LAGI SATU CABARAN DARI KERAJAAN BN

Oleh BERNAMA

Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu hari ini mencabar parti-parti pembangkang, terutamanya Parti Keadilan Nasional (Keadilan) supaya meletakkan calon-calon keturunan India di kawasan-kawasan yang ditandingi MIC.

Beliau berkata parti Keadilan perlu berbuat demikian kerana mereka sering mendakwa mempunyai bilangan anggota India yang ramai.

"Saya minta kalau mereka benar-benar adil, lebih baik bertanding di kawasan MIC dengan (meletakkan) calon-calon India.

Jikalau mereka tidak mahu menerima cabaran ini, bererti Keadilan bukanlah adil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat ketua-ketua Bahagian MIC mengenai pilihan raya umum di ibu pejabat parti itu, di sini.

Sebagai contoh, Samy Vellu berkata beliau difahamkan kawasan Parlimen Ulu Selangor yang diwakili Datuk G.Palanivel akan ditandingi oleh calon PAS, walaupun Keadilan mendakwa ia memberi hak dan keutamaan kepada semua kaum.

MIC mewakili tujuh kawasan Parlimen (Sungai Siput, Tapah, Ulu Selangor, Kapar, Subang, Segamat dan Teluk Kemang) di samping 15 kawasan dewan undangan negeri.

Namun katanya MIC bersedia untuk menghadapi mana-mana parti pembangkang, memandangkan ia mempunyai rekod cemerlang lebih 40 tahun dalam pelbagai pilihan raya dan telah bekerja keras bagi kejayaan Barisan Nasional (BN) pada kesemua pilihan raya berkenaan.

Beliau turut mengingatkan Parti Keadilan bahawa MIC tidak hilang kuasa terhadap masyarakat India negara ini yang berjumlah lebih dua juta seperti yang didakwa pembangkang.

Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya berkata MIC membuat lebih banyak persediaan menghadapi pilihan raya ini berbanding pilihan raya-pilihan raya lalu dengan beberapa strategi, kempen serta publisiti yang berlainan.

Beliau berkata walaupun 120 bahagian MIC di seluruh negara aktif menjalankan pelbagai ceramah dan mesyuarat, tetapi beliau mahu kesemua ketua bahagian memberikan laporan mingguan kepada ibupejabat parti itu mengenai perkembangan terkini bagi membolehkan parti menghantar satu pasukan penyiasat untuk mengatasi apa jua masalah kaum India.