swasta tempatan mengadakan demonstrasi secara aman semasa Timbalan Perdana Menteri
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyampaikan Syarahan Perdana Alumni di Universiti Malaya di sini, hari ini.
Demonstrasi di luar Dewan Tuanku Canselor itu dianjurkan bersama oleh Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS), Barisan Bertindak Mahasiswa Negara
(BBMN) dan Pemuda Negara.
Presiden GAMIS Burhanuddin Haji Ahmad yang mewakili kumpulan itu kemudian menyerahkan satu memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri yang keluar dari
dewan itu selepas menyampaikan syarahan itu.
Abdullah sempat bertemu para penuntut itu dan menyampaikan kata dua sebelum meninggalkan tempat itu.
Dalam pertemuan kira-kira lima minit itu, Abdullah berjanji akan mengkaji perkara-perkara yang ditimbulkan dalam memorandum itu dan menjemput wakil
mereka untuk perbincangan.
Beliau juga mengucapkan mereka selamat belajar dan berjuang untuk negara di masa hadapan.
Para penuntut itu yang membawa pelbagai poster dan kain rentang beredar tidak lama selepas Abdullah meninggalkan tempat itu.
Burhanuddin yang ditemui pemberita kemudian berkata para mahasiswa memandang tinggi Timbalan Perdana Menteri dan demonstrasi itu bukan bertujuan
memalukan beliau.
Sebaliknya, itu satu-satu peluang bagi mereka menemui beliau.
Burhanuddin berkata, mereka menyampaikan memorandum itu untuk menyatakan pemerhatian dan kebimbangan terhadap beberapa isu yang berlaku di negara ini.
Memorandum tiga muka itu antara lain meminta dikaji dan dinilai semula Akta Kolej dan Universiti terhadap perkembangan insaniah penuntut dan Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA) supaya ia tidak dipergunakan sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak.
Ia juga meminta suatu badan khas dibentuk daripada kalangan pemimpin masyarakat untuk menyiasat kematian orang awam yang ditembak polis.