Oleh Polong Cyber
Minggu lalu menyaksikan tindakan Maha Firaun itu cuba 'menjual murahan' moral pembangkang terutamanya PAS dan juga rakyat negara ini di pentas PBB. Malangnya, seruan yang dibuat oleh Maha Firaun itu tidak langsung diendahkan dan beliau kembali ke tanah air dengan sejuta kehampaan.
Isu keracunan arsenik yang dihadapi oleh DSAI menjadi agenda Mahazalim itu minggu lalu. Ini dilakukan melalui percubaannya menuduh DSAI sebagai 'pembohong' melalui agenda 'keracunan arsenik'. HUKM kali ini menjadi giliran menyaksikan kerajaan BN mengkudakan jentera dan kepakaran doktor negara ini untuk mengekalkan kuasa politik secara murah dan tidak bermoral. Namun HUKM sendiri menjelaskan bahawa Hasil Ujian Kerajaan Meragukan!!!
Dalam usaha mengembalikan kepercayaan rakyat, Maha Firaun seringkali dihantui oleh tindakan bijak peguam DSAI. Kali ini Karpal Singh bertindak berani 'mencabar' Maha Firaun itu dipentas perundangan negara yang kesekian kalinya telah dicabuli oleh Maha Firaun sendiri.
Pandangan berani Karpal Singh memberikan kekuatan kepada rakyat untuk bertindak memperjuangkan hakikat kebenaran dan keadilan. Tindakan itu juga merupakan suara halus kritikan terhadap pemerintahan Mahazalim yang kian pupus menjelang alaf baru.
Pelbagai pihak menyuarakan ketidakpuasan hati mengapa tiada diwujudkan satu penyiasatan oleh Suruhanjaya Di Raja atas kes keracunan arsenik, sebagaimana setahun lalu apabila DSAI dipukul dan dibelasah dalam penjara.
Tindakan paling berani oleh beratus-ratus orang mahasiswa dan mahasiswi pada sessi lawatan Timbalan Perdana Menteri Pak La 'B' ke UM dua hari lalu dan menyerahkan memorandum rayuan supaya dibentuk satu Suruhanjaya Siasatan Di Raja ke atas kes keracunan DSAI harus dipuji. Tindakan ini merupakan satu dari beribu isyarat supaya Maha Firaun itu segera mengundurkan diri dari persada politik negara ini supaya dunia politik negara tidak terus tercemar dan ternoda.
Sikap rakus dan tamakkan kuasa hingga sanggup menafikan pendirian majoriti rakyat negara ini, merupakan satu penodaan politik yang tidak boleh dimaafkan. Justeru tindakan paling bijak untuk menyelamatkan maruah Malaysia dari terus tercemar dipersada politik antarabangsa, Maha Firaun itu perlulah berundur dengan secara terhormat.
Tindakan beliau mempertaruhkan dirinya sebagai calon untuk dipilih semula dalam pilihanraya umum mendatang dilihat sebagai tidak bijak kerana jika Maha Firaun itu menang, keputusan itu mungkin diragukan kesahihannya! SPR tidak mungkin menjadi bebas sebagaimana diharapkan.
Isu paling penting minggu lalu juga memperlihatkan satu reformasi oleh kerajaan BN kerana cuba menidakkan para peguam berpolitik. Tindakan ini mungkin berpunca apabila pimpinan kerajaan mendapati majoriti peguam negara ini berlatarbelakangkan parti pembangkang yang nyata dan jelas mendokong berprinsip demokrasi, kebebasan dan keadilan.
Percubaan Kerajaan BN untuk melarang para peguam dari berpolitik, perlu dilihat sebagai pencabulan seterusnya oleh kerajaan BN terhadap kebebasan dan ketulinan institusi perundangan negara, setelah Jabatan Peguam Negara memihak kepada pimpinan kerajaan BN dalam isu konsfirasi politik bagi menjatuhkan DSAI. Apatah lagi seruan itu telah dimulakan oleh seseorang yang kelayakannya dalam bidang perundangan sangat meragukan.
Anihnya demi politik, isu ini telah diterima oleh kepimpinan UMNO dan kerajaan BN. Selama manakah pimpinan UMNO dan kerajaan BN mampu menangani krisis sokongan rakyat yang tidak pernah diiktirafnya berlaku. Belum ada dalam catatan Utusan Meloya dan Berita Hairan, mahupun berita TV3 (suku) hakikat 'krisis sokongan' yang dialami oleh UMNO dan kerajaan BN.
Namun hakikat itu tidak dapat disembunyikan apabila Presiden UMNO Maha Firaun itu mengakui semasa beliau cuba menerangkan sesuatu isu, rakyat bersikap seperti tunggul kayu. Dengan ertikata lain, rakyat sudah tidak lagi mahu menerima 'perkataan bohong' Maha Firaun itu, di mana sahaja beliau mengadakan penerangan, samada dipentas rasmi mahupun dipentas politik.
Kepada Maha Firaun, sikap 'tunggul kayu' rakyat itu perlu beliau fahami sebagai satu isyarat yang 'bijak' oleh rakyat bahawa kepimpinan beliau sudah tidak diterima. Apa yang sebenarnya 'anih' dalam dunia politik negara ialah apabila beliau tidak menerima itu sebagai satu isyarat. Sebaliknya mencanangkan sikap tunggul kayu rakyat sebagai 'ingkar' terhadap beliau.
Kepada rakyat Malaysia yang masih cintakan keamanan, keadilan serta kebebasan, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah di atas tindakan berani anda dalam perjuangan ini biar pun anda disifatkan sebagai 'perusuh jalanan', pencetus huru hara', 'ahli perhimpunan haram' atau 'tunggul kayu' oleh kerajaan Maha Firaun.
Isyarat yang amat jelas oleh majoriti rakyat terhadap kepimpinan Maha Firaun ini adalah satu bukti kemenangan 'mutlak' oleh Kerajaan Alternatif dalam pilihanraya umum negara menjelang alaf baru!!