Oleh: Engku Hamid Engku Seman
Tepukan kembali bergemuruh untuk ahli silap mata itu. Persembahan silap matanya kali ini semakin mendapat sambutan. Sambil mengumbarkan senyuman ke arah penonton, dia memulakan persembahannya di atas pentas. Saku di baju kotnya diseluk. " Nampak ini?" tanyanya kepada penonton " Duittttt..." jawab penonton. Masing -masing mula cemas. " Penonton sekelian, hari ini saya akan hilangkan duit ini dari pandangan anda semua," kata si pesilap mata. " "Nampak apa di hujung sana?" tanyanya lagi kepada penonton. " Itu adalah dua tabung duit yang akan menerima duit dari saku kot saya ini, " katanya kepada penonton.
Diseluknya sekali lagi tangan ke dalam saku. Apabila keluar sahaja tangannya, tiadalah kelihatan lagi akan duit beratus juta yang dipegangnya tadi. Dia berkejar ke hujung pentas. Lalu dibukanya dua tabung tersebut. " Lihat, duit tadi kini berada di dalam kedua-dua tabung ini," kata si pesilap mata kepada penonton. Sepantas kilat, tiba-tiba sahaja duit tersebut juga hilang. Hebat dan ajaib. " Nampak? Bagaimana saya mampu mengadakan dan menghilangkan duit?" tanya si pesilap mata sekali lagi. " Dia memang > hebat," sahut salah seorang pembantunya. "Dia boleh hilangkan dan adakan duit dalam sekelip mata," sahut seorang penonton.
Kini tiba persembahan kedua. Diambilnya seekor tikus dan dimasukkannya ke dalam perangkap. " Tahu apa saya nak buat kepada tikus ini?" soalnya kepada penonton. Tikus tersebut nampak begitu cergas bergerak. " Saya akan uji tikus ini dengan racun", katanya kepada penonton. Satu kotak bertulis "racun tikus" dikeluarkan. Sebaik sahaja tikus tersebut memakan makanan yang telah dicampur racun, segala pergerakannya mula perlahan. Matanya tertutup rapat. Dia mencari-cari akan sumber air. Si pesilap mata tersenyum melihat akan gelagat tikus tadi.
Tiba-tiba pesilap mata menyelukkan tangannya ke dalam saku kot. Rupa-rupanya dia memegang satu jarum penyuntik yang boleh digunakan untuk mengambil sampel darah dan kencing tikus. " Lihat, kencing ini akan saya uji di satu makmal. Manakala darah pula akan saya cerakinkan", katanya kepada penonton.
Selesai meneguk sebotol air mineral, dia terus menyemburkan air kepada tikus tadi. Tikus tersebut terus bergerak cergas. " Pelik, tapi ajaib...........", kata salah seorang penonton. Tikus itu pulih seperti sediakala. Hebat. Dia boleh racun tikus dan mengembalikan semula kesihatan tikus ke paras normal.
Tiba-tiba terdengar suara bersahut-sahut di belakang dewan. Ada sebahagian penonton mula melaung-laungkan kata-kata yang kurang menyenangkan. " Itu bukan silap mata. Duit itu mungkin dia yang ambil", kedengaran satu suara yang sayup di hujung dewan. " Ya! mungkin dia ambil dan bahagi-bahagikan di kalangan rakan-rakannya", sahut seorang lagi penonoton dari belakang. Dengan nada keras si pesilap mata menjawab, " mereka yang di dalam dewan ini yang tidak percaya kepada silap mata saya, mungkin telah dipengaruhi oleh orang asing dari luar dewan". Dewan sunyi seketika.
Salah seorang penonton yang agak berani telah mara ke hadapan. " Tikus itu? Awak patut jawab satu persoalan. Tadi awak racun dia. Tapi sekarang bagaimana tikus itu masih hidup? " tanya penonton yang berani itu. Dengan wajah yang bersahaja si pesilap mata menjawab , " saya tidak racun dia. Saya cuma menguji dia dengan racun.............................."
Dewan menjadi gamat. Persembahan si pesilap mata pun tamat.
Undilah PAS : MENENTANG KEZALIMAN & MENEGAKKAN KEADILAN