MARI DENGAR PENERANGAN DOKTOR GILA!

Oleh BERNAMA

Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hari ini menggunakan ilmu kedoktorannya untuk memberi penerangan umum tentang arsenik yang kini dijadikan isu oleh parti pembangkang.

"Saya terang sebagai doktor sahaja, bukan pasal kes Datuk Seri Anwar Ibarhim. Itu kes dalam mahkamah, kita tidak boleh sentuh perbicaraan mahkamah.

"Apa yang saya sentuh ialah mengenai dakwaan yang dibuat di luar mahkamah oleh Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang menuduh kerajaan meracuni suaminya," katanya kepada para wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini hari ini.

Menurut Dr Mahathir, paras keracunan arsenik dalam air kencing seseorang boleh hilang selepas beberapa hari penerapan, berbeza dengan kehadirannya pada kuku dan rambut yang kekal sehinggalah kuku dan rambut yang baru tumbuh.

"Arsenik ini kalau dalam air kencing boleh ada hari ini, esok mungkin tidak ada kalau ia sudah hilang penerapan. Jadi apabila air kecing itu diperiksa, mungkin ada arsenik hari ini tapi selepas beberapa hari ia mungkin hilang," katanya.

Dr Mahathir berkata sekiranya keracunan arsenik itu diguna bertujuan untuk membunuh Datuk Seri Anwar Ibrahim tahap kehadirannya mestilah lebih 10,000 microgram satu liter yang terdapat dalam air kencingnya.

Bagaimanapun, menurut laporan makmal, paras arsenik dalam air kencing Anwar sebanyak 230 microgram adalah berpadanan dengan memakan kerang atau makanan laut.

Katanya paras arsenik di dalam tubuh ialah sebanyak lima microgram dan apabila ia memakan makanan laut ia boleh meningkat sehingga ke 230 microgram, dan paras itu bagaimanapun tidak merbahaya.

"Tapi kalau orang racun, ia akan naik ke 10,000 microgram dalam air kencing, dan walaupun 10,000, dalam masa tiga, empat hari ia boleh hilang," atanya.

Dr Mahathir berkata seseorang yang memakan racun arsenik akan dapat dikesan dalam kuku serta rambut dan kesan iitu tidak boleh hilang sehingga kuku atau rambut yang sedia ada itu habis tumbuh.

Sambil menunjukkan kukunya, Dr Mahathir berkata: "Katalah ia (kuku) setakat ini, dan dalam jangkamasa satu tahun kuku tang sini sudah tumbuh, jadi kuku yang baru tidak ada (arsenik)."

Beliau berkata menurut kaedah pemeriksaan arsenik, kesan arsenik pada kuku dan rambut tidak boleh disembunyikan walaupun selepas lima bulan seseorang itu makan makanan yang mengandungi arsenik.

Dr Mahathir turut menimbulkan rasa kehairanannya kerana apa yang diketahuinya sebagai seorang doktor, pemeriksaan arsenik dalam air kencing paling lama adalah dalam masa tiga hari kecuali beberapa pemeriksaan lain turut diadakan.

Katanya kadangkala keputusan ujian arsenik boleh diperolehi dalam masa satu hari.

"Jadi, apabila laporan menyatakan tidak ada arsenik dalam kuku,bermakna tidak ada arsenik yang dimakan secara racun yang mana itu akan menyebabkan kuku dan rambut ada arsenik," katanya.

Perdana Menteri berkata para wartawan perlu mengetahui mengenai arsenik dan keracunan arsenik kerana perkara itu kini menjadi isu utama. "Ini (arsenik) saya fikir pihak akhbar perlu tahu, kerana semua sekarang ini bercakap pasal arsenik," katanya yang berulangkali menyebut bahawa penjelasannya itu adalah sebagai seorang doktor.

Dr Mahathir turut memberi penjelasan bagaimana penyakit HIV dan AIDS yang hanya boleh dikesan selepas satu tempoh yang lama seseorang itu mendapat penyakit berkenaan.