11 PERTUBUHAN CINA TOLAK MAPEN II

Oleh BERNAMA

Jawatankuasa Kerja Rayuan Persatuan-persatuan Cina Malaysia telah memutuskan untuk tidak menerima jemputan untuk menganggotai Majlis Perunding Ekonomi Negara (Mapen II) kerana majlis itu bukan sebuah badan membuat keputusan.

Bagaimanapun, pengerusinya Quek Suan Hiang memberitahu persidangan berita di sini, hari ini, yang jawatankuasa itu masih belum menerima jemputan untuk menganggotai Mapen II.

"Rayuan Pilihan Raya Pertubuhan-pertubuhan Cina Malaysia ialah dokumen yang membawa pandangan dan permintaan masyarakat Cina dan untuk menyampaikan rayuan itu kepada Mapen II, yang bukan badan membuat keputusan tidak memenuhi matlamat kita," kata Quek, sebagai alasan kepada keputusan itu.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa itu Khamis lepas. "Rayuan 17 perkara itu dikemukakan sebelum pilihan raya akan datang dengan harapan parti-parti politik dan calon masing-masing boleh berusaha merealisasikannya," kata beliau.

Beliau berkata bagi pihak lebih 2,000 pertubuhan Cina yang memperakui rayuan 17 perkara itu, jawatankuasa itu akan memantau pelaksanaan rayuan itu oleh pihak-pihak berkaitan dan mempromosi rayuan pilihan raya itu melalui pendidikan awam.

Quek berkata, tiga parti politik Cina yang memperakui prinsip rayuan pilihan raya iaitu MCA, Gerakan dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) perlu berusaha mendapatkan sokongan Kabinet untuk memastikan rayuan itu menjadi kenyataan.

Beliau berkata, Jawatankuasa Kerja itu juga akan menghantar satu salinan Rayuan Pilihan Raya kepada setiap anggota NECC II untuk rujukan. Bulan lepas, Rayuan Pilihan Raya 17 perkara daripada pertubuhan-pertubuhan masyarakat Cina diutarakan yang antara lain menumpukan kepada isu-isu meningkatkan perpaduan, membanteras rasuah, menegakkan hak asasi manusia dan keadilan serta dasar ekonomi yang lebih saksama, media yang adil dan dasar pendidikan yang liberal dan progresif.

Rayuan 17 perkara itu dideraf oleh 11 pertubuhan Cina.